Skip to main content

Singapura

Masjid Petempatan Melayu Sembawang kekalkan tradisi hidangan iftar atas dulang

Suasana di Masjid Petempatan Melayu Sembawang terus meriah Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Petempatan Melayu Sembawang kekalkan tradisi hidangan iftar atas dulang
Diterbitkan : 29 Mar 2024 10:17PM

SINGAPURA: Suasana di Masjid Petempatan Melayu Sembawang terus meriah Ramadan ini.

Setiap hari sekitar 50 jemaah lelaki dan wanita berbuka puasa di masjid itu.

Memandangkan hari ini (29 Mac) merupakan hari cuti umum Good Friday, jumlah jemaah yang datang meningkat lebih dua kali ganda kepada sekitar 200 jemaah yang datang ke masjid itu.

Dalam kalangan mereka termasuk bekas para penduduk Kampong Tengah, sebuah kawasan kampung yang pernah wujud di penjuru Sembawang sehingga 1980-an. 

Sehingga kini, para bekas penduduk masih datang kembali ke Masjid ini untuk berbuka puasa, bersolat tarawih di masjid itu.

'

Ia bagaikan mengembalikan nostalgia lama.

Pengerusi Masjid itu, Haji Amin Abdul Latif, juga merupakan bekas penduduk kampung itu. 

Haji Amin berkata: “Ada yang masih datang ke sini, tetapi generasi kedua seperti saya kerana yang generasi pertama mungkin ramai yang sudah uzur atau tiada lagi. Anak-anak mereka yang sering datang ke sini dan berjumpa kawan-kawan lama, bermesra di masjid.” 

“Dari dahulu, masjid ini ada nilai sentimental sebab masyarakat di sini bina masjid ini bersama. Golongan bekas penduduk apabila berjumpa, mereka rasa gembira, mesra dan berbual tentang kisah lama seperti pancing ikan, tangkap ketam, kisah-kisah dulu,” kongsi Haji Amin. 

'

Selain golongan bekas penduduk, sekitar 80 peratus jemaah yang berbuka puasa di masjid itu merupakan golongan pekerja hijrahan yang tinggal atau bekerja di kawasan berhampiran.

Seorang pekerja industri perkapalan yang bertugas di kawasan Sembawang, Muhammad Salman, berkata: “Kami suka masjid ini, ia seakan-akan perkampungan di negara asal kami. Ramai pekerja yang datang ke sini untuk berbuka puasa dan solat tarawih bersama-sama,” tambah Encik Salman. 

Pekerja dari Bangladesh itu sudah bertugas di Singapura selama 16 tahun dan sering ke masjid di Sembawang itu sejak sekitar 12 tahun lalu. 

Para pekerja hijrahan seperti beliau juga bukan sekadar datang untuk berbuka puasa. 

Mereka juga menyumbang masa dan tenaga sebagai relawan di masjid itu. 

'

 “Kami selalu membantu menyediakan kawasan iftar, menyusun makanan. Selepas iftar, kami juga akan membantu untuk membersihkan tempat ini," kata seorang lagi pekerja hijrahan, Encik Raihan Uddin, 45 tahun.

“Kami gembira dapat menjalani ibadah berpuasa di masjid-masjid seperti ini. Kalau di tempat tinggal kami, agak jauh. Jadi kita kadang kala lewat untuk berbuka puasa,” tambah Encik Raihan. 

TRADISI HIDANG JUADAH IFTAR ATAS DULANG

Antara keistimewaan berbuka puasa di Masjid Petempatan Melayu Sembawang adalah para jemaah dapat berbuka puasa dengan juadah yang disediakan di atas dulang. 

Ia dapat memupuk rasa kebersamaan antara para jemaah dan secara tidak langsung dapat menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Para jemaah juga dapat pelajari tentang adat makan berdulang. 

'

“Kita ingin mereka sentiasa bersama-sama, jadi apabila menggunakan dulang, mereka akan duduk bersama-sama sekurang-kurangnya ada empat orang. Kalau secara individu, mereka duduk berpecah-pecah, “ kata Haji Amin. 

Beliau juga mengatakan bahawa adat makan berdulang di masjid itu dimulakan sejak dahulu lagi. 

Haji Amin berkata: “Makan bersama itu dibahagikan kepada empat orang. Apabila dikeluarkan hidangan selalunya orang yang makan dulang tidak akan habis makan.  (Jadi) disediakan juga dengan daun pisang, plastik atau kertas, mereka akan membahagikan baki kepada empat.”

“Pada asalnya, ia selalunya orang sekampung berkumpul dan makan bersama. Sekarang sudah berubah, di mana termasuk juga orang asing. Ada sudu dan garpu disediakan untuk makan bersama. Mereka boleh berbual dengan orang daripada latar belakang berbeza-beza, kumpulan berbeza,” tambah beliau. 

Haji Amin juga berkata, para jemaah digalak untuk makan bersama dengan para pekerja hijrahan. 

“Kalau selalunya orang Melayu tahu caranya. Tetapi kalau orang asing, kita selalunya ada orang sendiri untuk menerangkan bagaimana makan berdulang  asalnya terjadi.” 

“Lauknya diletakkan di tepi, atau di pinggan mangkuk dan dituang. Kalau dicampur sekali, mungkin berbeza daripada cara mereka,” jelas Haji Amin. 

Selain itu, ada satu perkara lagi yang perlu diambil kira juga semasa menyediakan juadah berdulang, kata beliau 

“Yang penting, kalau makan berdulang, kita elak daripada menyediakan daging seperti lembu kerana mungkin ada bangsa atau agama lain yang makan bersama,” kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita