Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Khadijah dan RCC dinaik taraf dengan kos S$2 juta demi tingkatkan usaha RRG

Masjid Khadijah serta Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) kendalian Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) akan menjalani kerja-kerja naik taraf bernilai $2 juta. Ia akan dilaksanakan bermula suku keempat tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masjid Khadijah serta Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) kendalian Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) akan menjalani kerja-kerja naik taraf bernilai $2 juta.

Ia akan dilaksanakan bermula suku keempat tahun ini.

Projek itu diumumkan RRG lewat petang tadi (29 April) semasa kunjungan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ke masjid itu bagi mendedahkan rancangan tersebut.

Kerja peningkatan itu dilakukan khususnya demi mempertingkatkan pengalaman pengunjung ke RCC RRG itu.

KEMUDAHAN BARU DAPAT TINGKATKAN USAHA RRG

DPM Heng menyifatkan projek itu sebagai satu usaha penting yang akan meningkatkan lagi usaha-usaha RRG.

Antara lain, satu galeri terbuka RCC akan dibangunkan di Masjid Khadijah dengan merubah ruang pejabat masjid dan kaki lima masjid. Ruang di tingkat empat juga akan diperluaskan bagi menempatkan kawasan tambahan galeri itu dan dewan serbaguna masjid.

Menurut RRG ada beberapa sebab kerja peningkatan ini diperlukan.

Pertama bilangan pelawat ke RCC sudah banyak meningkat termasuk pelawat antarabangsa. Kedua, dengan pelbagai kegiatan antiradikalisasi dijalankan RRG, ia perlu meluaskan ruang fizikalnya di RCC.

Ketiga, peningkatan kemudahan RCC akan membolehkannya menawarkan pengalaman lebih baik kepada pelawat.

KERJA NAIK TARAF TIDAK MENJEJAS KEGIATAN MASJID

Menurut Naib Pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, kerja-kerja peningkatan ini mencerminkan komitmen RRG dan masjid itu untuk mendekati masyarakat dalam memerangi ancaman fahaman pelampau secara dalam dan luar talian.

"Projek penambahbaikan Masjid Khadijah dan juga Pusat Sumber dan Kauseling RRG ini dijangka akan bermula pada suku akhir tahun ini dan akan mengambil masa kurang lebih satu tahun," kata beliau.

"Dalam masa projek ini sedang dijalankan, jemaah yang mengunjung ke Masjid Khadijah tidak akan terjejas kerana projek ini melibatkan lantai pertama daripada bangunan tambahan Masjid Khadijah dan juga lantai keempat daripada bangunan wakaf Masjid Khadijah."

MUIS hari ini menerusi Ketua Eksekutifnya Esa Masood turut menyumbang cek $100,000 kepada projek ini kepada Pengerusi Masjid Khadijah, Ustaz Ali Mohamed.

PEMERINTAH HARGAI USAHA RRG DAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Dalam ucapannya pula, DPM Heng berkata usaha membanteras ideologi pelampau mesti diteruskan meskipun dunia sedang dilanda pandemik COVID-19.

Projek peluasan RCC ini kata beliau akan meningkatkan dan meniup nafas baru kepada Masjid Khadijah serta akan membolehkan RCC menjangkau lebih ramai lagi rakyat Singapura.

Beliau juga yakin pusat sumber dan kaunseling RRG itu akan memperkuat usaha menangkis ideologi pengganasan di mana masyarakat semakin berdepan dengan radikalisasi online.

"Saya berbesar hati para pemimpin agama dan kumpulan masyarakat kita bekerjasama dalam usaha melawan ekstremisme. Mereka mengeluarkan kenyataan untuk mengutuk keganasan dan menyatakan dengan jelas bahawa mereka menentang semua jenis ideologi radikal," kata DPM Heng.

Beliau juga yakin bahawa Pusat Sumber dan Kaunseling bukan sahaja memberi kefahaman lebih baik mengenai pengganasan global tetapi juga peluang untuk memahami perutusan sebenar yang diajarkan Islam kepada para penganutnya - iaitu keamanan.

"Itulah sebabnya kita punya keamanan dan keharmonian di Singapura," kata Encik Heng.

PERANAN PENTING PERTUBUHAN MELAYU/ISLAM

Selain RRG, DPM Heng turut mengiktiraf peranan besar yang dimainkan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dalam membangunkan masyarakat.

DPM Heng berkata para sukarelawan dan pemimpin masyarakat tampil ke hadapan memperkasakan masyarakat, memelihara budaya dan bahasa, memimpin mereka dalam keperluan keagamaan serta mengukuhkan keharmonian bersama masyarakat lain.

Disebabkan itulah DPM Heng berkata beliau terdorong dengan usaha masyarakat Melayu/Islam membangunkan sebuah Masyarakat Gemilang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan