Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Sallim Mattar kerahkan dua kali ganda jumlah relawan bagi persiapan solat Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Menjelang sambutan lebaran pada Sabtu ini (22 Apr), masjid-masjid merata Singapura mula lakukan pelbagai persiapan menyambut jemaah untuk solat Hari Raya.

Ini termasuk perlu menambah jumlah relawan, serta melakarkan rancangan untuk memastikan aliran keluar dan masuk jemaah antara sesi solat berjalan dengan lancar.

MASJID SALLIM MATTAR PERTAMA KALI ANJURKAN TIGA SESI

Bagi Masjid Sallim Mattar misalnya, lebih banyak persiapan perlu dilakukan tahun ini kerana ia merupakan kali pertama masjid di MacPherson itu menganjurkan tiga sesi solat Hari Raya Aidilfitri.

Lantaran itu, pihak masjid juga cuba untuk memulakan persiapan lebih awal lagi.

Setiausaha Masjid Sallim Mattar, Encik Muhammad Fauzi Saini berkata, "Bagi tempat-tempat yang kami sediakan, kami pastikan ia bersih. Tikar-tikar di kawasan masjid, kita mula bentangkan, semuanya dari tingkat atas dahulu."

'

"Pada Hari Raya nanti, kita pastikan aras satu sesuai untuk para jemaah yang kurang upaya, yang menggunakan kerusi roda. Kita perlu kemaskan kawasan supaya dapat kita beri tumpuan kepada pergerakan jemaah," tambah beliau lagi.

'

Menjangkakan jumlah jemaah lebih ramai berbanding hari-hari biasa, Encik Fauzi juga mengatakan bahawa keselamatan para jemaah menjadi keutamaan.

"Kita perlu siapkan relawan kita lebih awal di semua tingkat sebab para jemaah, kalau mereka ingin masuk, mereka akan terus masuk dengan cepat. Jadi kita perlu kawal dan pastikan mereka tidak terburu-buru. Kami tidak ingin sesiapa jatuh, atau para jemaah tolak-menolak. Ini satu perkara yang perlu kita fikirkan," ujar Encik Fauzi.

TERIMA BANTUAN RELAWAN PEKERJA HIJRAHAN

Selain warga tempatan, masjid juga ini juga mengalu-alukan bantuan pekerja hijrahan yang turut menyingsing lengan.

Encik Fauzi berkata, "Kalau untuk Hari Raya, kita ada sekurang-kurangnya 10 relawan daripada golongan hijrahan. Kita juga ada sekitar lima hingga enam relawan tempatan. Pada hari biasa, lima kakitangan sudah mencukupi. Para pekerja hijrahan pun satu atau dua sahaja yang diperlukan."

'

"Kita tidak boleh fikir tentang operasi di aras-aras atas sahaja tetapi perlu fikirkan mereka yang belum ambil wuduk, mereka yang beratur. Kita pun perlu memeriksa tempahan para jemaah," tambah beliau lagi.

Selain itu, Encik Fauzi juga berpendapat bahawa para relawan pekerja hijrahan banyak membantu dari segi komunikasi dengan para jemaah.

"Kebanyakan jemaah yang datang ke masjid ini adalah pekerja hijrahan. Jadi relawan ini pun menjadi 'suara' kami. Sebab kalau kami yang bertutur dengan mereka, ia seperti ayam dengan itik. Jadi kalau mereka ada, mereka boleh berkomunikasi dengan lebih baik lagi," ujar Encik Fauzi.

RUANG SOLAT BAGI LIMA MASJID YANG MEMERLUKAN TEMPAHAN HAMPIR PENUH

Masjid Sallim Mattar merupakan antara lima masjid yang memerlukan para jemaah membuat tempahan bagi sesi solat yang pertama.

Masjid-masjid lain termasuk Masjid Darul Ghufran, Masjid Al-Mawaddah, Masjid Wak Tanjong dan Masjid Yusof Ishak.

Encik Fauzi berkata: "Ruang masjid kita agak kecil, jumlah jemaah yang datang pula melebihi. Kita beruntung ada sistem tempahan. Kita ingin mengawal, jadi kita boleh mengagak jemaah yang akan datang."

Masjid Sallim Mattar boleh menampung sehingga 480 jemaah dalam satu sesi dan 380 daripadanya adalah untuk jemaah lelaki.

'

"Kita boleh siapkan relawan untuk ruang yang penuh. Letakkan relawan di kawasan-kawasan yang bersesuaian. Operasi kita akan menjadi lebih terkawal, jemaah pun tidak akan nak rasa termarah," jelas Encik Fauzi.

Setakat jam 6.00 petang tadi, hanya lapan slot untuk jemaah wanita yang belum lagi ditempah di Masjid Sallim Mattar.

Dalam pada itu, lebih 98 peratus daripada sekitar 12,000 ruang solat yang ditawarkan di lima masjid tersebut bagi sesi pertama sudah ditempah.

'
Ruang solat di Masjid Darul Ghufran dan Masjid Yusof Ishak sudah ditempah sepenuhnya manakala hanya beberapa ruang sahaja yang tinggal bagi jemaah Muslimah di Masjid Sallim Mattar dan Masjid Al-Mawaddah.

Kurang 50 ruang solat bagi kedua-dua jemaah lelaki dan wanita belum ditempah di Masjid Wak Tanjong yang terletak di Paya Lebar.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan