Skip to main content

Singapura

Masjid Wak Tanjong lancar kempen 'Legasi Kesyukuran' sempena ulang tahun ke-150

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masjid Wak Tanjong (MWT) melancarkan kempen ‘Legasi Kesyukuran’ sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-150.

Masjid yang terletak di Paya Lebar itu telah menjadi simbol perpaduan dan khidmat masyarakat selama lebih satu setengah abad.

Kempen itu bertujuan untuk memperkukuh hubungan komuniti, meningkatkan perkhidmatan sosial, dan menghargai sumbangan generasi terdahulu yang membentuk warisannya.

Pelancaran kempen berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Suntec City, bersempena festival Twilight: Flea & Feast.

Acara tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, yang melancarkan plak khas bagi memperingati penubuhan Masjid Wak Tanjong sejak 1873.

Pengerusi Masjid Wak Tanjong, Haji Nailul Hafiz Abdul Rahim, menjelaskan bahawa kempen itu bertujuan untuk menggalakkan masyarakat mempereratkan hubungan.

Beliau juga menekankan pentingnya meningkatkan sumbangan kepada masyarakat.

"Dalam kita memikirkan bagaimana Masjid Wak Tanjong dapat terus menyumbang kepada masyarakat dalam 150 tahun akan datang, kita perlu bersyukur atas segala kebaikan yang telah disumbangkan oleh mereka sebelum kami. Harapan kami adalah agar usaha ini dapat berkembang lebih jauh, menjadikan Masjid Wak Tanjong sebuah institusi yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat di Singapura," kata Haji Nailul.

KEGIATAN KUKUHKAN HUBUNGAN MASYARAKAT MENERUSI KEMPEN LEGASI KESYUKURAN

Menurut Haji Nailul, kempen tersebut akan dijalankan selama setahun dan berlandaskan tiga aspek utama: impak sosial, kesatuan sosial, dan kesinambungan.

“Kegiatan-kegiatan yang dijalankan sepanjang tempoh tersebut termasuk pengagihan makanan percuma. Masjid Wak Tanjong telah sejak dua bulan lepas, dengan sokongan masyarakat, memberi makan percuma kepada 10,000 orang. Angka ini terus akan meningkat. Itulah impak sosial yang kami akan usahakan,” kata Haji Nailul.

Pihak masjid, kata beliau, akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kerja lain, termasuk masjid-masjid lain serta perniagaan dari rumah (HBB) untuk meneruskan usaha tersebut.

Selain itu, Masjid Wak Tanjong juga akan mengadakan kegiatan untuk kanak-kanak seperti pertandingan dan penceritaan, agar dapat memberi inspirasi kepada generasi muda.

“Untuk mengiktiraf sejarah Masjid Wak Tanjong pula, pihak masjid akan menjalankan kegiatan-kegiatan seperti Kad Bingo Legasi Kesyukuran dan ‘Tembok Kesyukuran’ di mana masyarakat boleh meluahkan ekspresi mereka untuk masjid itu,” tambah Haji Nailul.

Di samping itu, Haji Nailul mengatakan bahawa Masjid Wak Tanjong juga akan mengukuhkan usaha pendigitalannya untuk memberi manfaat kepada para jemaah.

“Kita juga menggunakan pendigitalan untuk membantu masyarakat. Setiap pelajar boleh belajar Al-Quran di Telegram tanpa bayaran. Dengan lebih 12,000 pelajar dalam pangkalan data kami, 1,000 pelajar belajar Al-Quran setiap hari. Menerusi inisiatif seperti ini, ia membantu masyarakat menjiwai Al-Quran,” ujar Haji Nailul.

Untuk meneruskan legasi Masjid Wak Tanjong, Haji Nailul turut menyatakan bahawa pihak masjid akan terus bekerjasama dengan badan-badan berbilang agama dalam usaha kemasyarakatan.

“Usaha ini akan kami perkukuhkan lebih mendalam, dengan fokus yang lebih konkrit dalam kerjasama budaya dan agama, terutamanya untuk mereka yang memerlukan. Usaha ini, yang telah berlangsung selama 150 tahun, akan terus kami kembangkan,” kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita