Skip to main content

Singapura

Masjid Darul Makmur perlukan lagi $3 juta, kerja naik taraf sudah selesai 50%

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sejumlah $200,000 berjaya dikumpulkan dalam Majlis Makan Tengah Hari amal bagi projek naik taraf Masjid Darul Makmur hari ini (14 Jul).

Jumlah itu sebahagian usaha pihak masjid yang terletak di Yishun itu untuk mengumpul S$15 juta bagi projek naik tarafnya.

Majlis yang diadakan di Hotel Fairmont itu turut menyaksikan limpahan sokongan para hadirin dari kalangan masyarakat majmuk.

PENGANJUR TAMBAH LAGI 27 MEJA, TAMPUNG 900 PENDERMA

Meskipun pada awalnya hanya 63 meja disediakan, pihak penganjur menambah lagi 27 meja setelah pendaftaran ditutup untuk menampung 900 penderma.

Setiap meja boleh memuatkan 10 penderma dengan masing-masing sanggup membayar lebih $200 setiap seorang.

Permintaan itu tidak terhad kepada masyarakat Melayu/Islam sahaja.

Ia sekaligus menunjukkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk Singapura.
 
Tetamu terhormat, Puan Halimah Yacob yang kini merupakan Canselor di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura, SUSS juga mengalu-alukan usaha ini dengan sokongan masyarakat.

"Saya rasa ini satu usaha yang amat baik dan saya menggalakkan masyarakat Islam kita untuk terus memberikan sumbangan supaya masjid kita ini dapat kita memberikan ruang yang lebih besar lagi bagi mereka yang ingin menjalankan fardu solat mereka dari 3,000 tempat kepada 4,600 tempat," kata Puan Halimah.

MASYARAKAT MAJMUK SUMBANG LEBIH $200,000

Sumbangan terbesar yang diterima adalah sebesar S$50,000 hasil sumbangan 'jiran terdekat' Masjid Darul Makmur yakni Masjid Assyafaah.

Countryside Clinic pula menyumbang $30,000.

Sumbangan derma lain termasuk S$5,000 daripada kuil Hindu, Holy Tree Sri Balasubramaniar manakala Masjid Yusof Ishak pula menderma S$5,000 dan Masjid Istighfar menyumbang S$10,000.
Dengan jumlah yang terkumpul hari ini, Masjid Darul Makmur masih memerlukan lebih S$3 juta untuk menjayakan projek bernilai S$15 juta itu.

"Buat masa sekarang sasaran kita yang telah kita dapat ada S$11,000,200 dan baki S$3,000,800 untuk kita terus berusaha untuk mencari dana tersebut lah. Kita akan mengadakan beberapa program seperti ceramah dan satu reruai di Singapore EXPO. Selain itu, masih lagi menggunakan platform media sosial untuk kita meraih derma dan juga infaq dan wakaf daripada masyarakat keseluruhannya," dedah Naib Pengerusi Masjid Darul Makmur, Abdul Hadi Abu Bakar.
 
MASJID SUDAH HAMPIR 50% SIAP

Sewaktu diminta berkongsi tentang kemajuan kerja-kerja naik taraf Masjid Darul Makmur, Encik Abdul Hadi mendedahkan, "Sejauh ini peningkatan berjalan dengan baik. Sudah 50 peratus siap. Jangkanya bakal siap pada tahun hadapan yakni 2025, bulan April insya-Allah tetapi saya lihat proses pembinaan berjalan begitu baik sehingga mungkin siap lebih cepat daripada apa yang kita jangkakan.

"Bahagian tambahan atau Annex itu pembangunannya sudah siap. Mungkin mereka sedang mencantikkan bahagian lantainya. Saya rasa tandas juga hampir-hampir siap. Jadi mungkin sekarang menara masjid insya-Allah kita sedang buat pembaikan dan perlu kita cat semula. Juga ada lif,"

Selain jamuan makanan, para hadirin juga disajikan dengan persembahan oleh para artis jemputan yang bukan calang-calang. Ia termasuk artis legenda Ramli Sarip, Asian Idol Hady Mirza dan Singapore Idol pertama, Taufik Batisah.
 
(Gambar: Harrywanto Mameni)
Pasangan deejay yang mengendalikan Espreso Warna setiap pagi, AB Shaik dan Mariam Masod diberi kepercayaan tersebut.

"Saya rasa berbekalkan pengalaman saya di radio mengendalikan segmen-segmen derma, saya rasa selama lebih daripada 10 tahun kerana saya juga turut terlibat dalam pengumpulan dana TAA, Persatyab Ain, AMP dan sebagainya. Jadi, saya rasa itu yang membolehkan saya untuk seolah cuba memujuk dan merayu para penonton atau hadirin hari ini, bagaimana sehingga mereka boleh lembut hati untuk menderma sama.
 
(Gambar: Harrywnanto Mameni)
"Untuk acara hari ini, Alhamdulillah tadi bermula daripada S$9,000, akhirnya kita berjaya untuk mengumpulkan sumbangan hadirin sebanyak S$200,000 lebih. Masya-Allah terima kasih kepada anda yang berhati mulia," luah Cik Mariam.

Masjid Darul Makmur terus mengalu-alukan sumbangan orang ramai menerusi wadah media sosialnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita