Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid-masjid tempatan guna Facebook Live demi 'teruskan' kuliah agama

Masjid-masjid tempatan memanfaatkan teknologi bagi memastikan pendidikan agama tidak terputus untuk masyarakat Islam dan jemaah pula dapat terus menimba ilmu agama di tengah-tengah cabaran COVID-19, di mana kesemua 70 masjid perlu ditutup lima hari (13 hingga 17 Mac) bagi kerja-kerja pembersihan.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid-masjid tempatan guna Facebook Live demi 'teruskan' kuliah agama

(Gambar: Petikan skrin FB Live Masjid Al-Ansar)

SINGAPURA: Masjid-masjid tempatan memanfaatkan teknologi bagi memastikan pendidikan agama tidak terputus untuk masyarakat Islam dan jemaah pula dapat terus menimba ilmu agama di tengah-tengah cabaran COVID-19, di mana kesemua 70 masjid perlu ditutup lima hari (13 hingga 17 Mac) bagi kerja-kerja pembersihan.

Ini termasuk 'meneruskan' kuliah dan terus mendampingi umat Islam, dengan mendakapi kaedah Facebook Live.

Usaha tersebut dilakukan sedang semua kegiatan masjid, kelas agama dan prasekolah di masjid dihentikan selama dua minggu sehingga 27 Mac.

(Gambar: Facebook/Masjid Al-Ansar)

Inilah yang dilakukan antara lain Masjid Al-Ansar, yang merakamkan secara langsung kuliah dhuha pagi tadi (14 Mac) di laman Facebook masjid tersebut dan dikendalikan oleh mantan Mufti Negara, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Malah, setakat 5.00 petang tadi, kuliah sepanjang 1.5 jam menerusi Facebook Live itu berjaya menarik sekitar 11,000 tontonan dan dikongsikan hampir 300 kali.

Ketua di Pejabat Imam dan Pembangunan Korporat Masjid Al-Ansar, Ustaz Muhammad Imran Othman mengesahkan bahawa rakaman itu tidak dijalankan di ruang masjid.

"Ia dilakukan di luar, bukan di kawasan masjid. Tujuannya agar masyarakat tetap terus dapat mengambil manfaat dari pengajaran Ustaz Fatris yang boleh memberi impak atau kesan kepada mereka," jelas beliau ringkas.

Menurut Ustaz Imran, Ustaz Fatris sudah menjalankan kuliah dhuha di masjid tersebut sejak 22 Februari dan dijangka meneruskannya sehingga bulan Ramadan.

MASJID YUSOF ISHAK TURUT 'JALANKAN' KULIAH SUBUH

Sehubungan itu, Masjid Yusof Ishak juga 'meneruskan' kuliah subuh di laman Facebook secara langsung, yang turut dikendalikan Ustaz Dr Mohamed Fatris.

Video yang berlatarbelakangkan sebuah kabinet buku di kediaman Ustaz Fatris sendiri itu, menarik hampir 15,000 tontonan setakat 5.00 petang tadi dan dikongsikan hampir 600 kali.

Bukan sahaja kaedah sebegini menunjukkan sikap proaktif masyarakat Islam dalam situasi mencabar sebegini, malah ia juga menunjukkan ilmu agama dapat dikongsikan kepada lebih ramai individu menerusi wadah online seumpama ini.

Yang pasti, meskipun kegiatan di masjid terpaksa dibatalkan buat sementara, ilmu pengetahuan jelas dapat terus diajarkan menerusi teknologi masa kini sedang seluruh dunia dilanda cabaran besar COVID-19. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan