Masjid Khalid tingkat kesedaran kesihatan, galak pengesanan awal penyakit dalam kalangan jemaah
- Masjid Khalid di Singapura menganjurkan Hari Keluarga pada 8 Ogos dengan pelbagai saringan kesihatan dan pendidikan untuk masyarakat Melayu/Islam.
- Acara ini melibatkan kerjasama dengan Persatuan Barah Singapura, Hospital Besar Changi dan Persatuan Ain, serta kehadiran Dr Ariffin Kawaja dan Zaqy Mohamad.
- Selain kesihatan, program keluarga, bazaar dan forum turut diadakan, serta kutipan dana melalui jualan 5,000 bungkus beriani amal untuk Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah.
- Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan, menggalak pengesanan awal penyakit, dan menggalakkan penglibatan sukarelawan belia dalam masyarakat.
Oleh itu, Masjid Khalid menyediakan pelbagai khidmat saringan dan pendidikan kesihatan sempena acara Hari Keluarga pada Sabtu (8 Ogos).
Acara tersebut menampilkan inisiatif saringan barah payudara, serviks dan kolorektal, saringan kesihatan dan reruai pendidikan kesihatan.
Bertema "Bersatu Hati, Prihatin Terhadap Masyarakat", acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalak pengesanan awal, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Buat pertama kali, Masjid Khalid bekerjasama dengan Persatuan Barah Singapura, Hospital Besar Changi dan Persatuan Ain.
Menurut Pengerusi Masjid Khalid, Dr Ariffin Kawaja, pihaknya ingin mengambil peluang untuk meningkatkan jumlah saringan di kalangan masyarakat Melayu.
"Memandangkan saringan kesihatan dalam masyarakat Melayu kurang kalau dibandingkan dengan masyarakat yang lain seperti masyarakat Cina dan masyarakat India, kita ingin meningkatkan kesedaran untuk orang Melayu, kerana orang Melayu masih takut dan ragu," kongsi Dr Ariffin.
Menurutnya lagi, tidak hairan bagi masjid memainkan peranan sebagai jambatan antara masyarakat dan penyedia khidmat kesihatan.
"Masjid ini bukan satu tempat untuk beribadah sahaja, masjid ini satu pusat bagi masyarakat Islam. Daripada segi pengajaran, daripada beberapa khidmat yang disediakan. Jadi kita rasa memang bukan ganjil untuk kita bawa saringan kesihatan dalam masjid," jelasnya.
Selain penjagaan kesihatan, pelbagai program disediakan untuk seisi keluarga, termasuk bazaar, program pendidikan dan forum kesihatan.
Semangat untuk membantu masyarakat turut diterapkan melalu usaha mengumpul dana untuk Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah.
Sebanyak 5,000 bungkus beriani amal disiapkan oleh para sukarelawan, dengan hasilnya disalurkan kepada madrasah tersebut.
Setiap bungkus berharga S$15, dengan S$35,000 berjaya diraih.
Acara itu turut menyediakan platform bagi sukarelawan, terutama belia, untuk berganding bahu dan menyumbang kepada masyarakat.
Turut hadir pada acara itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.