Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Maarof, Masjid al-Iman teruskan khidmat bas mudahkan jemaah datang terawih

Orang kurang upaya tidak dilupakan, Masjid Maarof sedia bas mesra kerusi roda bawa jemaah terawih.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Khidmat bas ulang alik percuma yang ditawarkan dua buah masjid tempatan bagi solat terawih di bulan Ramadan diteruskan lagi tahun ini.

Khusus buat para jemaah yang menetap di kawasan Jurong West dan Bukit Panjang, mereka hanya perlu sedia menunggu di pusat-pusat perhentian yang sudah ditetapkan antara setengah jam dengan 15 minit sebelum pukul 8.00 malam setiap hari dalam bulan Ramadan ini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Masjid Maarof yang terletak di Jurong West sudahpun menyediakan khidmat bas ulang alik percuma bagi memudahkan perjalanan para jemaah ke sana dalam bulan Ramadan ini.

Khidmat tersebut sudahpun dimulakan sejak masjid itu dibuka pada 2017. Namun tahun ini, khidmat itu lebih inklusif menerusi bas mesra kerusi roda.

TIDAK 'MEMBELAKANGKAN' ORANG KURANG BERNASIB BAIK

Semasa dihubungi, Ketua Jabatan Khidmat Korporat Masjid Maarof, Herni Halipah memberitahu BERITAmediacorp bahawa khidmat itu bertepatan dengan tema kempen Sentuhan Ramadan tahun ini - 'Sebarkan Rahmah: Ramadan Bersama Jiran. Raikan Bersama Keluarga dan Masyarakat’.

"Kami berharap perkhidmatan ini bukan sahaja memberi kemudahan tetapi juga mengukuhkan perpaduan sosial tanpa ‘membelakangkan’ orang-orang yang kurang bernasib baik dengan menyediakan khidmat keperluan khas ini," kata Cik Herni.

Semasa khidmat itu dimulakan sekitar tiga tahun lalu, Masjid Maarof menyediakan bas sederhana besarnya, antara 19 dengan 35 tempat duduk.

Pada tahun kedua, pihak masjid memajak bas yang lebih besar sekitar 40 tempat duduk.

"Insya Allah untuk tahun ini kami ada menyediakan dua buah bas dengan 20 tempat duduk dan lagi enam buah bas dengan 40 tempat duduk. Kami juga menyediakan tambahan satu bas khas," ujar Cik Herni.

LEBIH RAMAI JEMAAH BOLEH NAIK BAS PERCUMA INI

Beliau menambah, lima laluan bas yang ditetapkan masih sama seperti tahun-tahun sudah. Namun khusus bagi Laluan 5, masjid menambah satu lagi khidmat bas bagi para jemaah berkeperluan khas.

Dengan peningkatan yang dilakukan, ini bermakna lebih 300 jemaah akan dibawa ke masjid menaiki bas yang disediakan.

Ini adalah penambahan lebih 100 jemaah berbanding hanya kira-kira 200 semasa khidmat itu dimulakan.

"Alhamdulillah. Kami mendapat sambutan yang menggalakan daripada penduduk sekitar kawasan Jurong West Extension dan ada satu ketika pada tahun lalu, kami perlu menambah sebuah lagi bas di pertengahan bulan Ramadan bagi menampung jemaah yang menyambut baik usaha kami ini," Cik Herni memberitahu BERITAmediacorp.

HAMPIR 10 TAHUN; MASJID AL-IMAN TERUSKAN KHIDMAT BAS

Sebuah lagi masjid yang sudah menawarkan khidmat serupa hampir sedekad lamanya, adalah Masjid al-Iman di Bukit Panjang.

Menurut Ketua Pendampingan Masyarakat Masjid al-Iman, Ishak Kasmani, khidmat tersebut tidak lain hanyalah untuk memberikan sedikit kemudahan buat para jemaah yang ingin bersolat terawih di masjid itu. Khususnya buat golongan lanjut usia dan yang mempunyai anak-anak kecil.

Masjid Al-Iman di Bukit Panjang Ring Road. (Gambar: Facebook Masjid Al-Iman)

Penduduk Bukit Panjang boleh memilih antara dua bas yang disediakan.

Kedua-dua bas yang secara keseluruhannya boleh menampung sekitar 90 orang jemaah akan berhenti di sebanyak 19 perhentian bas. Ini termasuk Bukit Panjang Ring Rd (berdekatan stesen LRT Senja), Jelapang Rd, Saujana Rd, Segar Gardens dan Fajar Rd.

"Sejauh ini tidak banyak perubahan yang kami lakukan selain menukar laluan bas demi menampung jemaah seramai munkin. Ini terutama sekali di kawasan yang terdapat flat-flat BTO yang baru naik.

"Insya Allah jika keadaan memungkinkan, kami akan menimbangkan untuk mengadakan bas-bas yg boleh membawa jemaah berkerusi roda," ujar Encik Ishak.

Bagi jemaah yang ingin ke Masjid Maarof, mereka perlu menunggu di perhentian bas pada pukul 7.50 malam.

Jemaah yang mahu ke Masjid al-Iman pula perlu menunggu pada pukul 7.30 malam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa