Masjid Khalid mula beroperasi dari tapak sementara di Onan Road; kerja naik taraf disambung semula
Masjid Khalid, yang menutup pintunya pada suku terakhir tahun lalu bagi menjalani kerja-kerja naik taraf, kini berpindah ke sebuah tapak sementara di Onan Road.
SINGAPURA: Masjid Khalid, yang menutup pintunya pada suku terakhir tahun lalu bagi menjalani kerja-kerja naik taraf, kini berpindah ke sebuah tapak sementara di Onan Road.
Mengumumkan demikian dalam catatan Facebooknya pada Isnin (31 Ogos), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan Masjid Khalid sudahpun mula beroperasi sepenuhnya di tempat sementara itu mulai hari ini (1 Sep).
Tapak sementara tersebut, menurut MUIS, akan membenarkan masjid itu untuk menyambung semula operasi dan programnya sehingga awal 2022. Ini di samping menyediakan keperluan ruang solat bagi para jemaah yang berkunjung ke kawasan Geylang Serai untuk menunaikan solat lima waktu serta solat Jumaat.
Pagi tadi, kumpulan pertama jemaah memanfaatkan tapak sementara Masjid Khalid itu untuk mengerjakan solat Subuh.
"Saya rasa tempat yang sementara ini agak lebih selesa insyaAllah kerana ruang tanahnya lebih luas tiga kali ganda pada tempat ruang tanah yang kita ada wakaf di Masjid Khalid itu.
"Ini adalah satu rasa kegembiraan bagi pihak lembaga yang kita dapat menyahut keperluan masyarakat kita. Tempat duduk kita di Geylang Serai, di Geylang Serai ini tempat masyarakat kita, kalau kita taidak buka tempat sementara ini banyak masyarakat kita yang tidak dapat solat Jumaat," kata Encik Allaudin Mohamed, Pengerusi Masjid Khalid.
Majid Khalid berkongsi di Facebook hari ini mengenai waktu operasinya di tempat sementara tersebut iaitu dari 5.30 pagi hingga 7.00 pagi serta dari 1.00 tengah hari hingga 9.00 malam.
Ia juga memuat naik video berikut bagi memberi panduan kepada para jemaah akan cara bagaimana untuk menuju ke tapak sementara itu dari tiga tempat berbeza: Joo Chiat Complex, Masjid Khalid dari pagar masuk Joo Chiat Rd serta Masjid Khalid dari pagar masuk Onan Rd.
Selain itu, ia turut mengingatkan para jemaah supaya mematuhi langkah-langkah pengurusan keselamatan yang dilaksanakan sepanjang berada di tapak sementara tersebut.
MUIS menyatakan kerja-kerja naik taraf bagi Masjid Khalid yang berusia 102 tahun, yang sudah lama dirancangkan itu, akan diteruskan bermula hari ini setelah projek-projek binaan di seluruh negara diberi lampu hijau untuk menyambung kembali operasi.
Kerja-kerja naik taraf, termasuk memperluaskan ruang solat menyusuli pembangunan pesat di sekitar Geylang Serai dan Paya Lebar, dijadual selesai dalam masa dua tahun namun tergendala dek pandemik COVID-19.
Ruang solat di Masjid Khalid yang baru dikatakan mampu menampung seramai 1,750 jemaah selepas dinaik taraf, berbanding 1,000 jemaah sebelum ini.
Masjid itu juga akan menambah tiga lagi aras, menjadikan ia bangunan empat aras dengan besmen.
Pihak masjid juga berkongsi, dengan adanya tapak sementara ini ia berharap usaha pengumpulan dana dapat terus dipergiat, memandangkan dana bagi projek naik taraf Masjid Khalid bernilai yang $7 juta masih lagi berkurangan 30%.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.