Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Sultan masjid pertama S'pura ada robot pembersihan gunakan Kecerdasan Buatan (AI)

Masjid Sultan kini menjadi masjid pertama Singapura untuk menggunakan robot pembersihan yang beroperasi sepenuhnya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masjid Sultan kini menjadi masjid pertama Singapura untuk menggunakan robot pembersihan yang beroperasi sepenuhnya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Antara lain robot canggih itu mampu membersihkan dengan pantas jenis permaidani yang cukup tebal sebagaimana terdapat di masjid ikonik itu.

ROBOT AI BOLEHKAN BERSIHKAN MASJID DALAM MASA SEJAM SAHAJA

Dipanggil Ecobot Sweep 40, robot yang boleh dikatakan bersaiz kecil itu dapat melakukan kerja-kerja pembersihan dengan cepat dan konsisten.

Ia merupakan sebuah robot vakum yang mampu membersihkan habuk-habuk halus di dalam permaidani-permaidani yang tebal dengan satu sapuan sahaja.

Dilengkapi sofwe AI dari Amerika Syarikat, ecobot itu terlebih dahulu akan membuat pemetaan ke atas ruang-ruang yang ingin dibersihkan bagi memudahkan proses pembersihan.

Ecobot Sweep 40 juga dapat mengesan sebarang objek atau manusia di depannya bagi mengelakkan sebarang kecederaan, ia kemudian akan kembali ke tempat yang dielak dan membuat pembersihan sekali lagi.

Menariknya, robot tersebut adalah yang pertama dan satu-satunya setakat ini yang dibawa masuk ke Singapura sejak bulan Julai. Masjid ikonik Singapura - Masjid Sultan - menjadi yang pertama untuk memanfaatkannya.

Salah satu ciri utama Ecobot Sweep 40 itu ialah ia dapat mengesan sebarang objek atau manusia di hadapannya bagi mengelak sebarang kecederaan. Ia kemudian akan berhenti dan mencari jalan lain untuk mengelakkan pelanggaran. Robot itu kemudian akan kembali ke tempat yang dielak tadi untuk membuat pembersihan sekali lagi.

Robot tersebut malah mampu membersihkan lebih daripada 1,400 meter persegi ruang permaidani yang setebal 17 milimeter, dalam masa sejam sahaja.

"Kalau tenaga manusia kalau pakai pun masa lebih panjang, sebagai contoh untuk sekitaran ini kalau kita kenakan untuk tenaga manusia dua jam, tapi kalau guna robot satu jam sahaja, lagipun robot itu dia konsisten, dia berterusan bersihkan, jadi untuk keselesaan jemaah kita," kata Pengerusi Lembaga Pengamanah Masjid Sultan, Encik Mohamed Patail.

MAHU PERKENALKAN ECOBOT KE MASJID-MASJID LAIN

Ecobot Sweep 40 dibawa masuk oleh syarikat Bestway Cleaning Services. Ia berharap untuk juga memperkenalkannya kepada masjid-masjid lain.

Setiap ecobot tersebut berharga hampir S$48,000.

Namun, dengan bantuan Pusat SME DPPMS yang mendapatkan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG) di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), syarikat-syarikat hanya perlu mengeluarkan 50% kos daripada jumlah asal.

"Pada masa depan kami juga ingin mengerahkan lebih banyak teknologi seperti teknologi robotik bagi memastikan ia sentiasa bersih. Jadi setiap kali jemaah masuk masjid ini mereka akan dapati ia bersih. Ia menjimatkan tenaga dan sentiasa bersih," kata Encik Raymond Leong, Pengurus Bestway Cleaning Services.

Menjelaskan lanjut, Pusat SME DPPMS menyatakan geran yang digunakan syarikat tersebut pada ketika itu ialah 50%. Namun selepas pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, jumlah geran tersebut sudah dinaikkan kepada 80%.

Lantaran itulah Pusat SME DPPMS berharap lebih ramai yang dapat memanfaatkan geran tersebut mentelah di tengah-tengah COVID-19 ini.

Peranan Pusat SME DPPMS adalah untuk membantu syarikat-syarikat perniagaan untuk memanfaatkan skim tersebut. Syarikat-syarikat, seperti syarikat Bestway Cleaning Services, kemudian akan mencari klien yang ingin membeli mesin robot tersebut.

"Geran ini sebenarnya sudah ditingkatkan kepada 80%. Jadi sekiranya syarikat-syarikat ingin memohon geran PSG ini, mereka akan mendapat 80% daripada Pemerintah," kongsi Encik Beny Ke Zhi Ming, Penasihat Kanan Pusat SME DPPMS.

Bagi Masjid Sultan sendiri, ia sudahpun merancang untuk mendapatkan sebuah lagi robot yang tidak kurang canggih.

Robot kedua yang mahu dibelinya itu dikatakan mampu membasmi kuman pula.

Mesin AI terbaru itu dijangka didapatkan Masjid Sultan menjelang akhir tahun ini.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan