Skip to main content

Singapura

Masjid Moulana Mohamed Ali kekal selamat, beroperasi seperti biasa susuli kebakaran di luar pekarangan: Zaqy

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Moulana Mohamed Ali kekal selamat, beroperasi seperti biasa susuli kebakaran di luar pekarangan: Zaqy

Dewan solat Masjid Moulana Mohamed Ali. (Gambar: Facebook/Masjid Moulana Mohamed Ali Page)

Diterbitkan : 27 Sep 2026 12:28PM
Moulana Mohamed Ali Mosque remains safe, operating as usual following fire outside its compound: Zaqy Mohamad
  • Moulana Mohamed Ali Mosque at UOB Plaza One remains safe and is operating as usual after a fire broke out outside its entrance.
  • Mr Zaqy Mohamad said the incident could be troubling, but reminded that racial and religious harmony in Singapore must continue to be safeguarded collectively.
  • The Singapore Police Force said a 50-year-old Chinese man is suspected of placing tins of oil and setting fire to underwear before the blaze was put out by members of the public.
  • No injuries or damage were reported, the suspect was arrested within three hours, and police investigations are under way, with a lighter seized as evidence.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Masjid Moulana Mohamed Ali kekal selamat dan beroperasi seperti biasa menyusuli insiden kebakaran di luar masjid berkenaan.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad menerusi catatannya di Facebook pada Sabtu (26 Sep).

Encik Zaqy menarik perhatian bahawa insiden tersebut juga merupakan peringatan yang tepat pada masanya bahawa keamanan dan keharmonian yang dinikmati di Singapura tidak boleh dipandang ringan, sedang negara ini menyambut ulang tahun ke-10 gerakan nasional SGSecure.

Beliau menambah bahawa usaha memastikan masyarakat selamat dan kohesif adalah tanggungjawab bersama.

"Saya faham kejadian sebegini boleh menimbulkan kebimbangan, terutama apabila ia berlaku di laluan masuk masjid. 

"Keharmonian kaum dan agama yang telah lama kita nikmati di Singapura terbina hasil kepercayaan, persefahaman dan usaha bersama. 

"Marilah kita saling menjaga satu sama lain dan memelihara keharmonian ini, InsyaAllah," kata Encik Zaqy di Facebook.

Awal dari itu, seorang lelaki berusia 50 tahun berbangsa Cina disyaki mencetuskan kebakaran di luar Masjid Moulana Mohamed Ali, yang terletak di tingkat bawah tanah UOB Plaza One.

Pihak berkuasa juga mendapati lelaki itu meletakkan sebuah tin minyak di pintu masuk masjid sebelum membakar sehelai pakaian dalam yang diletakkan di dalam tin tersebut.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), kebakaran itu dipadamkan oleh orang awam dan tiada kecederaan dilaporkan.

Para pegawai SPF memberkas lelaki itu dalam tempoh tiga jam selepas aduan dibuat dan merampas sebuah pemetik api sebagai bahan bukti kes.

“Alhamdulillah, tiada sesiapa yang cedera dan masjid juga tidak mengalami sebarang kerosakan. 

"Saya turut berterima kasih kepada orang awam yang bertindak pantas memadamkan api. 

"Pihak polis sudah memberkas seorang individu dan siasatan sedang dijalankan," jelas Encik Zaqy.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita