Mastera S'pura anjur peraduan terjemah bahan sastera Melayu ke bahasa Inggeris
Buat julung-julung kalinya Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Singapura mengambil langkah memperkenalkan sayembara perterjemahan bahan sastera.
BERITAmediacorp: Karya para penulis Melayu tempatan dan di rantau ini tidak kurang hebatnya dibandingkan sastera lain.
Namun tidak cukup ia sekadar dibaca orang-orang Melayu sahaja.
Lantaran itu, buat julung-julung kalinya Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Singapura mengambil langkah untuk memperkenalkan sebuah sayembara yang menyeru sesiapa sahaja yang berminat untuk tampil menterjemahkan karya-karya tersebut ke dalam bahasa Inggeris.
HADIAH TERJEMAHAN MASTERA PEMBUKA "PINTU ILMU"
Hadiah Terjemahan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) itu diumumkan oleh Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Forum Mastera yang diadakan di Wisma Geylang Serai siang tadi (27 Jan) sempena sambutan pelancarannya selama tiga hari berturut-turut, sehingga hari ini.
Beliau menyifatkan inisiatif Mastera itu sebagai pembuka "pintu ilmu" bagi para penulis dan generasi seterusnya.

"Apabila ada wadah terjemahan ini, ia membuka lebih banyak pintu, akses dan pintu ilmu yang boleh diraikan bersama. Jadi kami berharap hadiah terjemahan ini dapat menguatkan jalinan-jalinan di nusantara kita dan menjadi pemangkin kepada pemahaman silang budaya.
"Moga-moga inisiatif sebegini dapat memasyarakatkan lagi sastera di rantau ini dan juga mendekatkan lagi Mastera ke peringkat antarabangsa," kata Dr Faishal.
HADIAH $3,000 UNTUK DIMENANGI
Mastera menetapkan puisi sebagai tema terjemahan bagi tahun ini.
Setiap peserta perlu menterjemahkan lima puisi yang sudahpun dipilih Mastera ke dalam Bahasa Inggeris.
Peraduan yang berlangsung dari hari ini hingga 31 Mei itu menawarkan hadiah $3,000 dan sijil bagi penterjemahan terbaik sastera Melayu dalam usaha meluaskannya ke peringkat global.
(Gambar: MBMS)
Pengerusi Mastera Singapura, Profesor Madya Hadijah Rahmat memberitahu BERITAmediacorp, selepas pemenang dipilih, karya-karya yang sudah diterjemahkan itu akan dibukukan dan diperkenalkan pada tahap antarabangsa.
"Selain daripada mahu menggalakkan para penulis untuk lebih giat menulis, harapan kami juga ialah untuk melahirkan sekumpulan para penterjemah yang bermutu, yang amat diperlukan dalam bidang sastera dan juga dalam bidang-bidang kemanusiaan yang lain," kata beliau.

SASTERA BOLEH LEBIH BANYAK SUMBANG KE 'LAUTAN' YANG LEBIH LUAS
Forum Mastera tadi menampilkan dua sasterawan tempatan yang pernah memenangi anugerah Mastera Brunei - Encik Suratman Markasan dan Encik Isa Kamari, masing-masing pada tahun 2014 dan 2018.
Perbincangan hari ini berkisar tentang sumbangan-sumbangan para sasterawan negara, isu-isu yang mungkin masih tertinggal dan belum lagi dirungkai serta wadah-wadah yang boleh mengampuhkan sastera supaya dapat menyumbang kepada masyarakat, negara dan kemanusiaan secara amnya.
Timbalan Ketua Jabatan Pegajian Melayu NUS, Dr Azhar Ibrahim, yang juga moderator forum itu berkata: "Sastera saya rasa bukan sekadar hidup pada kolam sasteranya yang tersendiri tapi dapat menyumbang kepada lautan sastera dunia yang lebih besar. Saya rasa kita harus merancang, kita harus berharapan dan membina suatu daya kerja dinamika dalam untuk memastikan bahawa sastera kita kedepan."

Maka, tepatlah pilihan Mastera Singapura untuk mewujudkan Hadiah Terjemahan sebagai batu loncatan untuk membantu karya-karya penulis di rantau ini menembusi sempadan nusantara.
Bagi yang berminat menyertai peraduan itu, mereka perlu mendapatkan borang penyertaan rasmi daripada MBMS.
Borang, karya-karya terpilih dan syarat-syarat penyertaan boleh dimuat turun dari laman MBMS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.