Skip to main content

Singapura

Masjid Sultan lancar lawatan berpandu, En-Naeem beri penghargaan kepada pekerja hijrahan sempena Hari Kebangsaan

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Sultan lancar lawatan berpandu, En-Naeem beri penghargaan kepada pekerja hijrahan sempena Hari Kebangsaan

Program lawatan berpandu yang diberi nama “The Grand Mosque of Singapore: A Beacon of Faith and Heritage” itu menawarkan akses istimewa kepada kawasan-kawasan dalam masjid yang sebelum ini tidak dibuka kepada masyarakat bukan Islam. (Gambar: Masjid Sultan)

SINGAPURA: Sebuah program lawatan berpandu dilancarkan oleh Masjid Sultan sempena sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-60 tahun.

Program lawatan berpandu yang diberi nama “The Grand Mosque of Singapore: A Beacon of Faith and Heritage” itu menawarkan akses istimewa kepada kawasan-kawasan dalam masjid yang sebelum ini tidak dibuka kepada masyarakat bukan Islam.

Terdapat lima stesen interaktif dalam lawatan tersebut, setiap satu membolehkan para pelawat meneroka sejarah, seni bina unik dan kehidupan masyarakat sekitar Masjid Sultan dengan lebih dekat lagi.
Related article image
"Idea tersebut tercetus daripada keinginan kami untuk menjadikan Masjid Sultan bukan sahaja tempat beribadah, tetapi juga sebuah ruang untuk diteroka. Kami ingin memberi para pengunjung pemahaman lebih mendalam mengenai sejarah masjid yang kaya, seni bina unik masjid kami serta kehidupan masyarakat yang meriah", ujar Encik Muhammad Nadzir Abdul Razak, salah seorang penyelaras lawatan berpandu tersebut.
Related article image
Tambahnya, ia juga mewujudkan ruang selamat bagi semua orang tidak kira agama, untuk belajar mengenai Islam, bertanyakan soalan-soalan dan menghuraikan salah tanggapan mengenai Islam.

Menurut Pengurus Dakwah Masjid Sultan, Ustaz Muhammad Syahid Abdul Latif, lawatan berpandu tersebut dilancarkan sempena Hari Kebangsaan Singapura sebagai satu cara untuk menunjukkan penghargaan kepada Singapura sempena sambutannya ke-60.
Related article image
"SG60 adalah pencapaian penting yang meraikan semangat bersatu-padu dalam kepelbagaian. Lantaran itu, melancarkan lawatan berpandu ini hari ini mencerminkan kedudukan Masjid Sultan dalam kisah Singapura, sebuah tapak warisan di mana sejarah, kepercayaan dan masyarakat bertemu.

"Ia cara kami memberi penghargaan kepada Singapura, di samping menjemput orang ramai untuk meneroka dan menghargai budaya kami."

Lawatan berpandu tersebut akan beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, dengan sesi-sesi diadakan dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan dari 2.00 petang hingga 4.00 petang.

MASJID EN-NAEEM BERI PENGHARGAAN KEPADA PEKERJA HIJRAHAN SEMPENA HARI KEBANGSAAN SINGAPURA
Related article image
Masjid En-Naeem pula menganjurkan sebuah acara khas bagi para pekerja hijrahan sempena Hari Kebangsaan Singapura hari ini.

Usaha murni itu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sumbangan golongan pekerja hijrahan kepada pembangunan negara.

"Pihak masjid mengharapkan bahawa acara yang diadakan pada hari ini menjadi jambatan untuk perkerja hijrahan untuk bergaul dan bersilaturahmi dengan duduk setempat dengan kaki tangan masjid dan satu peluang untuk kami mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka dalam pembangunan Singapura," kata pengerusi eksekutif Masjid En-Naeem, Ustaz Ruhaizan Abdullah.

Ini merupakan kali pertama acara sebegitu dianjurkan Masjid En-Naeem.

Selain kegiatan-kegiatan menarik, ceramah motivasi dan tazkirah oleh asatizah undangan turut diadakan di Masjid En-Naeem.

Menerusi acara tersebut, pihak masjid berharap agar para pekerja hijrahan rasa diterima, disamping memberi peluang kepada mereka menyumbang kembali selain di tempat kerja.

Antara pekerja hijrahan yang menyertai acara itu pagi tadi (9 Ogos) ialah Md Sheikh Al Mamun, 35 tahun.

"Saya rasa sangat gembira menghadiri acara ini terutamanya kerana ia sempena ulang tahun Singapura. Kami dapat menyambut ulang tahun Singapura bersama," kata Md Sheikh.

Seorang lagi pekerja hijrahan yang turut serta ialah Mohammad Ali.

"Saya berasa amat gembira kerana ia memberi lebih peluang kepada kami untuk menyambut ulang tahun Singapura bersama," tambah Ali.
Related article image
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita