Masjid Sultan akan jalani kerja peningkatan besar-besaran tahun depan
SINGAPURA: Kerja-kerja peningkatan besar-besaran ke atas Masjid Sultan akan mula dijalankan pada 2025.
Hal itu diumumkan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid, Encik Abdul Salim dalam ucapannya di majlis meraikan ulang tahun ke-200 Masjid Sultan pada Sabtu (26 Okt).
“Pada tahun depan, kita akan memulakan kerja-kerja peningkatan besar-besaran untuk Masjid Sultan. Berhubung hal ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Warisan Negara dan Pemeliharaan Kawasan dan Monumen atas geran mereka bagi kerja-kerja peningkatan kita. Tambahan juga, kita merancang untuk memulakan kerja-kerja penambahbaikan untuk bangunan Annexe untuk sediakan khidmat buat masyarakat dengan lebih baik,” kata Encik Abdul Salim.
Beliau juga berkongsi rancangan untuk membina satu galeri warisan yang menampilkan pameran dan artifak bagi generasi akan datang.
Sebelum ini, Masjid Sultan sudah menjalani kerja naik taraf bernilai S$3.65 juta pada 2016 bagi menyediakan kemudahan mesra warga emas seperti lif dan tanjakan.
Menurut Encik Abdul Salim, kerja-kerja naik taraf yang diumumkannya itu sejajar dengan rancangan Lembaga Pengurusan Masjid tersebut untuk menjadikan Masjid Sultan sebagai pusat pembelajaran Islam.
Mereka juga sudah pun melantik mantan Mufti, Dr Fatris Bakaram dan Ustaz Khair Rahmat sebagai Penasihat Dakwah bagi tujuan itu.
“Kami boleh bergabung dengan pakar-pakar hadis dan pakar-pakar tafsir dari masjid-masjid yang lain untuk melakukan kelas-kelas ugama dan Alhamdulillah, salah satu daripada mufassir yang ada juga adalah ahli dalam Masjid Sultan iaitu Ustaz Dr Qusairy yang pakar dalam ilmu tafsir," tambahnya.
BUKU AKAN DITERBITKAN, RAKAM KISAH & SEJARAH MASJID SULTAN
Sempena meraikan ulang tahun ke-200 masjid itu, sebuah buku juga akan diterbitkan yang merakam kisah dan sejarah Masjid Sultan buat rujukan generasi akan datang.
Buku itu akan memberikan penerangan yang mendalam tentang evolusi Masjid Sultan sepanjang dua abad sehingga menjadi mercu tanda utama kini di kawasan Kampong Gelam yang memainkan peranan sebagai hab budaya dan warisan di Singapura.
Selain itu, pelbagai acara dan aktiviti dianjurkan bagi meraikan dua abad Masjid Sultan.
Ini termasuk Syarahan Kenangan Masjid Sultan yang diadakan buat julung-julung kalinya pada Sabtu (2 Nov) di Masjid Sultan, serta pelancaran logo 'Bicentennial' berwarna emas.
Di majlis acara pada Sabtu (26 Okt), ‘medallion' atau pingat peringatan 'Bicentennial' itu juga dilancarkan dan diberikan kepada para hadirin majlis tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.