Masjid Sultan sama-sama semarakkan 200 Tahun S'pura
Bagi menyemarakkan 200 Tahun Singapura, lebih 60 badan meliputi badan-badan agama dan budaya, perniagaan, sekolah, institusi, badan pemerintah dan persatuan akan mengadakan pelbagai projek.
SINGAPURA: Bagi menyemarakkan 200 Tahun Singapura, lebih 60 badan meliputi badan-badan agama dan budaya, perniagaan, sekolah, institusi, badan pemerintah dan persatuan akan mengadakan pelbagai projek.
Ini bagi menyorot dan mempamerkan sejarah masing-masing dalam pembangunan Singapura.
Antara badan tersebut termasuklah Masjid Sultan.
Masjid Sultan, yang mula dibina pada tahun 1824, merupakan mercu tanda utama masyarakat Melayu/Islam Singapura yang ada kaitan langsung dengan Sir Stamford Raffles.
PERJANJIAN SULTAN HUSSEIN SHAH, RAFFLES
Masjid yang dianggap ramai sebagai 'Masjid Negara' bagi Singapura, sebenarnya terwujud ekoran perjanjian antara Raffles dengan Sultan Hussein Shah.
"Ini bermula apabila Raffles jejak di Singapura kita pada tahun 1819. Mereka telah berunding dengan Sultan dan menyumbang sebanyak $3,000 untuk membina satu masjid – Masjid Sultan," kata Pengerusi Lembaga Pengamanah & Pengurusan Masjid Sultan, Mohamed Patail.
Ramai orang sekarang yang kurang tahu, bahawa sebenarnya hasil pemikiran Sultan Hussein juga, lembaga pengamanah Masjid Sultan ditubuhkan.
Yang menariknya, ia memperuntukkan enam kaum etnik sebagai anggotanya - Melayu, Jawa, Bugis, Arab, India Utara dan India Selatan.
Peranan mereka: memastikan ketelusan pengurusan Masjid Sultan.
"Tiap-tiap suku kaum itu ada diwakili oleh dua orang. Dan sampai hari ini, ini masih dipertahankan, ia masih dijalankan dan kita masih perjuangkan untuk masjid dan juga kita tadbir Masjid dengan sebaik mungkin," Encik Mohamed memberitahu BERIITAMediacorp.
Dalam perkataan lain, sudah lima generasi daripada enam suku kaum itu menjalankan amanah mereka.
MASJID 'ANTIK' TAPI TERUS MAJU
Kini Masjid Sultan akan melakar pelbagai rancangan untuk sama-sama menyemarakkan Peringatan 200 Tahun Singapura pada 2019 nanti.
Antara lain dengan menganjurkan majlis doa selamat dan pameran bergerak mengenai Masjid Sultan ke kawasan-kawasan kejiranan.
Masjid Sultan adalah di kalangan puluhan badan berbilang kaum dan agama dengan sejarah kewujudan yang panjang, yang bekerjasama dengan Pejabat 200 Tahun Singapura demi menyiapkan pelbagai projek untuk disambut pada tahun 2019.
Bagi Masjid Sultan, walaupun kini berusia 193 tahun ia boleh berbangga kerana menjadi masjid 'antik' yang terus berkembang maju seperti Singapura; serta terus relevan kepada jemaah dan dari segi kemudahan juga teknologi.
"Menyahut cabaran daripada PM untuk mengurangkan pengeluaran karbon. Jadi dengan itu kami telah memasang panel suria untuk Masjid Sultan. Saya rasa ini masjid pertama di Singapura ada panel suria. Dan kami telah mendapati ada penjimatan sebanyak 30 peratus daripada bil elektrik," ujar Encik Mohamed.
Belum lagi diketahui, sama ada Masjid tertua Singapura yang dibina pada tahun 1820, iaitu Masjid Omar Kampong Melaka, juga akan melakarkan aktiviti-aktiviti bagi menyambut 200 tahun Singapura diasaskan Raffles.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.