Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid tambah relawan dan sedia set bento makanan pada Ramadan

Masjid-masjid tempatan membuat persiapan terakhir sebelum bulan Ramadan untuk memastikan pengurusan masjid dan jemaah berjalan lancar kelak.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid tambah relawan dan sedia set bento makanan pada Ramadan

(Gambar: Nurhelmy Hakim)

BERITAmediacorp: Masjid-masjid tempatan membuat persiapan terakhir sebelum bulan Ramadan untuk memastikan pengurusan masjid dan jemaah berjalan lancar kelak.

Di Masjid Khalid yang terletak di Onan Road, kesemuanya 50 relawan dikerahkan tahun ini, iaitu lebih ramai berbanding tahun lalu.

SEKITAR 50 RELAWAN SUDAH TERIMA BIMBINGAN UNTUK PENGURUSAN DI MASJID SEMASA RAMADAN

Tahun ini, para relawan akan membantu mengawal keadaan di dalam masjid, khususnya semasa waktu berbuka puasa dan solat tarawih.

Pengerusi masjid tersebut, Haji Alla'udin Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut, sekitar 25 merupakan kakitangan baru yang mendaftar khas untuk membantu dalam pengurusan masjid untuk bulan Ramadan.

Pihak masjid juga menyediakan bimbingan bagi memastikan golongan relawan yang berusia antara 18 dengan 30 tahun itu bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab kelak.

'

Haji Alla'udin berkata: "Selalunya apabila kita menjalani kelas-kelas pada hari Jumaat, kita membawa sukarelawan baru dan menunjukkan bagaimana untuk menjalankan tugas-tugas. Apabila kita membuat kelas pada hujung minggu, mereka juga membantu."

"Tahun ini kita ada sekitar 50 relawan. Relawan yang sudah berkhidmat lama akan pantau tugas-tugas yang terlalu berat. Kita akan bawakan relawan baru untuk belajar, dan mereka boleh berganti-ganti," tambah beliau lagi.

Menurut Haji Alla'udin, tugas-tugas yang akan dimainkan para relawan masjid untuk Ramadan kali ini tidak akan terlalu sukar jika dibandingkan dengan tempoh pandemik COVID-19.

Tugasan mereka buat tahun ini termasuk mengawal pergerakan jemaah, menjaga kebersihan dan membersihkan kawasan selepas berbuka puasa.

"Kalau tahun-tahun lalu, relawan perlu memastikan para jemaah mendaftar masuk ke dalam masjid menerusi Safe Entry, pastikan mereka mengimbas suhu badan, pastikan jarak selamat antara para jemaah."

"Waktu pandemik COVID-19, banyak cabarannya, para jemaah perlu buat tempahan slot. Kita pun hadapi masalah relawan disebabkan jangkitan COVID-19," ujar Haji Alla'udin.

Para relawan Masjid Khalid juga akan bekerjasama untuk menyelaraskan pengurusan jemaah sekitar 400 jemaah semasa solat terawih.

Haji Alla'udin juga menjangkakan lebih ramai jemaah akan ke Masjid Khalid kerana masjid itu baru menjalani peningkatan.

PERCUBAAN SELEPAS PANDEMIK

Hidangan makanan yang disaji di atas dulang dan dikongsi di antara para jemaah memang sudah sebati dalam budaya berbuka puasa di Masjid Khalid sejak tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19.

Meskipun tahun ini pihak masjid dibenarkan untuk membuka pintu kepada para jemaah untuk berbuka puasa, Masjid Khalid memutuskan untuk tidak menyediakan hidangan dulang buat masa ini.

Daripada melancarkan rancangan berbuka puasa pada skala besar, pihak masjid itu juga sebaliknya akan mengambil langkah percubaan dahulu.

Haji Alla'udin berkata: "Tahun ini, persiapan kita adalah untuk cuba mengambil tahu bagaimana untuk menjalani Ramadan di dalam norma baru. Kita akan cuba-cuba dahulu. Berbuka puasa akan bermula dengan hidangan bento."

"Kita akan cuba untuk melihat bagaimana reaksi, macam mana untuk atur tempat duduk, tempat makan untuk keselesaan jemaah," tambah beliau.

Haji Alla'udin berkata bahawa pihaknya akan melaksanakan rancangan tersebut untuk sekitar dua minggu, sebelum memutuskan sama ada untuk mengembalikan suasana berbuka puasa dengan hidangan di atas dulang.

'

Beliau berkata: "Tahun-tahun sebelum COVID-19, dalam 700 jemaah datang pada hari biasa. Pada hujung minggu, sehingga 1,000 jemaah berkumpul. Sekarang, untuk menampung jumlah jemaah sebegitu banyak, dengan makanan berhidang, kita belum tahu suasananya apa yang akan terjadi."

Selain juadah berbuka puasa, Haji Alla'udin juga berkata bahawa pengagihan bubur masjid juga dijalankan mengikut konsep bento.

"Kita tidak masak di sini. Tahun-tahun dulu, kita masak, jemaah pun boleh tambah bubur."

"Kita sebagai jawatankuasa ingin mendapat tahu bagaimana untuk mengatur segalanya. Kalau kita mulakan dengan rancangan dahulu, kalau nak ditarik balik, susah. Kita takut kalau terlalu ramai orang dan kita tidak dapat menampung," jelas Haji Alla'udin.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan