Skip to main content

Singapura

Masjid dan kumpulan agama aset bina masyarakat bersatu padu: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Nov 2025 07:46PM Dikemas Kini : 26 Nov 2025 04:03PM
  • Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim menegaskan bahawa masjid-masjid dan kumpulan-kumpulan agama di Singapura adalah "aset" penting negara dalam membina masyarakat yang bersatu padu.
  • Menjelaskan lanjut, Dr Faishal berkata: "Masjid-masjid dan kumpulan-kumpulan agama adalah aset bagi kita untuk membangunkan masyarakat yang kohesif dalam negara kita."
  • Selepas menjalani kerja naik taraf selama dua tahun dengan belanja S$15 juta, Masjid Darul Makmur yang membuka pintunya semula pada Jun lalu kini dapat menampung sehingga 4,000 jemaah, berbanding 3,000 sebelum ini.
  • Mengulas lanjut mengenai ciri baharu tersebut, Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Mohd Fairus Abdul Manaf berkata: "Dengan sistem ini, ia dapat membantu para jemaah yang khususnya bagi mereka yang menggunakan alat bantu dengar yang mana alat bantu dengar sistem audio kami dapat berinteraksi langsung secara Bluetooth kepada sistem pendengaran mereka."
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim menegaskan bahawa masjid-masjid dan kumpulan-kumpulan agama di Singapura adalah "aset" penting negara dalam membina masyarakat yang bersatu padu.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis yang menandakan selesainya secara rasmi projek naik taraf Masjid Darul Makmur pada Sabtu (15 Nov).

Menurut Dr Faishal, ramai pihak dari kaum lain tampil memberi sumbangan kepada kerja naik taraf masjid, selain memastikan keperluan keagamaan penduduk di kawasan kejiranan dapat terus dipenuhi sepanjang kerja naik taraf dijalankan.

Perkara ini katanya, wajar dijadikan contoh kepada banyak masyarakat di seluruh dunia, tentang cara membina sebuah masyarakat yang bersatu padu.

"Masjid-masjid dan kumpulan-kumpulan agama adalah aset bagi kita untuk membangunkan masyarakat yang kohesif dalam negara kita. Di negara yang lain, kita lihat ia sebagai satu elemen yang memecahbelahkan masyarakat," ujar Dr Faishal.
Related article image
Dr Faishal Ibrahim berucap di majlis yang menandakan selesainya secara rasmi projek naik taraf Masjid Darul Makmur pada 15 Nov 2025. (Gambar: BERITA Mediacorp)
"Jadi di Singapura, amat penting untuk kita meneruskan usaha ini. Kita tahu kerana ini adalah kekuatan kita. Jangan kita mengikut negara-negara yang lain yang tidak mempunyai prinsip untuk membangunkan negara mereka dengan memecahbelahkan masyarakat."

CIRI-CIRI MESRA WARGA EMAS, BERKEPERLUAN KHAS

Selepas menjalani kerja naik taraf selama dua tahun dengan belanja $15 juta, Masjid Darul Makmur kini dapat menampung sehingga 4,000 jemaah, berbanding 3,000 sebelum ini.
Related article image
Masjid Darul Makmur di Yishun rasmi selesai jalani kerja-kerja naik taraf pada 15 Nov 2025. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Lebih 200,000 jemaah sudah menunaikan solat berjemaah sejak masjid itu dibuka semula secara berperingkat pada Jun lalu, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"Kalau kita lihat sekarang kita berdepan dengan cabaran di mana bilangan warga emas kian bertambah. Di Yishun juga ada banyak flat baharu yang dibangunkan. Jadi, ada banyak penambahan dari segi jumlah jemaah yang ke masjid," ulas Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Mohd Fairus Abdul Manaf.
Selain mempunyai sehingga 11 bilik darjah bagi pendidikan agama dan program kemasyarakatan, ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri lebih mesra warga emas dan golongan berkeperluan khas.

Mereka yang berkerusi roda misalnya dapat menggunakan sistem automatik ataupun tanjakan untuk memasuki pekarangan masjid.
Related article image
Tanjakan sebegini memudahkan jemaah memasuki pekarangan Masjid Darul Makmur. (Gambar: Afiqah Hussain)
Mereka yang menggunakan alat pendengaran pula boleh meraih manfaat daripada satu sistem audio canggih yang dipasang di dewan solat utama.

"Dengan sistem ini, ia dapat membantu para jemaah yang khususnya bagi mereka yang menggunakan alat bantu dengar yang mana sistem audio kami dapat berinteraksi langsung secara 'bluetooth' kepada sistem pendengaran mereka," terang Encik Fairus lagi.

PROGRAM KEMASYARAKATAN AKAN DIPERLUAS

Berkongsi lebih lanjut, Encik Fairus berkata program-program kemasyarakatan masjid akan diperluas. Ini termasuk program Santunan Emas yang menyediakan sokongan menyeluruh buat warga emas, mahupun penjaga masing-masing, menerusi kegiatan penuaan aktif dan ceramah motivasi.

"Dulu memang sudah ada (program ini). Tapi sekarang, (peningkatan masjid) memudahkannya lagi. Kalau tidak, dulu daripada luar ingin masuk ke dalam masjid, agak sukar. Mungkin boleh buat program di dalam dewan solat saja," katanya.

"Dengan ada lif dan juga laluan yang lebih baik, membolehkan kami menganjurkan pelbagai aktiviti."
Related article image
Tetamu yang diundang untuk menghadiri majlis yang menandakan selesainya secara rasmi projek naik taraf Masjid Darul Makmur pada 15 Nov 2025. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Program sedemikian akan dijalankan dengan kerjasama Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG) dan Pusat Penuaan Aktif (AAC).

Bagi mengasah bakat kepimpinan golongan muda pula, Masjid Darul Makmur akan menganjurkan kem kepimpinan dan projek-projek sukarela bersama Rangkaian Belia Masjid Daerah Utara.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita