Skip to main content

Singapura

Masjid lebih sihat! 2,000kg beras perang diguna dalam dalam acara buka puasa tahun ini

Kempen itu, yang menggalak orang ramai mengurangkan pemakanan gula demi menangani penyakit kencing manis, tahun ini lebih rancak daripada yang sebelumnya. Hasilnya ternyata juga, menggalakkan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Jun 2019 05:05PM Dikemas Kini : 29 Jun 2019 10:41PM

SINGAPURA: Sepanjang bulan Ramadan dan ketika kita sibuk kunjung-mengunjung Syawal ini, pasti pernah sekurang-kurangnya sekali, kita melihat iklan kempen 'Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?'.

Kempen itu, yang menggalak orang ramai mengurangkan pemakanan gula demi menangani penyakit kencing manis, tahun ini lebih rancak daripada yang sebelumnya. Hasilnya ternyata juga, menggalakkan.

Demikian penilaian Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin yang turut mendedahkan seberapa banyak beras perang dalam acara-acara iftar masjid.

"Kempen ‘Kita Dah Cukup Manis’ mendapat sambutan yang sangat manis daripada masyarakat. Tiga pasar raya memberi sokongan sepenuhnya. 21 masjid serta 11 kumpulan qaryah mengadakan program-program, iftar sihat - sekitar 2,000kg beras perang telah digunakan," ujar Encik Amrin.

Related article image
(Gambar: Korang Ok?/Facebook) 

(Gambar: Korang OK?/Facebook) 

Encik Amrin akur bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan tetapi menarik perhatian bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjaga pemakanan mereka kian meningkat.

"Kempen ini menjadi buah cakap orang ramai apabila mereka berkunjung semasa Hari Raya. Ia juga lebih rancak juga kerana mendapat sokongan lebih ramai lagi anggota masyarakat seperti masjid-masjid," jelas beliau.

ORANG MELAYU HARUS REBUT PELUANG DALAM SEKTOR JAGAAN KESIHATAN

Menyampaikan demikian semasa satu majlis Perjumpaan Hari Raya bagi para karyawan kesihatan dari sektor awam dan swasta pada Jumaat (28 Jun), Encik Amrin juga mengajak masyarakat Melayu/Islam supaya memanfaatkan peluang-peluang yang disediakan pemerintah dalam usaha mengukuhkan sektor jagaan kesihatan.

"Semakin ramai kakitangan yang bekerja di hospital dan semakin ramai (merupakan) mereka daripada bangsa kita," kata Encik Amrin.

Related article image

"Saya ingin mengajak masyarakat kita untuk terus merebut peluang-peluang yang disediakan kerana kita akan membina lebih banyak hospital dan poliklinik pada masa hadapan memandangkan masyarakat kita semakin menua. Jadi peluang untuk menjadi kakitangan hospital juga semakin meningkat."

Beliau menambah, pelbagai inisiatif turut diperkenalkan untuk memudahkan mereka yang ingin menukar kerjaya atau menceburi sektor jagaan kesihatan. Semuanya ini bagi memenuhi permintaan yang meningkat bagi khidmat jagaan bermutu.

CABARAN DEKATI MASYARAKAT MELAYU CEBURI JAGAAN KESIHATAN

Encik Amrin turut menarik perhatian, usaha menarik karyawan jagaan kesihatan Melayu/Islam lebih mencabar lagi memandangkan masyarakat Melayu membentuk jumlah besar penduduk yang menghidap penyakit kronik.

Buat masa ini, seorang bagi setiap tujuh warga Singapura berusia lebih 65 tahun menghidap penyakit kronik dan jumlah itu dijangka meningkat kepada satu daripada setiap empat penduduk.

Maka itu, Encik Amrin amat berbesar hati dengan meningkatnya sokongan kukuh masyarakat dan rakan-rakan masyarakat termasuk masjid-masjid, MAEC dan para penjaja dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang sihat.

Beliau menggesa masyarakat agar terus mengamalkan gaya hidup sihat bukan hanya semasa Ramadan dan Syawal tetapi menjadikannya satu tabiat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita