Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid-masjid giat buat persiapan terakhir sambut lebih ramai jemaah jelang Ramadan ini

Semangat menyambut bulan Ramadan kian dirasai di Masjid An-Nahdhah hari ini (1 Apr) dengan para kakitangan masjid mula membuat beberapa persiapan khusus menyambut para jemaah pada bulan puasa nanti.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semangat menyambut bulan Ramadan kian dirasai di Masjid An-Nahdhah hari ini (1 Apr) dengan para kakitangan masjid mula membuat beberapa persiapan khusus menyambut para jemaah pada bulan puasa nanti.

Ini termasuk membuka semula sudut kitab Al-Quran kepada orang ramai selepas ditutup sejak dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Malah lebih banyak tikar juga mula ditebarkan bagi menyediakan ruang untuk lebih ramai jemaah menunaikan solat tarawih setiap malam di masjid tersebut bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ramadan Masjid An-Nadhah, Encik Azman Yahaya berkata: "Tahun ini Masjid An-Nahdhah akan mendapat dalam 1200 orang yang boleh melakukan solat tarawih bersama jemaah.

"Muslimah (pula) di tingkat tiga, akan ada sembahyang tarawih juga, lebih kurang dalam 500 orang."

azman yahaya

Ini berbanding hanya 100 jemaah lelaki dan 50 jemaah wanita yang dapat menunaikan solat tarawih di Masjid An-Nahdhah pada Ramadan lalu.

Meskipun lebih banyak ruang disediakan, proses menempah slot bagi solat tarawih masih dikekalkan tahun ini.

solat

Secara keseluruhan, sebanyak 60,000 slot solat tarawih disediakan setiap malam.

Ini bermakna sekitar 1.8 juta slot dibuka bagi para jemaah bertarawih sepanjang bulan Ramadan ini di seluruh Singapura.

Naib pengerusi Masjid An-Nahdhah, Ustazah Liyana Rosli Asmara juga melahirkan harapan: "Kalau kita lihat yang paling ketara semasa Ramadan masa COVID itu, silaturahim hanya antara keluarga kerana setiap keluarga perlu laksanakan Ramadan di rumah jadi tak dapat nak rasa suasana Ramadan secara bermasyarakat.

liyana rosli asmara

"Tapi kita harap Ramadan kali ini dengan pembukaan bertahap-tahap, kita juga dapat meraikan dalam suasana berjemaah ataupun dalam bermasyarakat jadi mungkin agak lebih meriah sedikit."

RUANG BERBUKA PUASA KHUSUS

Para kakitangan masjid juga dilihat menebarkan tikar-tikar di aras bawah lantai satu Masjid An-Nahdhah.

Namun, ia sebenarnya bukan untuk jemaah menunaikan solat. Sebaliknya, ia merupakan ruang khusus yang disediakan untuk para pekerja penghantaran, para pemandu dan para pekerja hijrahan berbuka puasa.

an-nahdhah

Meskipun juadah berbuka puasa masih tidak disediakan di masjid-masjid bagi Ramadan kali ini, golongan tersebut boleh berbuka di ruang khas itu dengan juadah iftar mereka sendiri.

BAYAR ZAKAT TANPA SISTEM TEMPAHAN SLOT

Di samping itu, tiada lagi sistem tempahan bagi membayar zakat fitrah mahupun zakat harta di masjid tahun ini.

Orang ramai kini boleh langsung ke kaunter zakat bagi membuat bayaran.

zakat counter

Bagi terus menghidupkan semangat Ramadan, kegiatan-kegiatan agama lain seperti Qiyamullail juga akan diadakan di Masjid An-Nahdhah dan sebilangan masjid lain pada 10 malam terakhir Ramadan.

Jemaah tidak perlu membuat tempahan untuk sesi-sesi Qiyamullail, namun ia perlu selesai pada jam 4.30 pagi.

"Insya-Allah kita juga berharap pada Ramadan kali ini kita juga dapat melaksanakan tadarus kerana masa di masjid itu sendiri lebih panjang kali ini, jadi dapat juga memberi ruang, kalau ada keluarga ataupun Muslimah yang nak bertadarus di masjid, insya-allah mereka dapat melaksanakan," ujar Ustazah Liyana.

Dengan lebih banyak aktiviti keagamaan disambung semula, Majlis Ugama Islam Singapua (MUIS) masih menekankan pentingnya pendekatan berhati-hati dan berharap masyarakat dapat memberi kerjasama.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan