Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Assyakirin, Masjid Kassim buka pintu bagi gelandangan sepanjang ‘circuit-breaker’

Masjid Assyakirin dan Masjid Kassim adalah antara 35 pertubuhan yang tampil menyediakan tempat rehat dan tidur buat golongan gelandangan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedang masjid-masjid seluruh Singapura kini terus ditutup di tengah-tengah penularan COVID-19, dua daripadanya baru-baru ini sebaliknya membuka pintunya - khusus buat golongan gelandangan.

Masjid Assyakirin dan Masjid Kassim adalah antara 35 pertubuhan yang tampil menyahut seruan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) agar menyediakan tempat rehat dan tidur buat golongan gelandangan – iaitu yang tiada rumah atau tempat tinggal – sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Masjid Assyakirin. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Masjid Assyakirin. 

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif menyediakan tempat tidur selamat atau Safe, Sound Sleeping Places (S3Ps) di bawah Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (Partners Engaging and Empowering Rough Sleepers Network atau PEERS).

Masjid Kassim. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Masjid Kassim.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Pengerusi Eksekutif Masjid Assyakirin, Ustaz Muhammad Hafiz Abdul Rashid, berkata masjid itu sudah membuka pintunya kepada orang gelandangan sejak 7 April, iaitu tarikh bermulanya tempoh ‘circuit-breaker’. Inisiatif ini kata beliau akan diteruskan sehingga 1 Jun nanti.

7 DI MASJID ASSYAKIRIN, 9 DI MASJID KASSIM

Sehingga rencana ini diterbitkan, seramai tujuh gelandangan sudahpun ditempatkan di sana, iaitu jumlah maksimum yang boleh diterima Masjid Assyakirin.

Masjid Kassim pula, yang boleh menampung 10 orang gelandangan, kini sudah menerima sembilan orang. Masjid Sultan sepatutnya turut menerima golongan gelandangan tahun ini, tetapi kini difahamkan perlu menangguhkan dahulu rancangan tersebut setelah COVID-19 melanda.

Tempat tidur gelandangan di Masjid Kassim. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Tempat tidur gelandangan di Masjid Kassim. 

“Ini adalah cara yang bermakna untuk kami mendampingi dan memberikan sokongan kepada mereka. Ini juga sejajar dengan tugas kami di masjid, iaitu untuk menyokong sebahagian anggota masyarakat, seperti menerusi bantuan kewangan atau nasihat dan lain-lain,” kata Ustaz Muhammad Hafiz.

Individu-individu gelandangan yang dibenarkan berteduh di Masjid Assyakirin dan Masjid Kassim hanyalah mereka yang dirujukkan ke masjid tersebut oleh MSF atau Pejabat Khidmat Sosial (SSO).

Masjid yang menawarkan khidmat itu beroperasi sepanjang 24 jam.

BAGAIMANA JARAK SELAMAT, LANGKAH CEGAH COVID-19 DIPASTIKAN?

Bagi Masjid Assyakirin yang terletak di kawasan Taman Jurong, ‘tetamu’ yang tiada tempat tinggal sempurna itu ditempatkan di bilik perpustakaan yang diubah menjadi bilik rehat gelandangan.

Jadi bagaimanakah pihak masjid memastikan jarak selamat serta langkah-langkah pencegahan virus dilaksanakan di kalangan gelandangan tersebut?

“Kami ada menyediakan buku panduan dan kami juga memaklumkan kepada gelandangan tentang peraturan, nombor kecemasan, kemudahan masjid serta langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan MOH,” jelas Ustaz Muhammad Hafiz.

Beliau menambah, kesemua gelandangan ditempatkan di dalam satu bilik yang luas, yang sebelum ini merupakan perpustakaan mini Masjid Assyakirin, dengan jarak antara tempat tidur mereka sejauh 1.5 meter.

Tempat tidur gelandangan di Masjid Assyakirin. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Tempat tidur gelandangan di Masjid Assyakirin.

Antara perkara-perkara penting yang perlu dipatuhi gelandangan itu termasuk jangan bersalaman, menjaga kebersihan, mencuci tangan dengan sabun sekerap mungkin, periksa suhu badan dua kali sehari serta segera mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami demam, batuk, selesema atau sukar bernafas.

Orang gelandangan itu juga tidak digalakkan keluar kecuali ada keperluan, seperti untuk membeli makanan.

“Kami memberikan mereka wang tunai $10 setiap hari untuk mereka membeli makanan. Pusat-pusat penjaja dan kedai pun terletak berdekatan, hanya 50 meter sahaja dari masjid,” Ustaz Muhammad Hafiz memberitahu BERITAmediacorp.

Para gelandangan tersebut turut didaftar di bawah inisiatif #SGUnited Buka Puasa. Maka, sejak Selasa (28 Apr) mereka boleh mengambil makanan percuma dari Kelab Masyarakat Taman Jurong untuk berbuka puasa.

TIDAK BOLEH KELUAR TANPA IZIN

Masjid Assyakirin misalnya, mengerahkan seorang noja untuk meninjau-ninjau kumpulan gelandangan tersebut dan membersihkan masjid antara pukul 9.00 pagi dengan 11.00 pagi setiap hari. Pegawai sosial juga akan datang menjenguk mereka sebanyak tiga kali seminggu untuk memastikan keperluan mereka dijaga dengan baik.

Bagi memastikan keselamatan masjid, kumpulan gelandangan itu hanya boleh keluar masuk melalui pagar belakang. Ia dikunci dan mereka diberikan nombor kuncinya supaya dapat keluar dan masuk tanpa perlu menunggu pegawai.

(Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Sekalipun demikian, mereka perlu meminta izin Pegawai bertugas menerusi WhatsApp dan mencatat tarikh dan masa setiap kali ingin keluar.

“Cabarannya adalah untuk memastikan keselamatan dan mengurangkan risiko jangkitan bagi gelandangan dan pegawai masjid sepanjang pandemik COVID-19 ini. Oleh itu kami pastikan kontak fizikal antara mereka dihadkan ke tahap paling minimum,” tambah Ustaz Muhammad Hafiz.

Lantaran itu, pihak masjid menyediakan khidmat Wi-Fi percuma untuk memudahkan gelandangan menghubungi pegawai bagi memaklumkan tentang keperluan seharian mereka. Ini juga membolehkan mereka mengakses video-video online SalamSG mengenai Ramadan dan panduan lain agama.

HAMPIR S$10,000 DIPERUNTUK BAGI SEDIA KEMUDAHAN

Ustaz Muhammad Hafiz memberitahu kami, sekitar $10,000 dipertuntukkan untuk menyediakan pelbagai kemudahan, logistik dan makanan bagi tempoh satu setengah bulan. Dana itu sebahagiannya diperolehi menerusi geran MUIS dan sebahagian lagi dana masjid.

Sebaik tiba di masjid, setiap gelandangan diberikan satu beg diisi keperluan asas sebagai simbol ucapan selamat datang. Setiap beg mengandungi kelengkapan mandi, tuala, kain sarung, pelitup, tisu, cawan dan sebuah bekas untuk diisi makanan.

Pek keperluan asas. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Barangan keperluan asas yang diberikan kepada gelandangan. 

Antara kemudahan lain termasuk meja-meja makan di pekarangan masjid untuk mereka berbuka puasa, sebuah pantri lengkap dengan ketuhar gelombang mikro serta ruang solat di luar tempat tidur mereka.

Sudut pantri.

Masjid Assyakirin malah membelanjakan sekitar S$3,000 untuk membeli mesin basuh dan mesin pengering kain baju untuk kegunaan gelandangan tersebut.

Mesin cuci, pengering baju. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Mesin cuci dan pengering kain baju yang baru dibeli. 

Apabila ditanya sama ada masjid-masjid akan mengikut jejak Masjid Assyakirin selepas tempoh ‘circuit-breaker’, ini jawapan Ustaz Muhammad Hafiz:

“Kami pastinya gembira untuk berkongsi pengalaman kami dengan masjid-masjid dan juga organisasi yang lain jika mereka berminat untuk menyediakan perkhidmatan ini.

“Ini adalah satu usaha yang murni di saat masjid kita ditutup untuk kegunaan umum, kita masih lagi dapat menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Kami akan terus berkerjasama dengan MSF dan MUIS atas usaha ini.” 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan