Masjid Sultan main peranan penting kukuhkan perpaduan antara masyarakat berbeza SG: PM Wong

SINGAPURA: Masjid Sultan telah menjadi ikon negara serta tempat tumpuan penting bagi masyarakat Muslim sepanjang dua abad.
Ia juga kekal menjadi lambang kukuh bagi agama dalam kalangan masyarakat Muslim setempat dan luar negara hingga ke hari ini.

Dalam rakaman ucapannya sempena ulang tahun ke-200 Masjid Sultan, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata masjid itu juga memainkan peranan penting dalam menggalak perpaduan dan pemahaman antara masyarakat berbeza.
"Pada hari-hari awalnya, Masjid Sultan merupakan titik tumpuan utama bagi rantau ini untuk para jemaah yang melalui Singapura untuk naik haji. Ia kekal sebagai lambang agama yang kukuh hari ini, meraikan kedatangan para jemaah dari serata negara dan seluruh dunia. Sepanjang tempoh itu, Masjid Sultan berdiri teguh di tengah-tengah kawasan Kampong Gelam dan menyaksikan perubahannya.
Masjid itu juga telah menyaksikan perjalanan Singapura dari waktu sebelum penjajahan sehingga kemerdekaan, daripada negara dunia ketiga kepada yang pertama, daripada sebuah negara yang sengsara akibat rusuhan kaum kepada sebuah negara yang makmur dengan kerencaman masyarakat kita. Itulah mengapa kami mewartakan Masjid Sultan sebagai Monumen Negara pada 1975 bagi mengiktiraf kepentingan sejarah dan budayanya," kata PM Wong.

Beliau juga memberikan penghargaannya kepada usaha-usaha masjid itu dalam memperat ukhuwah sesama masyarakat.
"Hari ini, Masjid Sultan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan antara masyarakat berbeza kita. Masjid ini meraikan kedatangan para pengunjung daripada pelbagai budaya dan agama, menyediakan peluang bagi orang bukan Islam dan pengunjung luar negara belajar tentang Islam dan kedudukannya dalam sejarah Singapura. Usaha anda memperkukuh pemahaman kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, membolehkan kita maju ke hadapan sebagai rakyat bersatu padu," tambah PM Wong.
Rakaman ucapan beliau itu dimainkan di majlis makan malam yang berlangsung di PARKROYAL Beach Road pada Sabtu (26 Okt).
Majlis itu turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.
MASJID SULTAN SIMBOL PENTING MASYARAKAT MELAYU/ISLAM
Dalam wawancara bersama pihak media, Encik Masagos berkongsi betapa signifikannya Masjid Sultan bagi masyarakat Melayu/Islam Singapura.
“Saya gembira hari ini. Kita meraikan ulang tahun dwiabad Masjid Sultan, satu simbol yang sangat penting pada masyarakat Melayu/Islam. Ia adalah sebuah wakaf yang telah lama berdiri, menunjukkan pertahanan masyarakat kita dalam menjaga wakaf-wakaf yang ada dan diberikan sesepuh kita,” kongsi Encik Masagos.
“Sekaligus ia juga sebuah monumen nasional yang melambangkan juga pengiktirafan bangsa kaum masyarakat Melayu sebagai sebuah kaum yang sudah lama di Singapura,” tambahnya.

Dalam meraikan ulang tahun Masjid Sultan itu, Encik Masagos berharap masyarakat akan terus melawat kawasan Kampong Gelam di mana terletaknya Masjid Sultan sebagai mercu tanda.
“Masjid Sultan ini adalah satu mercu tanda yang sangat penting yang ada di Kampung Gelam dan orang Melayu/Islam juga suka ke sana untuk bersantai dengan keluarga membawa pelawat-pelawat ke sana kerana mereka bangga dengan adanya Masjid Sultan yang tersergam indah selama 200 tahun,” ujar Encik Masagos.
Sempena meraikan dua abad Masjid Sultan, pelbagai aktiviti menarik boleh dijangkakan masyarakat.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.