Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Khalid buka pintu kepada solat Jumaat pertama selepas selesai kerja naik taraf

Solat Jumaat pertama di tapak asal Masjid Khalid berjalan dengan lancar hari ini (13 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Khalid buka pintu kepada solat Jumaat pertama selepas selesai kerja naik taraf

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Solat Jumaat pertama di tapak asal Masjid Khalid berjalan dengan lancar hari ini (13 Jan).

Hampir kesemua 1,750 ruang solat ditempah sepenuhnya bagi sesi pertama solat tersebut.

Masjid ikonik berusia lebih 105 tahun di kawasan Joo Chiat Road itu ditutup sejak 2019 untuk menjalani kerja-kerja naik taraf bernilai S$7.5 juta.

Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir turut merasmikan acara perwakafan bangunan setinggi empat tingkat itu, di samping menyampaikan khutbah dan memimpin jemaah menunaikan solat tersebut.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Dalam ucapannya, Mufti meluahkan rasa bangga atas sokongan yang dihulurkan masyarakat sepanjang tempoh masjid itu ditutup dan bagi usaha mengumpul dana yang dijalankan.

"Kejayaan ini hanya boleh tercapai hasil sokongan padu, pengorbanan dan titik peluh dari semua pihak termasuk anggota-anggota lembaga pentadbir masjid, warga kerja masjid, para asatizahnya, para imam dan bilalnya, para relawan dan penderma yang telah banyak bermurah hati menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan wang dan tenaga," kata Mufti.

Menurut Dr Nazirudin, masjid-masjid mempunyai peranan yang lebih luas untuk menganjurkan kegiatan ibadah yang lebih pelbagai seperti pembelajaran dan perhimpunan.

Namun, beliau turut mendedahkan bahawa terdapat ruang-ruang khusus di setiap tingkat bangunan Masjid Khalid yang diwakafkan sebagai ruang iktikaf.

"Kawasan iktikaf ini mempunyai aturan hukumnya yang tersendiri yang perlu dijaga kesuciannya dan dihormati kawasan tersebut. Sama ada secara zahir, mahupun rohani. Sesuai dengan tuntutan syariat Islam. Kegiatan-kegiatan yang boleh disifatkan sebagai tidak selaras dengan ibadah khusus tidak harus dilakukan di kawasan-kawasan iktikaf," jelas Mufti.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut Pengerusi Masjid Khalid, Encik Alla'udin Mohamed, sambutan daripada para jemaah sejak ia dibuka semasa solat Zuhur pada Rabu (11 Jan) juga menggalakkan.

"Mereka (Jemaah) suka dengan keadaan, pembaharuan dengan kemudahan-kemudahan yang baru dan aman untuk semua," kata Encik Alla'udin.

MASJID SUDAH 98% SIAP

Beliau turut berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa persiapan untuk solat Jumaat pertama juga sudah dimulakan seawal lima hari yang lalu, dengan bantuan pelbagai pihak.

Setakat ini, Encik Alla'udin berkata Masjid Khalid sudah bersiap sedia untuk beroperasi sepenuhnya dan hampir 98 peratus siap buat masa ini.

"Pokok-pokok yang di tingkat atas bumbung itu yang belum tanam. Lain kalau kerana bangunan, tandas, dari segi lain, Alhamdulillah cuma perkara-perkara yang kecil-kecil sahaja," tambahnya.

Antara jemaah dan relawan masjid yang begitu gembira dengan pembukaan semula masjid itu ialah Encik Abdullah Yusof Ibrahim.

(Encik Murtadha Mustafa dan Encik Khamsani Haji Karim. Gambar: Syawal Yusoff)

"Sekian lama kita telah menunggu, sungguh menarik dan sungguh membanggakan suasana kami orang-orang di Geylang Serai," kata Encik Abdullah.

Sentimen serupa turut disuarakan oleh Encik Murtadha Mustafa yang terpesona dengan keindahan bangunan masjid itu.

"Walaupun wajah baru, perasaan yang sama. Kita tetap rasa ini adalah masjid kita yang terdahulu dan dinaiktarafkan," kata Encik Murtadha Mustafa.

Bagi Encik Khamsani Haji Karim yang juga kerap ke Masjid Khalid sejak dahulu lagi, beliau berharap masjid itu dapat terus dilestarikan oleh golongan muda.

"Masjid ini bangunan asal itu dikekalkan. Kemudian bangunan tambahan dibangunkan. Jadi satu pelan yang baik. Ada sejarahnya kemudian ada pembangunan barunya. Jadi generasi muda dapat melihat kedua-duanya," katanya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi mengelakkan kesesakan, masjid itu menawarkan tempahan slot untuk sesi pertama solat Jumaat.

Meskipun ada jemaah yang terlupa atau tidak menempah slot terlebih dahulu, para pegawai masjid sedia membantu mereka.

Menurut pihak masjid, tempahan slot untuk sesi pertama solat Jumaat akan diteruskan untuk solat Jumaat pada minggu depan.

Bergantung kepada sambutan orang ramai, pihak masjid akan membuat penilaian sebelum menarik balik peraturan tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan