Skip to main content

Singapura

Masjid Darul Makmur hantar makanan 'panas-panas' percuma ke rumah golongan memerlukan

Lazimnya, orang ramai yang datang 'mengetuk' pintu masjid. Tidak kiralah, sama ada untuk solat berjemaah, mendengar syarahan, belajar agama ataupun mendapatkan bantuan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Darul Makmur hantar makanan 'panas-panas' percuma ke rumah golongan memerlukan

Para sukarelawan Masjid Darul Makmur mengagihkan makanan 'panas-panas' kepada penduduk di Yishun. (Gambar: Masjid Darul Makmur/Facebook)

SINGAPURA: Lazimnya, orang ramai yang datang 'mengetuk' pintu masjid. Tidak kiralah, sama ada untuk solat berjemaah, mendengar syarahan, belajar agama ataupun mendapatkan bantuan. 

Namun bagi Masjid Darul Makmur, sebulan sekali, ia pula yang keluar mengetuk pintu-pintu flat sewa di tiga blok HDB berdekatan. Apa tujuannya? Demi menghulurkan makanan 'panas-panas' secara percuma kepada para penduduk memerlukan.

Related article image

Usaha menyebar keihsanan itu dilakukan para pegawai dan sukarelawan Masjid Darul Makmur, "untuk memberi khidmat di luar masjid", kata Pengerusi Masjid Darul Makmur, Mohamed Rafii Abd Hamed kepada BERITAmediacorp.

Beliau menambah bahawa pihak masjid digalakkan supaya "keluar di luar kawasan masjid dan ini dapat meluaskan lagi jangkauan masjid" serta "membantu masyarakat di luar".

Lantaran itulah tercetus Program Pengagihan Makanan Panas-Panas secara bulanan.

HAMPIR 4,000 BUNGKUSAN NASI DIAGIHKAN SETAKAT INI

Dirintis pada Disember 2017, program pengagihan bulanan pada setiap Ahad ketiga ini, memberi nasi beriani atau nasi berlauk kepada para penerima di rumah-rumah sewa.

Bermula dengan satu blok sewa di mana sekitar 100 bungkusan makanan diagihkan, kini Masjid Darul Makmur meluaskan khidmat kebajikan sukarela itu kepada tiga blok sewa di sekitar Yishun.

Related article image

Malah, selama 20 bulan ini, sebanyak 3,800 bungkusan sudahpun diagihkan kepada para penduduk memerlukan di blok-blok sewa di sekitar Yishun.

Menurut Encik Rafii, lazimnya sebanyak dua bungkusan makanan diberikan kepada setiap rumah. Antara 80 hingga 100 keluarga didekati di setiap blok.

Lebih menarik lagi, pihak masjid mengagihkan 'makanan panas-panas' itu kepada para penerima tanpa mengira kaum dan agama.

"Bergantung pada keberadaan penghuni rumah dari semasa ke semasa, makanan tersebut diberikan kepada anggaran 1 bukan muslim bagi setiap 2 muslim," kata pengerusi masjid itu.

Dalam pengagihan pada 18 Ogos, pihak masjid mengunjungi tiga blok sewa - Blk 701A Yishun Ave 5, Blk 162 Yishun St 11 dan Blk 269B Yishun St 22. Agihan bulanan seterusnya akan dilakukan pada 22 September ini.

KONSEP 'MASJID UNTUK SEMUA', 'KELUAR' DAMPINGI MASYARAKAT

Merujuk kepada hasil perbincangan Konvensyen Masjid-Masjid 2018, ia antara lain melakar gagasan dan huraian transformatif dan segar bagi sektor masjid Singapura.

Dalam konvensyen itu, idea "Masjid Untuk Semua" mendorong masjid-masjid supaya mendampingi individu-individu di luar masyarakat sendiri dan berkolaborasi dengan agensi-agensi lain bagi program-program bersama.

"Kami bekerjasama dengan Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim (IMSSA) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Nee Soon East dan Chong Pang bagi mendapatkan sukarelawan dan kami semua akan masak di masjid.

Related article image

"Pengagihannya juga dibantu para relawan pelajar madrasah aLIVE sebagai sebahagian daripada pembangunan perwatakan mereka," kata Encik Rafii.

Kesemuanya, antara 10 sehingga 40 relawan dikumpulkan untuk setiap sesi pengagihan, termasuk kakitangan dan belia masjid.

MAHU AGIH MAKANAN 2 KALI SEBULAN PULA

Meskipun bermula dengan jumlah yang kecil, Encik Rafii melahirkan harapan agar usaha pengagihan 'hotmeals' itu dapat ditambah dan diperluas pada masa akan datang.

Related article image

(Gambar-gambar: Masjid Darul Makmur/Facebook)

"Di masa hadapan, kami berharap inisiatif ini dapat dilakukan dua kali dalam masa sebulan dan di kawasan lain juga, bergantung kepada sumber kami.

"Ini peluang bantuan tambahan bagi relawan dan dengan ini kami juga berharap ia dapat menambah sikap prihatin dan ihsan dalam kalangan mereka," ujar Encik Rafii. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita