Masjid baharu Tengah di Forest Drive; kerja peningkatan $10.3 juta bagi Masjid Darussalam
Ini diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di luar lawatannya ke Masjid Darussalam hari ini (11 Jul).
"Pembangunan masjid-masjid kita telah dijayakan melalui sumbangan masyarakat menerusi dana pembinaan masjid dan mendaki MBMF. Kita perlu merancang projek-projek ini di bawah MBMF dengan teliti untuk memastikan kemampanan kewangan kita dijaga rapi, lagi-lagi kos yang semakin meningkat" kata Dr Faishal.
"Saya harap masyarakat kita akan terus berikan sumbangan dalam usaha murni ini demi mencapai matlamat bersama kita. Tentu sekali perkembangan baru ini adalah detik penting bagi penduduk Islam di estet Tengah" tambahnya lagi.
Pembangunan rekaannya dijangka bermula pada 2027.
Projek pembangunan masjid baharu di Tengah itu diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada Mac lalu.
MASJID DARUSSALAM AKAN JALANI KERJA PENINGKATAN
Dr Faishal turut mengumumkan kerja-kerja peningkatan bagi Masjid Darussalam yang terletak di Clementi.
"Kerja-kerja penambahbaikan akan bermula pada September ini dan dijangka mengambil selama dua tahun sepanjang tempoh ini masjid akan terus beroperasi. Perkembangan ini adalah satu pencapaian yang bermakna bagi jemaah Masjid Darussalam, terutama di Clementi dan kawasan sekitar" kongsi beliau.
Projek bagi menaik taraf masjid berusia 37 tahun itu dijangka menelan belanja sekitar S$10.3 juta.
Setelah kerja naik taraf itu selesai kira-kira pada 2027, masjid itu dijangka dapat menampung sehingga 3,300 jemaah.
"Saya gembira dapat melihat masjid seperti Masjid Darussalam ini, dibangunkan dari segi penambahbaikan. Kerja-kerja penambahbaikan akan dijalankan ini bukan sahaja bermakna dari sektor masjid, tapi sangat bermakna kepada penduduk-penduduk di Clementi" kata Dr Faishal.
Sepanjang tempoh itu, khidmat pentadbiran, program-program dan ibadah di masjid akan diteruskan dalam ruang yang selamat dan ditetapkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.