Masyarakat berbilang kaum, agama perlu terus bekerjasama dampingi belia, usul Dr Faishal
Masyarakat berbilang kaum dan agama perlu terus bekerjasama untuk mendampingi dan mengukuhkan hubungan dengan para belia.

Dr Faishal Ibrahim.
SINGAPURA: Masyarakat berbilang kaum dan agama perlu terus bekerjasama untuk mendampingi dan mengukuhkan hubungan dengan para belia.
Lebih-lebih lagi dengan ancaman online yang semakin berisiko meradikalkan para remaja.
Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim semasa berucap di Muktamar Ulama anjuran Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) hari ini (20 Mac).
Dalam ucapannya, Dr Faishal merujuk kepada kes dua remaja berlainan agama yang ditahan secara berasingan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini kerana menjadi radikal online.
Dr Faishal mengingatkan bahawa ancaman radikalisme online terus-menerus berlaku, dengan sebahagian besarnya dalam kalangan anak-anak muda.
Singapura, menurut Dr Faishal, perlu memperhebatkan usahanya untuk memelihara keamanan supaya ia tidak mengancam fabrik sosial negara ini.
Dr Faishal turut menekankan "wajar diulangi bahawa fahaman pelampau tidak berlaku hanya pada satu-satu kaum atau agama".
"Kita bersyukur kerana di Singapura kita mempunyai jalinan hubungan persahabatan dan kepercayaan antara masyarakat berbilang agama dan kepimpinan mereka. Kita mesti terus bekerjasama untuk mendampingi dan menjalin hubungan dengan para belia kita.
"Para pemimpin agama perlu membantu penduduk kita memahami sifat sebenar ideologi pengganas. Ideologi ISIS perlu ditegah secara doktrin. Ini perlu datang daripada cendekiawan agama," kata Dr Faishal.
Beliau menambah pemerintah tidak dapat menghuraikan isu-isu masyarakat sendirian dan perlu berganding bahu dengan para pemimpin masyarakat dan agama untuk mencapai huraian.
"Sedang saya galakkan agar kita meneruskan perbincangan serupa pada masa akan datang, kita juga perlu terus menggalak anggota masyarakat supaya bekerjasama dan bertindak balas sewajarnya.
"Hanya menerusi cara itu kita akan benar-benar memahami berapa besar cabaran yang sedang kita hadapi," ujar Dr Faishal.
Dalam ucapannya, Dr Faishal juga akur bahawa para asatizah tempatan semakin diharapkan untuk membimbing masyarakat dalam perkara-perkara yang menjangkaui agama dan amalan-amalan agama.
Ini disebabkan isu-isu sosio-agama yang semakin rumit termasuk konsep yang berubah-ubah tentang peranan jantina, perubahan pada norma masyarakat dan cabaran-cabaran berkaitan tsunami digital memerlukan panduan agama yang mendalam.
Sebagai contoh, Dr Faishal merujuk kepada usaha-usaha yang sudah dijalankan untuk menangani keganasan rumah tangga.
Pada 2019 semasa Simposium Keluarga Muslim anjuran MUIS, Dr Faishal mengumumkan bahawa para asatizah yang berminat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kaunseling akan diberikan latihan.
Ia melengkapi para asatizah dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengambil langkah-langkah awal dan proaktif untuk mencegah keganasan rumah tangga daripada berlaku dan bukan sekadar memperbetulkannya.
"Saya memuji usaha para asatizah kita untuk mencegah salah tanggap dan pemikiran yang cenderung ke arah diskriminasi jantina serta keganasan terhadap wanita, yang menjejas semua kaum," kata Dr Faishal.
Bulan lalu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga melancarkan talian bantuan 24 jam bagi menangani aduan tentang keganasan rumah tangga serta kes-kes penderaan lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.