Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Jamiyah Ar-Rabitah gerakkan usaha sanjung 200 pekerja barisan hadapan sempena Hari Kebangsaan

'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul' adalah peribahasa yang tepat bagi menggambarkan pengorbanan para pekerja barisan hadapan yang sedang berusaha sedaya upaya menangani penularan COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Jamiyah Ar-Rabitah gerakkan usaha sanjung 200 pekerja barisan hadapan sempena Hari Kebangsaan

(Gambar-gambar: Masjid Jamiyah Ar-Rabitah)

SINGAPURA: 'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul' adalah peribahasa yang tepat bagi menggambarkan pengorbanan para pekerja barisan hadapan yang sedang berusaha sedaya upaya menangani penularan COVID-19. Selain terus berjuang merawat para pesakit COVID-19, mereka juga perlu 'berkorban' dengan memakai pakaian pelindung diri (PPE) dalam apa jua keadaan.

Sebilangan anggota masyarakat mungkin terlupa akan pengorbanan mereka ini, malah sebaliknya lebih banyak mengeluh tentang sekatan-sekatan COVID-19 yang dikuatkuasakan oleh pemerintah.

200 HAMPER DIAGIH KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN

Lantaran itulah, Masjid Jamiyah Ar-Rabitah menggerakkan usaha untuk menjulang para pekerja barisan hadapan sempena Hari Kebangsaan Singapura ke-56 dan sempena ulang tahun masjid itu yang ke-36.

Di bawah satu inisiatif yang dipanggil 'Thank You Frontliners' (Terima Kasih Pekerja Barisan Hadapan), sebanyak 200 hamper diagihkan kepada para jururawat Hospital Besar Singapura (SGH), pemandu Grab dan sukarelawan Masjid Jamiyah Ar-Rabitah pada awal pagi tadi (6 Ogos).

Pendekatan tersebut antara usaha murni untuk tidak melupakan jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus tanpa mengenal penat lelah.

"Selalunya pihak masjid akan menganjurkan acara sempena Ulang Tahun masjid, tetapi pada tahun ini kami merasakan kita perlu memberi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang bukan hanya golongan jururawat, pemandu Grab tetapi para relawan kami sendiri yang bertungkus lumus menjaga Safe Entry pada setiap hari Jumaat, solat terawih, solat Hari Raya dan ketika waktu-waktu biasa demi menjaga kesejahteraan negara di waktu pandemik ini," ujar Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim, Imam Eksekutif Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, kepada BERITAmediacorp.

Setiap hamper itu diisi dengan barangan seperti stokin 'compression', krim tangan, baucer Arnold's, biskut, dan buah-buahan kering. Ini bukan mengenai nilai kewangan pemberiannya, tetapi simbol keihsanan yang mahu ditonjolkan masjid itu.

NILAI KEPRIHATINAN ANTARA SATU SAMA LAIN

Menurut Ustaz Nuzhan lagi, matlamat inisiatif itu adalah bukan sahaja bagi meraikan Hari Kebangsaan Singapura yang bakal menjelang, tetapi juga bertujuan mendidik masyarakat mengenai menzahirkan keprihatinan antara satu sama lain.

Tambah beliau, pihak masjid pada awalnya menjangkakan inisiatif itu dilaksanakan dengan ringkas dan hanya melibatkan kenalan rapat sahaja.

Namun, sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum amat menggalakan. Ini kerana, setelah dua minggu pengumpulan derma itu dijalankan, jumlah yang dikumpul itu sudah cukup bagi 100 beg hamper.

Malah jumlah keseluruhan derma yang berjaya dikumpul adalah sebanyak S$4,000.

Beliau berharap insiatif tersebut berjaya membawa senyuman kepada para petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka.

Menurut Ustaz Nuzhan lagi, sebahagian wang derma itu juga disalurkan kepada dana masjid. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan