Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Yusof Ishak sedia sambut Ramadan, sedia lebih banyak kerusi untuk warga emas dan ruang berbuka diperluas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masjid-masjid tempatan giat membuat persiapan akhir untuk menyambut bulan Ramadan bagi memastikan pengurusan dan pengalaman jemaah berjalan lancar.

Di Masjid Yusof Ishak yang terletak di Woodlands, sekitar 30 relawan akan dikerahkan setiap hari untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab di masjid.

Pengerusi Eksekutifnya, Ustaz Fairuz Shah Sudiman, menjelaskan, "Terutamanya selepas solat Asar, kami memerlukan relawan untuk pembahagian bubur, penyediaan tempat berbuka, dan menyambut para jemaah yang datang untuk solat Tarawih. Jadi, tentu sekali kami memerlukan ramai sukarelawan."

Pengarah Eksekutif Masjid Yusof Ishak, Ustaz Fairuz Shah Sudiman
Masjid itu turut menyediakan bimbingan khas untuk relawan bagi memastikan mereka bersedia menjalankan tugas mereka dengan baik.

Ustaz Fairuz menambah, "Kami telah mengadakan beberapa program untuk memberi kakitangan masjid dan sukarelawan informasi serta cara yang berkesan untuk mendekati para jemaah. Kami juga telah memperkenalkan beberapa nilai penting yang perlu diterapkan untuk melayan jemaah dengan penuh hormat."

Para relawan juga akan bekerjasama dalam menyelaraskan pengurusan lebih daripada 4,000 jemaah semasa solat Tarawih.

Selain itu, untuk memastikan kemudahan yang lebih mesra jemaah, Ustaz Fairuz menyatakan bahawa keperluan khusus bagi jemaah warga emas turut diberi perhatian.

"Tahun lalu, jumlah kerusi yang kami sediakan agak kurang sedikit. Kami mendapati ramai jemaah yang memerlukan kerusi, jadi tahun ini kami akan menambah jumlah kerusi terutamanya di aras 2, agar golongan ini dapat menunaikan solat Tarawih dengan lebih selesa," jelas Ustaz Fairuz.

Setiap tahun, Masjid Yusof Ishak menyediakan sekitar 60 kerusi untuk jemaah, namun tahun ini jumlah tersebut akan dinaikkan dua kali ganda.

Selain meningkatkan ruang untuk solat, Ustaz Fairuz juga menyatakan bahawa maklum balas daripada jemaah mengenai ruang berbuka puasa turut menjadi perhatian utama.

"Kami akan memperluaskan ruang dan menyediakan kerusi meja yang lebih sesuai. Kami juga memastikan pengagihan makanan dapat dilakukan dengan lebih tersusun berbanding tahun lalu," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan