Skip to main content

Singapura

Masjid ambil langkah tingkat pengawasan, keselamatan kanak-kanak, belia susulan kes jenayah seksual

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid ambil langkah tingkat pengawasan, keselamatan kanak-kanak, belia susulan kes jenayah seksual

Sebuah kelas aLIVE buat para pelajar 5 tahun di Masjid Yusof Ishak. (Gambar: Nurfazirah Azman)

Diterbitkan : 30 Sep 2026 05:19PM
SINGAPURA: Kes jenayah seksual melibatkan dua beradik lelaki di sebuah masjid mendorong usaha memperkukuh langkah perlindungan bagi kanak-kanak dan belia di institusi agama Islam.

Antara langkah yang diberi perhatian ialah pemantauan lebih dekat terhadap sesi perkongsian agama tidak formal yang melibatkan kanak-kanak, serta penambahbaikan langkah keselamatan dalam program pendidikan agama seperti aLIVE.
PENGAWASAN TANPA MENJADIKAN MASJID TERLALU MENGONGKONG

Di Masjid Darul Ghufran, langkah perlindungan merangkumi penggunaan CCTV yang dipertingkat, kehadiran kakitangan semasa kelas dan sesi perkongsian serta pendaftaran kehadiran bagi program berstruktur.

“Guru-guru pula adalah individu yang dikenali dan dipercayai dalam komuniti masjid dan kehadiran didaftarkan bagi semua program berstruktur bagi memastikan setiap kanak-kanak diambil kira sepanjang sesi berlangsung," kata Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Ghufran, Ustaz Firdaus Khan Jamal.

Namun, beliau berkata langkah keselamatan perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan sifat masjid sebagai ruang terbuka.

“Masjid menyedari kepentingan untuk kekal sebagai ruang yang terbuka, inklusif dan mesra bagi semua pihak sambil mengekalkan pengawasan yang sesuai," kata Ustaz Firdaus.

Bagi sesi perkongsian agama tidak formal, kakitangan dan sukarelawan turut hadir bagi memastikan pengawasan dapat dilakukan.

"Pendekatan ini memastikan semua jemaah dari pelbagai peringkat umur berasa selesa dan diterima sambil kanak-kanak kekal selamat dan diawasi," kata Ustaz Firdaus.

MASJID DARUL GHUFRAN TINGKATKAN KESELAMATAN TAMBAHAN

Masjid Darul Ghufran turut mempertingkatkan pencahayaan dan liputan CCTV, selain menjalankan rondaan berkala di sekitar masjid.

Daripada 110 unit CCTV sedia ada, pihak masjid telah menambah 10 unit CCTV lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 120 unit CCTV.

“Pencahayaan telah dipertingkatkan di kawasan-kawasan utama termasuk koridor, tangga dan ruang yang digunakan. Liputan CCTV telah disemak dan dipertingkat bagi mengurangkan kawasan tanpa liputan di seluruh masjid.

"Pegawai dan kakitangan masjid menjalankan rondaan berkala di sekeliling masjid bagi memastikan sebarang kebimbangan atau insiden dapat ditangani dengan segera," kata Ustaz Firdaus.

Menurut beliau, langkah perlindungan juga perlu mengambil kira keadaan setiap masjid.

“Perlu ada langkah perlindungan asas yang diterapkan di seluruh sektor masjid. Pada masa yang sama, sesetengah masjid mungkin memerlukan langkah tambahan mengikut keadaan masing masing," kongsi Ustaz Firdaus.

PROGRAM ALIVE DARUL GHUFRAN TEKANKAN KESELAMATAN DIRI

Dalam program aLIVE, perlindungan kanak-kanak diterapkan melalui kawalan akses, CCTV, pengawasan asatizah serta kurikulum.

“Kami mahu setiap anak merasa selamat dan dijaga dengan baik. Di pusat kami terdapat kawalan untuk masuk ke bilik darjah dan CCTV di kawasan-kawasan tertentu.

"Asatizah juga sentiasa bersama pelajar semasa kelas solat, aktiviti di luar kelas sehingga waktu mereka dijemput pulang," kata Pengurus Pusat aLIVE Masjid Darul Ghufran, Ustazah Nadiah Haron.

Kesemua asatizah aLIVE di pusat itu juga perlu diiktiraf di bawah ARS MUIS dan tertakluk kepada kod etika.

“Asatizah tidak dibenarkan berinteraksi berdua-duaan dengan pelajar di tempat yang tidak dipantau sama ada secara bersemuka ataupun di dalam talian.

"Ini adalah antara langkah yang diambil untuk menjaga keselamatan para pelajar dan kami akan terus memperkukuhkan langkah-langkah ini dari semasa ke semasa," kongsi Ustazah Nadiah.

Sejak 2025, topik 'Tingkah Laku Perlindungan Diri' turut dimasukkan dalam kurikulum aLIVE.

“Dalam topik ini, para pelajar mengenal pasti tingkah laku yang selamat dan tidak selamat. Mereka juga belajar tentang apa yang boleh dielakkan jika ada sesuatu yang membuat mereka rasa tidak selesa serta siapa dari kalangan orang dewasa yang boleh dipercayai termasuk asatizah untuk meminta bantuan," kongsi Ustazah Nadiah.

Asatizah aLIVE juga mengikuti kursus Tingkah Laku Perlindungan Diri yang dikendalikan oleh Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Pave Integrated Services.

