Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid An-Nur sumbang S$20,000 untuk sokong para pesakit Ihsan Kidney Care

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid An-Nur sumbang S$20,000 untuk sokong para pesakit Ihsan Kidney Care

Masjid An-Nur sumbang S$20,000 untuk sokong para pesakit Ihsan Kidney Care. (Gambar: MTFA)

SINGAPURA: Masjid An-Nur telah menderma sebanyak S$20,000 kepada Ihsan Kidney Care (IKC) bagi menyokong para pesakitnya.

Majlis penyampaian cek diadakan di Masjid An-Nur pada Rabu (20 Dis).

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat dan akan membiayai sebuah kerusi dialisis dan menyokong rawatan bersubsidi bagi para pesakit ginjal di bawah jagaan IKC.

IKC, satu-satunya pusat dialisis yang dikendalikan Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), menawarkan rawatan dialisis subsidi untuk golongan berpendapatan rendah di Singapura.

Dari kiri: Pengerusi Eksekutif Masjid An-Nur, Encik Juraiman Rahim dan Pengarah Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos. (Gambar: MTFA)

“Melalui kerjasama bersama MTFA ini, kami berharap sumbangan ini dapat membantu para pesakit ginjal yang memerlukan mendapat akses kepada penjagaan tepat pada masanya tanpa perlu risau tentang kewangan dan memberikan ketenangan fikiran kepada diri dan keluarga mereka,” kata Pengerusi Eksekutif Masjid An-Nur, Encik Juraiman Rahim.

LEBIH DARIPADA 9,000 RAWATAN DIALISIS BERSUBSIDI SUDAH DIJALANKAN IKC

Gambar: MTFA

Lebih daripada 9,000 rawatan dialisis bersubsidi telah dijalankan di pusat rawatan IKC di Norris Road sepanjang tahun lalu.

"Kami teruja dan berbesar hati dengan sumbangan daripada Masjid An-Nur dalam menyokong usaha murni kami untuk membantu mereka yang memerlukan. Kami juga berharap dapat menjalin hubungan kerjasama dan perkongsian yang berpanjangan dan bermakna dengan lebih banyak pertubuhan Melayu/Islam pada masa akan datang,” kata Pengarah Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos.

MTFA mempunyai rancangan untuk membuka dua lagi pusat dialisis baharu dan menyasarkan untuk menambah jumlah kapasiti pesakit IKC kepada 400 menjelang 2024, iaitu peningkatan sebanyak enam kali ganda berbanding 66 pesakit sekarang.

Sedang ia terus berkembang, IKC komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dalam menyediakan pesakit dengan rawatan menggunakan teknologi terkini, dengan tujuan untuk memperluaskan lagi operasinya bagi menyokong lebih ramai pesakit ginjal pada masa hadapan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan