Skip to main content

Singapura

Masjid Kassim saji jamuan Aidiladha kepada lebih 700 jemaah

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Kassim saji jamuan Aidiladha kepada lebih 700 jemaah

Para sukarelawan Masjid Kassim (kiri) antara lain sibuk menyajikan hidangan beriani dum. Jemaah Masjid Kassim (kanan) turut menikmati sajian kambing golek, sebagai sebahagian daripada Jamuan Aidiladha itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Lebih 700 jemaah Masjid Kassim disajikan jamuan sempena sambutan Aidiladha pada Sabtu (7 Jun). Daripada golongan warga emas dan muda, hinggalah pekerja hijrahan, jemaah daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir untuk memeriahkan acara jamuan yang diadakan di pekarangan masjid tersebut, yang terletak di Changi Road. Jamuan itu disediakan kepada orang ramai secara percuma.

Meskipun hanya diumumkan empat hari menjelangnya Aidiladha, ia menerima sambutan memberangsangkan - malah melebihi kehadiran tahun lepas.
Related article image
Barisan panjang kelihatan di luar pekarangan Masjid Kassim seawal 8.30 pagi. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Seawal jam 8.30 pagi, barisan panjang sudahpun kelihatan di luar pekarangan masjid. Para jemaah sanggup menunggu sehingga jamuan mula dihidangkan selepas selesainya sesi kedua solat Aidiladha, kira-kira 9.00 pagi.

Antara hidangan istimewa yang dinanti-nantikan jemaah termasuk beriani dam, kambing golek dan ayam kebab.

Untuk menyuntik lagi suasana kemeriahan, persembahan 'halal busking', yang mengalunkan dendangan merdu qasidah, disajikan bagi santapan halwa telinga.

Related article image
Persembahan qasidah oleh sekumpulan belia maulid, yang dipanggil Majelis Ta'lim Wal Maulid Ar Ridwan SG. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ini bukan kali pertama jamuan Aidiladha seumpama itu disediakan oleh Masjid Kassim.

Inisiatif itu malah, diperhebatkan pihak masjid dari tahun ke tahun.
Related article image
Pengerusi Masjid Kassim, Mohd Zain Mohd. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Ditanya mengapa pihak masjid terus mempergiatkan inisiatif tersebut, Pengerusi Masjid Kassim, Mohd Zain Mohd berkata:

"Ia adalah salah satu cara kami memasyarakatkan masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi tempat jemaah boleh berkumpul, berkenalan dan meraikan Hari Raya bersama. Kami mahu jemaah rasa bahawa masjid ini dekat dengan mereka."

Mengambil kira maklum balas yang diterima tahun lepas, jamuan kali ini diperluaskan bagi memastikan ia cukup hidangan untuk 700 jemaah.

Malah, pihak masjid mengambil langkah untuk membahagi-bahagikan jamuan itu agar ia juga mencukupi untuk jemaah yang datang lewat.

Berdasarkan tinjauan BERITA Mediacorp, jamuan yang disediakan pihak masjid habis dalam masa sejam sahaja.

Encik Zain meluahkan rasa besar hati terhadap bagaimana sambutan itu, semakin menggalakkan tahun demi tahun.

"Ini menunjukkan jemaah makin seronok dengan usaha kami untuk memasyarakatkan masjid," ujarnya.

Cik Alisah Husain merupakan antara jemaah yang menyambut baik inisiatif Masjid Kassim itu.

Beliau sanggup datang ke Masjid Kassim dari rumahnya di Ang Mo Kio, bersama dua anaknya serta suaminya, semata-mata untuk menunaikan solat Aidiladha, sambil menikmati kemeriahan sambutan di masjid itu.

"Ini yang paling, MasyaAllah. Ada beriani dam, ada ayam golek, kambing golek, ada ayam kebab. Pokoknya, MashaAllah. Lengkap," jelasnya.

Bagi Encik Halil Faiman pula, ia sudah menjadi satu kebiasaan baginya untuk menikmati jamuan di sana usai menunaikan solat Aidiladha, memandangkan beliau dapat meluangkan masa bersama jemaah lain.

Ini turut rata-rata diluahkan para pekerja hijrahan yang mengunjungi masjid itu.

"Pertama kali saya di sini. Saya tinggal dekat. Saya datang solat pagi. Seronok dengan jamuan ini," kata Encik Sikder Husain, yang merupakan seorang pekerja hijrahan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita