Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Omar Kampong Melaka lancarkan Papan Maklumat Maqam Keluarga Aljunied

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Omar Kampong Melaka lancarkan Papan Maklumat Maqam Keluarga Aljunied

Papan Maklumat Maqam Keluarga Aljunied yang dilancarkan pada Rabu (12 Mac). (Gambar: Masjid Omar Kampong Melaka)

SINGAPURA: Para pengunjung Masjid Omar Kampong Melaka kini boleh memahami lebih lanjut mengenai sumbangan dan legasi pelopor masjid itu, Syed Omar Ali Aljunied.

Ini menerusi 'Papan Maklumat Maqam Keluarga Aljunied' yang baru dilancarkan dan didirikan di pekarangan makam Masjid Omar Kampong Melaka pada Rabu (12 Mac).

"Matlamat utama bagi pelancaran papan maklumat bagi makan keluarga Syed Omar Ali Aljunied ini adalah pertama sekali sebagai satu proses dokumentasi. Ia juga untuk mewujudkan kesedaran kepada masyarakat serta sebagai bentuk pendidikan awam buat masyarakat untuk mengenali tentang informasi tentang pengasas kepada masjid tertua di Singapura ini dan keluarganya serta dalam sejarah keislaman awal Islam di Singapura," kongsi Pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka, Dr. Mohamed Yusri Yubhi Md Yusoff.

Tambah beliau, papan maklumat itu juga bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya untuk memelihara tapak-tapak bersejarah, menggalakkan rasa tanggungjawab dan menghormati warisan budaya masyarakat Melayu/Islam yang kaya.
Papan maklumat itu dirasmikan tetamu terhormat, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Josephine Teo. (Gambar: Masjid Omar Kampong Melaka)
Tanah kubur di Masjid Omar Kampong Melaka itu menempatkan makam-makam anggota keluarga Aljunied.

Penolong Setiausaha dan Kurator Utama, Lembaga Pengurusan Masjid Omar Kampong Melaka, Sharifah Zahrah Syed Junied Aljunied, berkongsi bahawa antara elemen menarik di makam itu adalah batu nisan yang bercorak seperti batu nisan di Hadramaut, Yaman, iaitu tempat lahirnya Syed Omar Ali Aljunied.

Beliau berharap dengan pelancaran papan maklumat di makam itu, lebih ramai daripada masyarakat boleh memahami sejarah tentang Syed Omar Ali Aljunied.

"Beliau bukan sahaja pengasas masjid ini tapi beliau adalah antara perintis awal di Singapura di mana beliau telah bekerjasama dengan perintis-perintis awal yang lain dan dari kaum yang lain seperti Tan Tock Seng dan Tan Kim Ching untuk membina masyarakat Singapura pada masa 1840-an," kata Cik Sharifah.

Pihak masjid juga berharap dengan pelancaran papan maklumat itu ia dapat menarik minat generasi muda untuk mengenali bukan setakat sejarah masjid tetapi juga tentang sumbangan generasi-generasi sebelum ini.

SESI BERBUKA PUASA BERSAMA MENTERI JOSEPHINE TEO

Papan maklumat itu dirasmikan tetamu terhormat, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Josephine Teo.

"Ia adalah peringatan yang sangat tepat pada masanya tentang sejarah keharmonian kaum
yang wujud sebelum Singapura merdeka dan hanya dikekalkan kerana usaha ramai pemimpin masyarakat yang berusaha untuk menggalakkan ramai dalam masyarakat untuk menyumbang bagi memastikan perpaduan ini dapat dikekalkan," kata Cik Josephine Teo.

Beliau juga sempat menyertai sesi berbuka puasa dengan kira-kira 250 jemaah dan kakitangan masjid.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Josephine Teo, sempat menyertai sesi berbuka puasa bersama dengan kira-kira 250 jemaah dan kakitangan masjid. (Gambar: Masjid Omar Kampong Melaka)
MASJID OMAR KAMPONG MELAKA

Masjid yang dibina pada 1820 itu merupakan antara masjid yang tertua di Singapura.

Ia direka dan dinamakan sempena pengasasnya, Syed Omar bin Ali Aljunied, seorang saudagar Arab yang terkemuka dari Hadramaut.

Allahyarham Habib Syed Omar dan keluarganya memainkan peranan penting dalam pembangunan awal Singapura melalui sumbangan mereka kepada masjid, telaga dan jambatan.

Masjid itu menjadi tempat pertemuan penting bagi warga Melayu tempatan, Peranakan Jawi dan pendatang Islam dari Timur Tengah, India dan negara-negara jiran.
Cik Josephine Teo dan Penolong Setiausaha dan Kurator Utama, Lembaga Pengurusan Masjid Omar Kampong Melaka, Sharifah Zahrah Syed Junied Aljunied. (Gambar: Masjid Omar Kampong Melaka)
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan