Masjid Bencoolen dibuka semula; Hab Belia baharu galak belia pupuk jalinan bermakna dengan masjid
Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyeru masyarakat setempat untuk sentiasa memelihara semangat dan keamanan masyarakat berbilang agama kita.
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyeru masyarakat setempat untuk sentiasa memelihara semangat dan keamanan masyarakat berbilang agama kita.
"Kita bersyukur di Singapura rumah-rumah ibadah bagi semua agama merupakan satu perkara biasa yang terdapat di kawasan bandar dan juga estet perumahan kita. Mereka sentiasa menjadi sebahagian daripada kawasan kejiranan Singapura dan kita harus bekerja keras untuk memelihara semangat dan keamanan masyarakat berbilang agama kita," kata Encik Masagos dalam satu catatan di Facebook.
Menjelang bulan Ramadan, beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga berharap masyarakat dapat meneruskan semangat kewarganegaraan dan membantu mereka yang memerlukan.
Beliau memuat naik catatan tersebut selepas merasmikan pembukaan semula Masjid Bencoolen pada Jumaat (1 Mar).
(FB/Masagos Zulkifli)
Pembukaan rasmi Masjid Bencoolen menandakan tamatnya kerja-kerja naik taraf sejak 2019.
Antara ciri terbaharu masjid ini adalah sebuah Hab Belia di tingkat empat masjid.
Ia akan menggalak golongan belia Muslim untuk memupuk hubungan yang bermakna antara masjid dan belia, termasuk yang berlainan kaum dari Institusi Pengajian Tinggi (IHL) yang berhampiran.
Ini termasuk termasuk Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dan Kolej Seni LASALLE.
"Mereka boleh membuat projek mereka di sini. Mereka boleh membuat kerja rumah mereka di sini, apa sahaja yang mereka mahu lakukan untuk pengajian yang paling kami alu-alukan tanpa mengira kaum, sesiapa sahaja boleh masuk," kata Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Bencoolen, Encik Mohamed Rafiq s/o Mohamed Yusof kepada wartawan Syawal Yusoff.
PELBAGAI KEMUDAHAN UNTUK SOKONG PEMBELAJARAN BELIA
Selain menyediakan ruang pembelajaran dan bersantai, ia juga mempunyai perpustakaan menampilkan pelbagai jenis buku-buku berunsur duniawi dan ukhrawi, termasuk pelbagai permainan berkumpulan.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Hab itu juga boleh menampung sehingga 100 pelajar untuk kelas-kelas madrasah hujung minggu serta dialog silang agama.
Dengan sokongan para karyawan industri, pelbagai program berunsur teknologi juga sudah dirancang.
Sebuah acara 'hackathon' boleh dijangkakan selepas Syawal nanti.
"Berdasarkan perbualan saya dan interaksi saya dengan belia, saya rasa sebahagian daripada mereka sebenarnya ramai, mereka juga berada dalam sektor itu sekarang. Membawa masuk beberapa kepakaran yang kita ada, dari perspektif Islam, yang semacam itu memperkaya perbincangan, tetapi sudah tentu, kita tidak mahu perbualan hanya kekal di sana. Saya rasa lebih penting, adakah itu titik permulaan, untuk menjalinkan silaturahim antara kita dan juga dengan belia masjid ini," kata Anggota Lembaga Pengurusan Masjid, Encik Sheik Mohamed Farouq.
Pembinaan hab itu dilakukan dengan rundingan bersama para belia yang sudah lama berkhidmat dengan masjid itu.
Antara yang ghairah menyumbang idea ialah Ammaar Ibn Muhammad, 19 tahun.
"Pada asasnya untuk membuat perpustakaan seperti perpustakaan digital kerana itulah yang orang faham. Dan juga, seperti mengadakan acara rekreasi perhimpunan belia umum di mana belia boleh datang dan mengadakan sesi berbual-bual supaya pada dasarnya kita boleh mengenali antara satu sama lain dan mengeratkan hubungan itu," kata Ammaar, yang sudah menjadi relawan sejak 2016.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Bagi Afeef Mohamed Rayyan, 21 tahun, yang sudah 10 tahun menjadi relawan, berharap ruang tersebut dapat memberinya peluang untuk menyumbang semula kepada masyarakat.
"Sudah tiba masanya untuk saya berbakti kepada masyarakat dan saya rasa hab belia di sini akan memberi kita peluang untuk bukan sahaja menimba ilmu tetapi yang penting ialah berinteraksi dengan orang lain," jelas Afeef.
LEBIH BANYAK RUANG SOLAT; MESRA WARGA EMAS & KURANG UPAYA
Kerja-kerja naik taraf termasuk pengubahsuaian ruang serba guna di tingkat tiga yang diubah menjadi ruang solat.
Dengan penambahan itu, masjid ini kini boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah berbanding 450 jemaah sebelum ini.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Selepas empat tahun kami tutup, ada jemaah kami pergi ke masjid lain, jadi sekarang InsyaAllah mereka akan kembali," ujarnya.
Kemudahan lain termasuk lif baru, tanjakan, kemudahan susur tangan dan tandas khas buat orang kurang upaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.