Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid tidak terikat dengan dasar tanah pemerintah; 20 tempat beribadat tunggu hasil semakan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak 2018, 20 tempat beribadat mengambil penyewaan jangka pendek ataupun lesen pendudukan sementara (TOL) dan tidak memperbaharui pegangan pajakan selama 30 tahun masing-masing sementara menantikan semakan Pemerintah terhadap dasarnya berhubung peruntukan serta penentuan harga tanah bagi pertubuhan-pertubuhan keagamaan. 

Pemerintah sudahpun menasihatkan tempat-tempat beribadat supaya mengambil pilihan jangka pendek itu untuk meraih manfaat daripada hasil semakan tersebut, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (4 Okt). 

Enam tempat beribadat tetap memutuskan untuk meneruskan dengan pembaharuan pegangan pajakan selama 30 tahun mengikut harga pasaran semasa, kata Encik Shanmugam dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen yang dikemukakan Anggota Parlimen Sylvia Lim (WP-Aljunied). 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga tanah bagi tempat beribadat telahpun meningkat disebabkan pembidaan yang berdaya saing oleh pertubuhan-pertubuhan keagamaan, jelas Encik Shanmugam. 

"Pemerintah sudah berbincang dengan pelbagai pertubuhan keagamaan untuk mempertimbangkan cara yang paling baik bagi membantunya dalam mengurangkan kenaikan harga, disebabkan pembidaan seumpama itu. 

"Pada masa yang sama, Pemerintah melakukan semakan terhadap peruntukan tanah bagi tempat beribadat dan rangka kerja harga tanah kami untuk melihat bagaimana kenaikan harga boleh dikurangkan."

Encik Shanmugam menambah Pemerintah sudah membuat kemajuan ketara dalam semakan berkenaan dan menjangkakan untuk mengumumkan perinciannya "pada masa terdekat". 

Tanah negara lazimnya dijual menerusi proses tender yang berdaya saing di mana bidaan tertinggi yang boleh diterima menjadi harga tanah bagi tapak tertentu. 

Pendekatan ini bagaimanapun dikecualikan bagi tanah untuk masjid-masjid, yang diuruskan secara langsung oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada harga pasaran yang ditentukan oleh ketua pentaksir. MUIS menyelaraskan pembangunan masjid secara berpusat. 

"Ini akan secara amnya menyebabkan tanah masjid kurang mahal kerana tiada sebarang bidaan dibuat," terang Encik Shanmugam. 

Bagi pembaharuan pegangan pajakan untuk tempat beribadat, premiumnya juga berada pada harga pasaran semasa yang ditentukan oleh ketua pentaksir, yang mengambil kira urus niaga relevan tanah keagamaan dan membuat penyesuaian bagi ciri-ciri tapak berkenaan, seperti lokasi dan keluasan tanah. 

Kata Encik Shanmugam lagi, Pemerintah "tidak boleh membuat penyesuaian sepihak bagi harga tanah yang dijual untuk kegunaan tempat beribadat" kerana ia dikehendaki menjual tanah pada nilai pasaran yang adil di bawah rangka kerja perlindungan rizab. 

"Sebarang perubahan akan memerlukan perubahan pada rangka kerja perlindungan rizab dan juga kelulusan Presiden," katanya. 

Hasil penjualan tanah negara akan disalurkan kepada rizab lalu kerana tanah negara adalah sebahagian daripadanya. Hasil penjualan tanah tidak boleh digunakan oleh Pemerintah untuk perbelanjaan dalam Belanjawan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan