Skip to main content

Singapura

Masjid Khalid tukar lokasi untuk teruskan tradisi masak bubur, nasi beriani sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tradisi memasak bubur masjid sendiri dan resipi mantan pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Haji Alla'udin Mohamed masih lagi diteruskan masjid itu.

Namun, ia tidak lagi dilakukan di pekarangan masjid yang terletak di Onan Road itu. Sebaliknya, kakitangan masjid dan relawan menyiapkan bahan-bahan dan menyediakan bubur itu di Hab Khidmat Masyarakat Mawar (MCS).

"Sebenarnya Masjid Khalid masih masak di bulan Ramadan ini, hanya kami bergabung dengan Hab Khidmat Masyarakat Mawar yang terletak tidak berjauhan dengan masjid.

"Masjid adalah di 130 Onan Road dan hab pun di Onan Road juga di 69A Onan road. Jadi memang tidak jauh jadi senang untuk sukarelawan kami ke hab kerana MCS ini, tempatnya lebih besar, lebih selesa bagi sukarelawan kami tolong masak di sana," kongsi Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin.

Setiap hari, hampir 2,000 bungkus bubur diagihkan selepas solat Asar kepada para jemaah.
MASJID KHALID BUAT PERSIAPAN AWAL RAMADAN INI

Ini juga merupakan Ramadan pertama tanpa mantan pengerusi mereka, Allahyarham Haji Alla'udin yang meninggal dunia pada November lalu.

Untuk itu, pihak masjid membuat persiapan lebih awal sebelum menjelang bulan Ramadan.

"Kami memang tahulah tahun ini amat kritikal kerana buat pertama kalinya, ketua kami, Allahyarham Haji Alla'udin dah meninggal dan tinggalkan kami. Jadi, oleh itu, jawatankuasa Lembaga Pentadbir Masjid dan sukarelawan memang kita pada sudah dua bulan awalnya sudah kita berbincang tentang Ramadan ini. Apa yang kita perlu buat? Di mana kita akan masak? Masa masak semua sudah diperbincangkan dari awal lagi.

"Tapi buat tahun ini kita ada bincang dan kita akan teruskan, kita akan masak bubur dan pun ada nasi, tiap-tiap hari kami cuba. Memanglah tidak hari-hari nasi beriani, orang pun jelak jadinya tapi bubur ini insya-Allah hari-hari," kata Dr Ariffin.
LEGASI ALLAHYARHAM HAJI ALLA'UDIN DILESTARIKAN

Allahyarham Haji Alla'udin sebelum ini dikenali dengan resipi nasi beriani yang disediakan dan diagihkan untuk tujuan amal dan kutipan derma.

Bagi memastikan legasi Allahyarham dilestarikan, tukang-tukang masak yang sudah lama berkhidmat menunjuk ajar cara memasak kepada relawan yang lebih muda.

"Insya-Allah legasi Allahyarham akan kami teruskan. Kami ambil sukarelawan yang lebih muda dan cef-cef yang lama kami tunjuk ajar cara macam mana nak kacau bubur, macam mana nak buat nasi beriani.

"Mungkin ini masih tahap awal lagi untuk kita katakan ada golongan muda yang ambil alih tapi masa kini perkara-perkara kritikal seperti waktu masak itu masih cef-cef lama kita yang pegang tetapi insya-Allah kita dapat orang muda untuk ambil alih," kata Dr Ariffin.
Antara relawan adalah Encik Zack yang sudah menyumbang tenaga selama lebih 30 tahun untuk memastikan kegiatan Ramadan di Masjid Khalid berjalan lancar.

"Kepuasan yang saya raih daripada menjadi relawan selama 30 tahun ini adalah saya dapat membantu di rumah Allah dan kedua adalah saya juga dapat memudahkan jemaah di masjid ini," kata Encik Zack.

ACARA MENARIK SEMASA BULAN RAMADAN DI MASJID KHALID

Dalam pada itu, Dr Ariffin juga berkongsi beberapa kegiatan menarik yang akan diadakan Masjid Khalid sepanjang bulan Ramadan ini.
Antaranya Majlis Penghargaan buat Qaryah pada 6 Mac dan sesi perbincangan dengan Harmony Circle dan kumpulan-kumpulan dari agama lain pada 21 Mac ini.

"Pada 6 Mac ini kita ada acara qaryah di mana kita berterima kasih kepada kumpulan qaryah kerana telah berkhidmat kepada masyarakat dengan menyediakan tempat-tempat solat. Inilah satu perkara daripada arwah atau mantan pengerusi kita Haji Alla'udin, " kongsi Dr Ariffin.

Ini merupakan kali kedua acara penghargaan buat Qaryah dianjurkan di masjid itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita