Skip to main content

Singapura

Masjid Bencoolen dibuka semula 6 Jan, solat Jumaat di bangunan baru Masjid Khalid mulai 13 Jan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Jan 2023 03:23PM Dikemas Kini : 02 Jan 2023 10:36PM

BERITAmediacorp: Dua buah masjid akan dibuka semula untuk solat Jumaat bermula minggu ini dan minggu depan.

Demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerusi catatan di Facebooknya pada Isnin (2 Jan).

Tempahan untuk solat Jumaat pada 6 dan 13 Januari dibuka mulai Selasa (3 Jan) pada pukul 10.00 pagi.
 

Jemaah boleh mendaftar melalui pautan baru yang disediakan iaitu https://prayerbooking.ourmasjid.sg atau melalui aplikasi Muslim.sg.

Terdapat perubahan pada sesi solat Jumaat dan tempahan di empat masjid.

MUIS mengumumkan, Masjid Bencoolen akan dibuka semula pada Jumaat ini, 6 Januari, bermula dengan solat Jumaat.

Jemaah juga boleh melaksanakan solat-solat waktu seperti biasa selepas itu

Tempahan perlu dibuat bagi kedua-dua sesi.

Masjid berusia hampir 200 tahun itu ditutup sejak 2019 bagi menjalani kerja-kerja peningkatan bernilai S$4 juta. 

Ia awalnya dijadual dibuka semula pada 2021, namun kerja-kerja binaan terhambat oleh pandemik COVID-19.

Masjid Bencoolen yang serba baru itu akan dapat menampung sehingga 1,500 jemaah, berbanding 500 jemaah sahaja sebelum ini.

Ia juga akan mempunyai ruang solat khas bagi kaum muslimah, lebih mesra warga emas dan juga mesra golongan kurang upaya.

Bagaimanapun MUIS memberitahu BERITAmediacorp, pembukaannya akan dijalankan secara bertahap-tahap.

Semasa pembukaan dan perwakafannya Jumaat ini, hanya dewan solat utama, aras satu dan besmen dibuka dan boleh memuatkan 300 jemaah sahaja.

Upacara perasmian Masjid Bencoolen dan pembukaan kompleks wakaf Bencoolen setinggi lima tingkat, akan dirasmikan beberapa bulan lagi.

Kompleks itu akan menempatkan kampus baru yang mengendalikan Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) buat para asatizah.

Solat Jumaat di Masjid Khalid di Joo Chiat pula akan diadakan di bangunan masjid yang baru mulai 13 Jan dengan tapak sementara Masjid ditutup selepas 6 Jan.

Setelah dinaik taraf, Masjid Khalid akan mempunyai empat tingkat dengan besmen, sekali gus dapat menampung seramai 1,750 jemaah berbanding sekitar 1,000 jemaah sebelum ini.

Kerja-kerja peningkatan Masjid Khalid bermula pada 2019 dan dijadual berlangsung selama dua tahun.

Namun ia turut tergendala dek pandemik COVID-19.

Jemaah perlu membuat tempahan untuk sesi pertama.

Dalam pada itu, Masjid Sallim Mattar akan hanya mengendalikan satu sesi solat Jumaat manakala tempahan slot tidak lagi diperlukan di Al-Mawaddah.

Demi keselamatan awam, jemaah digalakkan membawa sejadah sendiri. Mereka mempunyai pilihan untuk memakai pelitup di masjid.

Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita