Skip to main content

Singapura

Masjid mesti kekal terbuka, namun selamat untuk semua: Zhulkarnain Abdul Rahim

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid mesti kekal terbuka, namun selamat untuk semua: Zhulkarnain Abdul Rahim

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar Zhulkarnain Abdul Rahim menegaskan bahawa masjid mesti kekal sebagai tempat yang mesra dan, paling utama, selamat. (Gambar: Facebook/Zhulkarnain Abdul Rahim)

Diterbitkan : 18 Aug 2026 09:52PM Dikemas Kini : 18 Aug 2026 10:47PM
SINGAPURA: Masjid di Singapura mesti kekal sebagai tempat yang terbuka kepada jemaah, namun yang paling utama sekali, selamat bagi semua, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar Zhulkarnain Abdul Rahim pada Selasa (18 Ogos).

Encik Zhulkarnain juga menekankan kepercayaan adalah satu amanah dan tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kes jenayah seksual melibatkan sepasang adik-beradik lelaki yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam mengenai keselamatan di masjid.

"Seperti yang dikatakan Menteri Zaqy, kita mesti bertanya soalan-soalan yang sukar dan memperkukuh langkah perlindungan apabila perlu.

"Masjid-masjid kita mesti kekal sebagai tempat yang mesra dan terbuka kepada semua, tetapi yang paling utama, selamat.

"Kepercayaan adalah satu amanah, satu tanggungjawab yang tidak boleh kita pandang ringan," kata Encik Zhulkarnain menerusi catatannya di Facebook.

SOKONGAN, PRIVASI BAGI MANGSA TERLIBAT

Encik Zhulkarnain juga menekankan mangsa-mangsa berkenaan wajar diberikan jagaan, sokongan dan ruang privasi sepanjang proses pemulihan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai polis dan penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (CID) atas siasatan menyeluruh sehingga pesalah dibawa ke muka pengadilan.

Encik Zhulkarnain turut menegaskan bahawa mereka yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa dan menyalahgunakan kedudukan yang diberikan kepercayaan mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Beliau menambah bahawa tidak kira sama ada di ruang online atau offline, masyarakat perlu terus berwaspada, mendengar luahan anak-anak dan tidak teragak-agak untuk bertindak apabila mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

"Keselamatan mereka mesti sentiasa menjadi keutamaan," tambahnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita