Skip to main content

Singapura

Masjid-masjid tawar khidmat korban di Australia pada harga sekitar S$300 seekor kambing

Sebanyak 42 masjid di Singapura akan menawarkan khidmat bagi ibadah korban tahun ini sempena Hari Raya Aidiladha, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Jumaat (3 Jul), yang menambah pendaftaran bermula hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid-masjid tawar khidmat korban di Australia pada harga sekitar S$300 seekor kambing

Gambar fail kambing korban. (Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 03 Jul 2020 01:36PM Dikemas Kini : 03 Jul 2020 01:44PM

SINGAPURA: Sebanyak 42 masjid di Singapura akan menawarkan khidmat bagi ibadah korban tahun ini sempena Hari Raya Aidiladha, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Jumaat (3 Jul), yang menambah pendaftaran bermula hari ini.

Dalam kenyataannya kepada media, MUIS menerangkan setiap daripada 42 masjid itu akan menawarkan 100 ekor kambing. Pendaftaran boleh dibuat langsung dengan mana-mana masjid terlibat sehingga 24 Julai ini.

Pada 8 Jun, MUIS telah mengumumkan tiada haiwan ternakan akan diterbangkan ke Singapura bagi tujuan ibadah korban tahun ini. Ini memandangkan keadaan yang berubah-rubah ekoran COVID-19.

Sebagai ganti, masjid-masjid tempatan akan memudahkan aturan untuk ibadah tersebut dilakukan di Australia. Daging korban itu akan disejuk beku dan dihantar ke Singapura.

Para jemaah yang mendaftar bagi khidmat ibadah tersebut akan menerima daging yang disiap bungkus setelah hari-hari Tasyrik, menurut MUIS, sambil menambah bahawa masjid-masjid sedang bekerjasama dengan vendor-vendor yang diberi lesen oleh Penguasa Makanan Singapura (SFA) untuk mengimport produk daging.

Harga seekor kambing korban tahun ini adalah antara S$300 dengan S$330, menurut MUIS.

Ini adalah lebih rendah berbanding harga S$480 setiap ekor semasa musim Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

"Pendaftaran dan urus niaga secara online adalah sangat digalakkan. Orang ramai boleh mendapatkan perincian lanjut daripada wadah-wadah masjid berkenaan atau menghubungi terus masjid-masjid bagi butiran pendaftaran," MUIS menyatakan.

MUIS juga menekankan piawai kebersihan serta keselamatan akan dipatuhi selaras dengan garis pandu nasional, termasuk semasa pengagihan daging kepada para penerima.

"Semua masjid terlibat akan memerhati prosedur operasi standard, mengamalkan piawai kebersihan tinggi, menjarakkan waktu pengagihan dan pengambilan dan mematuhi langkah-langkah keselamatan selaras dengan panduan nasional.

"Sebahagian daging juga akan diagihkan kepada para penerima Zakat MUIS dan pihak masjid boleh mengaturkan penghantaran tanpa sentuh untuk mengurangkan kontak dan interaksi," kata MUIS. 

Berikut adalah senarai masjid-masjid yang menawarkan khidmat ibadah korban di Australia tahun ini:

(Sumber: MUIS)
(Sumber: MUIS)


Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita