Masjid Omar Kampong Melaka yang berusia 198 tahun, atur program sambut 200 tahun S'pura diasaskan
Masjid Omar Kampong Melaka, yang dibina pada tahun 1820, juga akan melakarkan pelbagai kegiatan bagi memperingati 200 Tahun Singapura diasaskan oleh Raffles.
SINGAPURA: Masjid Omar Kampong Melaka, yang dibina pada tahun 1820, juga akan melakarkan pelbagai kegiatan bagi memperingati 200 Tahun Singapura diasaskan oleh Raffles.
Masjid itu antara lain akan menerbitkan buku elektronik tentang sejarah masjid dan pengasasnya, yang akan dilancarkan pada tahun depan.
Sebelum ini, Masjid Sultan, yang dibina pada tahun 1824, sudahpun didedahkan sebagai antara 60 badan tempatan yang akan menjalankan pelbagai projek pada 2019 bagi memperingati tarikh penting itu.
MASJID OMAR KG MELAKA LEBIH TUA DARI MASJID SULTAN
Mungkin ramai sebenarnya tidak tahu, Masjid Omar Kampong Melaka merupakan masjid pertama yang dibina di Singapura - empat tahun lebih tua daripada Masjid Sultan yang lebih terkenal.
Sesetengah pendapat malah mengatakan, Masjid Omar Kampong Melakalah rumah ibadat pertama dibina Singapura.
Kini berusia hampir 198 tahun, ia diasaskan pedagang Arab dari Palembang, Syed Sharif Omar Al-Junied, setelah dipelawa Raffles pada tahun 1819.
Selain menjadi tempat pembelajaran agama, masjid inilah pusat pertama pengumpulan zakat di Singapura, malah wakaf pertama Singapura pada tahun 1820 juga bermula di sini.
Dibina 200 meter daripada Sungai Singapura, masjid ini turut menjadi pusat berkumpul bagi kebanyakan masyarakat pendatang seperti Melaka, Jawa Peranakan dan pedagang Arab.
"Rumah Habib Omar yang pertama pun sebenarnya terletak berdekatan dengan kawasan masjid ini iaitu di kawasan Parlimen yang lama, bersebelahan dengan rumah Farquhar," kongsi Cik Sharifah Zahra Aljunied, generasi kelima pengasas Masjid Omar Kampong Melaka.
MASYARAKAT DIAJAK PERINGATI PEMIMPIN TERDAHULU S'PURA
Menyambut baik usaha-usaha memperingati 200 tahun Singapura, Cik Zahra berharap lebih ramai masyarakat akan lebih menghargai pemimpin-pemimpin terdahulu yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
"Kita mungkin mengetahui sejarah negara lain, atau sejarah orang-orang yang popular dari negeri lain tapi sejarah tentang pengasas negara kita sendiri yang telah lama mungkin tidak diketahui oleh ramai generasi yang baru, jadi saya rasa itu satu yang harus kita ketengahkanlah agar generasi baru dapat mengetahui akan jasa-jasa pengasas yang lama ini," tambahnya lagi.
(Cik Zahra Aljunied (kiri) bersama Encik Yusoff ketika ditemui di Masjid Omar Kampong Melaka)
BUKU ELEKTRONIK TENTANG MASJID DILANCAR TAHUN DEPAN
Lantaran saratnya ikatan Masjid ini dengan sejarah awal Singapura, ia sedang melakar pelbagai rancangan untuk sama-sama menyemarakkan sambutan 200 Tahun Singapura diasaskan.
Antara lain ia akan menganjurkan ceramah 200 Tahun Masjid Omar, dengan menjemput tokoh Ulama dari Singapura dan serantau menerbitkan sebuah 'buku mewah', dan jamuan amal makan malam bagi mengumpul dana untuk masjid ini dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Malah, untuk mendekati generasi muda, masjid ini turut akan melancarkan sebuah buku elektronik yang mengumpulkan kisah dan sejarah masjid ini.
"Jadi dalam buku digital ini mungkin sejarah itu akan dibukukan dan dimasukkan ke dalam buku digital itu, supaya lebih luas dapat dikenali oleh masyarakat.
"Kebanyakan masyarakat Singapura ... memandang kepada digital, jadi senang untuk mereka mengetahui sejarah-sejarah secara digital dengan mudah. Banyak di Singapura ini tidak mengetahui mana Masjid Omar Kampong Melaka," ujar Encik Yusoff Ali, Pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka
Kesemua rancangan dijalankan sejajar dengan sambutan 200 tahun Masjid Omar Kampong Melaka sendiri, pada 2020 nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.