Skip to main content

Singapura

Masyarakat alu-alukan lebih banyak kegiatan budaya semarakkan Taman Warisan Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat alu-alukan lebih banyak kegiatan budaya semarakkan Taman Warisan Melayu

PM Wong sertai sekitar 300 peserta dalam perarakan budaya Pesta Pecah Panggung pada Sabtu (25 Apr) sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu. (Gambar: Nur Athirah Karim/BERITA Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Apr 2026 06:27PM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 06:28PM
SINGAPURA: Masyarakat setempat mengalu-alukan penganjuran lebih banyak kegiatan budaya bagi menyemarakkan lagi Taman Warisan Melayu (TWM).

Ini lebih-lebih lagi setelah ia menyepi selama lebih tiga tahun bagi kerja-kerja naik taraf.

Bangunan bersejarah itu kembali rasmi dibuka kepada umum pada Sabtu (25 Apr).

Beberapa anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan berkongsi harapan mereka kepada BERITA Mediacorp di acara pembukaan TWM serta acara “Pesta Pecah Panggung — Transcending Boundaries” yang dianjurkan bersempena dengannya.
Related article image
Para peserta yang menyertai perarakan budaya yang julung-julung kali diadakan dari Bussorah Street ke Taman Warisan Melayu. (Gambar: Nur Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Melihat kemeriahan di setiap sudut pekarangan TWM pada Sabtu — dipenuhi warna-warni busana tradisional, alunan muzik budaya serta kemeriahan pengunjung yang teruja menyertai pelbagai kegiatan — tidak hairanlah ramai berharap agar acara seumpama itu akan terus giat dianjurkan di TWM.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA: ANAK MUDA INGIN TERUS SERTAI KEGIATAN BUDAYA UNTUK SEMARAKKAN TWM

Antara yang ditemui BERITA Mediacorp termasuk seorang mahasiswa Institut Teknologi Singapura (SIT), Nur Ashikin Mohamad.
Related article image
Seorang mahasiswa Institut Teknologi Singapura (SIT), Nur Ashikin Mohamad, antara yang ditemui BERITA Mediacorp di acara pembukaan TWM serta acara “Pesta Pecah Panggung — Transcending Boundaries” yang dianjurkan bersempena dengannya. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
“Saya harap anak muda lain juga dapat menyertai kegiatan sebegini supaya mereka lebih mengenali budaya Melayu dan aspek-aspek lain yang mungkin kurang diketahui,” katanya.

Nur Ashikin, 25 tahun, merupakan antara 300 peserta yang menyertai perarakan budaya yang julung-julung kali diadakan dari Bussorah Street ke Taman Warisan Melayu.
Related article image
Persembahan kontinjen kumpulan Dikir Barat dari Institut Pengajian Tinggi (IHL) yang terdiri daripada SIT, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU). (Gambar: BERITA Mediacorp/Nur Athirah Karim)
Beliau merupakan sebahagian daripada kontinjen kumpulan Dikir Barat dari Institut Pengajian Tinggi (IHL) yang terdiri daripada SIT, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Kepentingan penganjuran kegiatan budaya turut ditekankan oleh golongan ibu bapa seperti Cik Rozana Tumadi yang datang bersama anak lelakinya untuk cuba bermain congkak di pekarangan TWM.

Bak pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Related article image
Cik Rozana Tumadi bersama anak lelakinya, Zikry Abdul Kadir, cuba bermain congkak di pekarangan TWM. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Cik Rozana, 44 tahun, menyambut baik usaha menampilkan pelbagai kegiatan Melayu, terutama dalam konteks anak muda yang kini lebih terdedah kepada bahasa Inggeris.

“Pada masa kini, kanak-kanak terlalu terdedah kepada hiburan dalam bahasa Inggeris dan kurang aktiviti Melayu. Jadi apabila saya bawa anak ke sini, ia sangat baik kerana dia dapat melihat persembahan dan menyertai acara berunsur Melayu,” jelasnya.

Pandangan itu, bahkan, turut dikongsi anak Cik Rozana, Zikry Abdul Kadir, 11 tahun, yang meluahkan keinginan untuk kembali berkunjung ke TWM dan terus menyertai kegiatan seumpamanya.

PENAMPILAN PELBAGAI SUKU KAUM MELAYU DIALU-ALUKAN; CERMIN KEKAYAAN WARISAN MELAYU SETEMPAT

Antara yang paling menarik perhatian pengunjung ialah penampilan pelbagai suku kaum Melayu dalam perarakan budaya itu, dengan gerobak yang dihias rapi menggunakan pelbagai barangan serta busana tradisional yang menonjolkan keunikan masing-masing.
Related article image
Perarakan budaya yang julung-julung kali diadakan pada Sabtu (25 Apr) dari Bussorah Street ke Taman Warisan Melayu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Salah seorang peserta daripada masyarakat Jawa, Rosna Hamde, meluahkan rasa bangga dapat turut serta dalam acara bersejarah itu.
Related article image
Salah seorang peserta daripada masyarakat Jawa, Rosna Hamde. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
“Sungguh membanggakan sebagai masyarakat Melayu untuk kita saling mengenali etnik-etnik lain,” katanya.

Turut berkongsi semangat yang sama ialah Abdul Latiff Omar, 80 tahun, Ketua Kerukunan Bubuhan Banjar Singapura.
 
Related article image
Abdul Latiff Omar (tengah), 80 tahun, Ketua Kerukunan Bubuhan Banjar Singapura. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
“Kami berada di sini untuk menghidupkan semula ... semangat masyarakat Banjar,” ujarnya.

Semangat ini sejajar dengan hal yang ditekankan dalam ucapan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Sabtu, yang menyentuh bagaimana tema baharu TWM, “Dari Rantau ke Rumah”, mencerminkan perjalanan pelbagai latar asal-usul menjadi satu identiti bersama.
Related article image
Antara peserta perarakan budaya yang memaparkan kekayakaan khazanah budaya alam Melayu. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nursyazwani Sanep, Athirah Karim)
“Warisan Melayu bukanlah sesuatu yang tunggal. Ia kaya dan pelbagai – terdiri daripada banyak kumpulan dengan asal usul dari seluruh rantau, termasuk Semenanjung Melayu serta masyarakat Jawa, Bugis, Minangkabau dan lain-lain.

"Setiap satu mempunyai tradisi dan adat tersendiri, namun lama-kelamaan, semua ini berpadu di Singapura menjadi satu identiti bersama,” kata PM Wong.
Sepanjang sembilan hari hingga 3 Mei, orang ramai disajikan dengan lebih 50 program kebudayaan untuk pelbagai peringkat umur.

Program-program tersebut merangkumi bengkel, persembahan budaya, tayangan filem dan pelbagai kegiatan lain yang mengangkat naratif galeri TWM, “Dari Rantau ke Rumah”.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita