Masjid Daerah Timur, MMO lancar inisiatif tingkat kesedaran masyarakat, galak penyertaan jadi keluarga titipan
SINGAPURA: Satu inisiatif bertujuan meningkatkan kesedaran tentang anak titipan dan menggalak penyertaan masyarakat Melayu/Islam menjadi keluarga titipan dilancarkan.
Inisiatif yang dijalankan menerusi forum "Hearts & Homes: Bridging Families, Finding Homes" itu merupakan usahasama Masjid Darul Ghufran dengan kelompok Masjid Daerah Timur, PPIS Oasis dan Persatuan Muhammadiyah dengan sokongan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Seramai 40 peserta termasuk keluarga titipan, pekerja sosial, kakitangan masjid, sukarelawan dan pemimpin masyarakat berhimpun dalam forum yang diadakan di Masjid Darul Ghufran pada Sabtu (8 Nov).
Para peserta berpeluang mendengar perkongsian daripada pekerja sosial, asatizah, keluarga titipan dan bekas anak titipan menerusi dua sesi perbincangan panel yang menyentuh tentang pengalaman serta perjalanan mereka sebagai keluarga titipan.
KELUARGA TITIPIAN KONGSI PENGALAMAN DALAM SESI PERBINCANGAN PANEL
Turut dikongsi ialah pelbagai bentuk sokongan yang disediakan untuk membantu keluarga titipan.
"Sebenarnya ramai yang beranggapan bahawa untuk menjadi seorang ibu bapa titipan, perlu ada banyak pengalaman atau banyak berkorban. Tetapi sebenarnya, semua keluarga boleh membuka hati dan rumah mereka kepada seseorang anak itu. Perkara kecil pada kita, boleh memberikan perubahan yang besar terhadap kanak-kanak itu apabila mereka dapat membesar dalam keluarga yang stabil dan penuh kasih sayang," kongsi Pekerja Sosial dari PPIS Oasis, Nur Hafizah Mustaza kepada BERITA Mediacorp.
Turut berkongsi pengalaman mereka ialah pasangan Hirwati Mashuri dan suaminya, Mohamed Sopian Mohd Supar yang merupakan keluarga titipan.
"Kami rasa berbesar hati kerana dapat berkongsi kejayaan pengalaman dan juga cabaran kepada orang ramai. Insya-Allah dengan perkongsian kami, kami dapat memberi semangat yang sangat kuat kepada sesiapa yang berhasrat untuk menjadi ibu bapa titipan," kongsi Cik Hirwati.
FORUM UNTUK PUPUK KEFAHAMAN; BERI KASIH SAYANG DAN PELUANG UNTUK ANAK TITIPAN
"Ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam mengenai penjagaan anak titipan. Matlamat kami ialah untuk memupuk kefahaman bahawa menjadi keluarga titipan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal tetapi juga memberi ruang kasih dan peluang untuk anak-anak membesar dengan selamat dan disayangi," kongsi Ketua Jabatan, Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Masjid Darul Ghufran, Ustaz Ibrahim Samat.
"Melalui inisiatif ini, kami ingin mengajak lebih ramai keluarga mempertimbangkan peranan sebagai ibu bapa dan keluarga titipan, ataupun sekurang-kurangnya menyumbang melalui sokongan dan sukarelawan," tambah beliau.
Untuk sesiapa yang berminat, terdapat juga para pegawai di lapangan untuk membantu dengan aplikasi online.
Forum itu merupakan penutup bagi Lawatan Kuliah Dhuha di 10 Masjid Daerah Timur sepanjang dua minggu lepas, di mana PPIS Oasis dan Persatuan Muhammadiyah mengendalikan sesi perkongsian mengenai penjagaan anak titipan.
Lebih 775 jemaah sudah meraih manfaat.
"Kami berharap masjid dapat terus menjadi pusat masyarakat yang aktif bukan sahaja sebagai tempat beribadah, tetapi tempat membina nilai sosial dan kebersamaan. 'Hearts and Homes' juga membuka jalan ke arah forum seterusnya yang akan memperkukuh ilmu, jaringan dan komitmen kita dalam melindungi serta memastikan generasi akan datang mendapat tempat dan juga kasih sayang yang mereka perlukan," ujar Ustaz Ibrahim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.