“Melalui latihan ini, para asatizah belajar mengenalpasti tanda tanda apabila seorang pelajar mungkin memerlukan bantuan, bagaimana untuk bertindak jika mereka berkongsi sesuatu yang membimbangkan dan kepada siapa perkara ini perlu dirujuk," kongsi Ustazah Nadiah.

MASJID YUSOF ISHAK PERKUKUH SALURAN PELAPORAN

Langkah-langkah keselamatan yang sama turut dilaksanakan oleh Masjid Yusof Ishak sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pelbagai langkah yang telah dijalankan termasuk kita meletakkan CCTV di tempat-tempat yang khususnya untuk memastikan keselamatan kanak-kanak serta kita ada kakitangan dan juga petugas yang sedia ada ketika program dilaksanakan.

"Lebih daripada itu, kita juga menambah baik segala piawaian yang kita ada supaya segala keselamatan dapat dijalankan dengan efektif," kata Bendahari Masjid Yusof Ishak, Dr Norizam Baharon.

Masjid itu turut menyediakan saluran untuk jemaah dan sukarelawan melaporkan kegiatan mencurigakan.

CCTV yang dipasang pula disertakan notis sebagai langkah pencegahan.
Related article image
Kelas agama aLIVE di Masjid Yusof Ishak. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Bagi program tertentu seperti kem bermalam di masjid, kebenaran ibu bapa dan maklumat kecemasan turut diperlukan.

Dr Norizam berkata setiap masjid perlu mempunyai langkah perlindungan asas, dengan langkah tambahan disesuaikan mengikut keadaan masing-masing.

“Kita harus memahami setiap masjid mempunyai cabarannya yang tersendiri dari segi pembangunan fizikal, struktur dan juga profil jemaah di sini ," kata Dr Norizam.

PROGRAM ALIVE YUSOF ISHAK AJAR KANAK-KANAK BERSUARA

Seperti di Masjid Darul Ghufran, program aLIVE di Masjid Yusof Ishak turut menerapkan Tingkah Laku Perlindungan Diri sejak 2025.

“Kami sekarang boleh berbincang dengan anak-anak tentang perkara seperti tingkah laku yang selamat dan tidak selamat. Apa yang mereka boleh lakukan jika sesuatu membuat mereka rasa tidak selesa dan siapa yang mereka boleh percayai untuk mendapatkan bantuan," kata Pengurus Pusat aLIVE Masjid Yusof Ishak, Ustazah Ummu Barakah.

Beliau berkata pendekatan itu disesuaikan mengikut usia pelajar.

“Pendekatan kami juga bergantung dengan usia mereka. Contohnya untuk anak-anak yang lebih muda, kami fokus kepada tubuh mereka. Hak untuk berkata tidak dan keberanian untuk memberitahu orang dewasa yang mereka percayai.

"Untuk pelajar yang lebih tua pula, kami bincangkan perkara seperti keselamatan dalam talian, tekanan rakan sebaya dan bagaimana untuk membina hubungan yang sihat dan saling menghormati," kata Ustazah Ummu.

Menurut beliau, ruang untuk kanak-kanak bertanya dan bercakap juga penting bagi membantu mereka mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

“Apa yang saya perhatikan ialah apabila kita beri ruang kepada anak-anak untuk bertanya dan bercakap, mereka sebenarnya akan bersuara. Dan bagi saya itu sesuatu yang sangat positif.

"Ini menunjukkan mereka tahu bahawa suara mereka penting dan mereka boleh mendapatkan bantuan apabila diperlukan," kata Ustazah Ummu.

KESELAMATAN KANAK-KANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Kedua-dua pusat aLIVE turut menekankan peranan ibu bapa dalam memastikan keselamatan kanak-kanak.

Di Masjid Darul Ghufran, bahan rujukan telah dikongsikan dengan ibu bapa mengenai tanda-tanda awal, keselamatan diri dan risiko dalam talian.

“Pada akhirnya, keselamatan anak-anak bukanlah tanggungjawab masjid sahaja, ia adalah tanggungjawab kita bersama dan dengan langkah-langkah yang ada ini, kami mengharapkan para pelajar kita tahu bagaimana untuk menjaga diri, berani bersuara dan tahu kepada siapa mereka boleh mendapatkan bantuan, " kata Ustazah Nadiah.

Di Masjid Yusof Ishak pula, Ustazah Ummu Barakah berkata penglibatan ibu bapa perlu bermula di rumah.

“Bagi saya, antara perkara yang paling penting ialah penglibatan ibu bapa. Keselamatan anak-anak bukan hanya dijaga di dalam bilik darjah, ia juga bermula di rumah.”

Beliau berkata perbualan harian dengan anak-anak boleh membantu mewujudkan ruang untuk mereka berkongsi kebimbangan.

“Tak perlu perbualan yang serius atau formal pun. Kadang-kadang perbualan kecil seperti ini yang membuat anak rasa selesa untuk datang kepada kita apabila ada sesuatu yang tidak kena.”

Pada minggu pertama madrasah baru-baru ini, beliau turut berkongsi poster mengenai keselamatan tubuh, selain maklumat kakitangan aLIVE dan nombor WhatsApp yang boleh dihubungi para pelajar sekiranya berlaku sesuatu di masjid ketika madrasah berlangsung.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita