Masjid Alkaff Upper Serangoon rai 10 tahun jadi Monumen Negara, lancar inisiatif baharu dekati masyarakat pelbagai kaum
SINGAPURA: Lebih banyak program dan aktiviti yang dibuka kepada segenap masyarakat, tidak kira kaum ataupun agama boleh dijangkakan di Masjid Alkaff Upper Serangoon, yang meraikan ulang tahun ke-10 sebagai Monumen Negara.
Dipanggil 'Masjid Kita, Warisan Kita', inisiatif baharu itu adalah satu usaha jangka masa panjang untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap warisan negara itu serta memupuk perpaduan dan mendekati lebih banyak lapisan masyarakat di Singapura, tidak kira kaum dan agama.
Sempena sambutan 10 tahun sebagai Monumen Negara itu, acara rumah terbuka diadakan buat julung-julung kalinya di masjid itu pada Ahad (14 Jul).
Para tetamu berbilang kaum dan agama dijemput untuk kenali lebih lanjut tentang masjid itu.
Mereka antaranya dapat ikuti Jejak Warisan yang diadakan masjid itu serta dibawa menyusuri panel-panel yang baru sahaja dilancarkan, yang dilengkapi dengan pelbagai maklumat.
"Kita ada panel-panel baharu yang baru sahaja kita letakkan di mana kita menyenarai apakah sejarah atau kepentingan tempat-tempat ini untuk mereka lebih memahami masjid ini. Jadi daripada langkah pertama mereka masuk ke dalam masjid ini, ada ceritanya. Mereka dapat mengikuti perkembangan daripada mulanya masjid ini apakah kepentingan dari segi seni bina dan aktiviti di masjid ini, dan sehingga perkembangan baharu seperti tambahan kepada pembangunan di masjid dan juga program-program yang akan datang," kongsi Pengerusi masjid itu, Encik Mohd Azhar Khalid.
"Jadi kita harap bila pelawat datang ke masjid, mereka dapat satu pandangan yang lengkap jadi mereka tidak tertanya-tanya dan berjalan tanpa memahami apa yang sebenarnya di masjid ini," tambah beliau.
INGIN MENARIK LEBIH RAMAI PENGUNJUNG KE MASJID, TIDAK KIRA KAUM & AGAMA
Masjid Alkaff Upper Serangoon didirikan pada 1932 dan diiktiraf sebagai Monumen Negara pada 2014, sebagai sebahagian daripada usaha Singapura untuk melindungi dan memelihara warisan yang dibina.
"Kita ingin menggunakan status Monumen Negara sebagai satu wadah untuk menarik lebih ramai pelawat dan juga jemaah ke masjid ini kerana kita rasa penting untuk lebih ramai orang mengenali tentang aktiviti, perkembangan masjid dan juga perkembangan Islam. Ini juga antara usaha kita untuk merapatkan sebarang jurang yang ada dari segi pemahaman, etnik atau perkauman untuk lebih merapatkan lagi kaum rakyat Singapura, daripada pelbagai kaum untuk lebih memahami masjid-masjid kita di Singapura," ujar Encik Azhar.
"Kita berharap kita dapat menarik minat daripada para keluarga, pelajar di sekolah ataupun kumpulan masyarakat dan kumpulan-kumpulan berkepentingan untuk melawat masjid ini," tambahnya.
MASJID BOLEH JADI JAMBATAN ANTARA MASYARAKAT DI SINGAPURA
Acara rumah terbuka itu diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Negara bagi Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, Rahayu Mahzam dan Anggota Parlimen SMC Potong Pasir Sitoh Yi Pin.
"Ini adalah satu inisiatif yang amat bermakna dan Masjid Alkaff Upper Serangoon mempunyai peluang kerana posisinya sebagai satu Monumen Negara. Ia memberikan kita satu landasan dan peluang untuk memberi sedikit ilmu dan pengetahuan tentang latar belakang masjid ini dan ini akan membuka pintu untuk pemahaman lebih lanjut tentang budaya dan agama kita dan saya amat menggalakkan dan mengalu-alukan usaha Masjid Alkaff Upper Serangoon untuk membuka pintunya," kongsi Cik Rahayu kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Mereka sudah memang sedia ada aktiviti dan hubungan yang rapat dengan masyarakat dalam dalam lingkungan kejiranan mereka tetapi saya rasa ini membuka peluang lagi dan memberikan satu motivasi untuk menggunakan ruang masjid, bukan sekadar untuk ruang beribadah sahaja tetapi ruang untuk membina jambatan antara masyarakat dalam negara kita ini," tambah beliau.
PELIHARA BUDAYA, LEGASI & TRADISI MASJID
Dalam pada itu, Cik Rahayu turut menyentuh tentang pentingnya memelihara warisan negara di Singapura.
"Dalam kita terus berkembang dalam arus kemodenan, banyak perkara yang mungkin kita terlupa dan meninggalkan. Jadi kerana adanya usaha untuk menetapkan Monumen Negara ini, saya rasa ini memberikan kita satu motivasi untuk memelihara budaya, legasi dan tradisi kita yang akan hilang sekiranya kita tidak kekalkan dan memelihara untuk generasi akan datang," ujar Cik Rahayu.
"Ini adalah sesuatu yang kita harus cuba sampaikan kepada masyarakat umum agar mereka lebih peka tentang perkara ini dan mungkin akan lebih terkesan. Jadi bukan sekadar masuk ke masjid untuk solat sahaja tetapi sedar di mana mereka berada, dan apakah sejarah di sebalik tempat itu dan nilai-nilai yang dapat kita raih daripada cerita di sebalik pembinaan masjid itu," tambah beliau.
MASJID ALKAFF UPPER SERANGOON ADAKAN PERBINCANGAN KUMPULAN FOKUS, DEKATI BELIA
Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) juga diadakan bagi para belia hari ini (14 Jul).
Ia merupakan bahagian yang pertama daripada sekurang-kurangnya enam sesi yang bakal diadakan bersama beberapa pihak berkepentingan.
Usaha itu menurut Encik Azhar merupakan satu 'launchpad' atau permulaan bagi rancangan untuk masjid itu yang akan mencecah usia 100 tahun pada 2032.
"Jadi dalam masa lapan tahun ini, kita ingin mengadakan beberapa FGD untuk pertama menarik lebih banyak pandangan tentang keistimewaan Masjid Alkaff dari pandangan beberapa kumpulan, sama ada penduduk, pencinta alam atau kumpulan-kumpulan berkepentingan seperti Kumpulan fotografi atau artis, yang memandang masjid ini daripada lensa yang berbeza," menurut Encik Azhar.
"Jadi dengan mengumpulkan pandangan mereka, kita mungkin dapat mengeluarkan atau mengadakan program yang lebih berkesan dan menarik untuk pelawat-pelawat kami untuk masa masa akan datang," tambah beliau.
BELIA DIBERI PELUANG UTARAKAN PENDAPAT DAN SARANAN UNTUK TARIK PENGUNJUNG KE MASJID
Peluang untuk sertai sesi sebegitu amat dialu-alukan belia seperti Nur Husnina Rozaini, 22 tahun.
"Perbincangan (ini) telah membuka minda saya tentang apa yang saya tahu, apa yang saya tidak tahu dan apa yang saya ingin tahu tentang sejarah dan warisan Masjid Alkaff Upper Serangoon," kongsi Husnina kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Belia di sini dapat memberikan pendapat mereka tentang apa acara-acara yang boleh diadakan supaya lebih ramai orang akan mengunjungi masjid ini," tambah beliau,"
"Saya berkongsi tentang mengadakan acara berkaitan kesihatan dan kesihatan minda kita seperti mengadakan (sesi lawatan) supaya melalui acara ini, orang-orang yang mengunjungi masjid ini akan mengetahui lebih lanjut tentang warisan kita dan sejarah Masjid Alkaff Upper Serangoon Road," ujar Husnina.
Masjid Alkaff Upper Serangoon juga merancang untuk adakan lawatan berpandu untuk sekolah-sekolah serta kolaborasi berbilang agama pada masa hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.