Skip to main content

Singapura

Masjid Alkaff Kampung Melayu perlukan lagi $7.5 juta bagi kerja naik taraf; masjid Tampines North dijangka siap pada 2029

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Proses menghasilkan rekaan bagi masjid baharu di Tampines North akan bermula hujung tahun ini dan kerja-kerja pembinaan pula akan menyusul pada pertengahan 2027.

Para penduduk Tampines boleh menjangkakan projek pembangunan masjid kedua di daerah itu selesai pada 2029.

Ini didedahkan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim hari ini (25 Jul).

"Saya tahu ramai juga yang menantikan perkembangan terbaru mengenai masjid yang akan dibina di Tampines. Masjid-masjid di Singapura memainkan peranan yang penting yang menjangkau fungsi ibadat. Masjid juga merupakan institusi yang memenuhi keperluan sosial agama masyarakat Islam seperti memberi panduan rohani, memupuk keharmonian sosial dan menyokong pembangunan agama. Saya mengalu-alukan maklum balas dan pandangan daripada masyarakat dalam proses pembentukan kedua-dua masjid ini (masjid di Tengah dan Tampines North)," kata Dr Faishal.

Perkembangan itu dikongsikan kira-kira empat bulan selepas pengumuman untuk menyambung semula projek masjid baharu di Tampines North itu dibuat Perdana Menteri Lawrence Wong.

Masjid itu akan dibangunkan di Tampines North Drive 5.

MUIS RINTIS MODEL BAHARU BAGI JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID BAHARU

Lembaga Pengurusan Masjid Darul Ghufran (MMB) juga dilantik untuk memantau kerja-kerja pembangunan masjid baharu itu.

Ini untuk meraih manfaat daripada pengalaman 15 anggota MMB itu termasuk pengerusinya menguruskan masjid di Tampines.

ika sebelum ini, lazimnya sebuah jawatankuasa pembinaan masjid akan dibentuk untuk memantau dan menyelia urusan bagi pembangunan sesebuah masjid baharu.

Namun bagi masjid di Tampines North, MUIS merintis model baharu ini untuk memanfaatkan pengalaman MMB.

Related article image
Pengerusi Masjid Darul Ghufran, Ustaz Firdaus Khan akan memimpin jawatankuasa yang akan memantau pembangunan masjid baharu di Tampines North. (Gambar: Izwan Ohtman)
Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Ghufran, Ustaz Firdaus Khan Jamal Khan berkata, "Insya-Allah apa yang dilakukan di Masjid Tampines North akan saling melengkapi apa yang telah ada di tempat di Masjid Darul Ghufran untuk memenuhi keperluan masyarakat Tampines kelak. Sebelum kami memulakan fasa untuk mengumpul dana, menerusi pertemuan kami dengan penduduk Tampines, kami akan juga meminta pandangan mereka, apakah mereka apa yang mereka inginkan ataupun apa yang mereka lihat."

KERJA NAIK TARAF MASJID ALKAFF KG MELAYU PERLUKAN LAGI $7.5 JUTA

Dr Faishal bertemu pihak media di luar sesi kunjungannya ke Masjid Alkaff Kampung Melayu bagi mendampingi para jemaah solat Jumaat di sana.

Dalam kesempatan itu juga, Dr Faishal melihat kerja-kerja naik taraf yang dilakukan pada bangunan masjid yang berusia 30 tahun itu.
Related article image
Dr Faishal juga sempat beramah mesra dengan para jemaah di Masjid Alkaff Kampung Melayu selepas solat Jumaat. (Gambar: Izwan Ohtman)
Kerja-kerja naik taraf itu dijalankan sejak April 2025 untuk memenuhi keperluan para jemaah yang semakin ramai dan meningkat usia di kawasan Bedok Reservoir.

Ia akan meluaskan ruang solat di aras 1 masjid dengan tambahan bangunan baharu bagi bilik-bilik darjah dan pejabat pentadbiran masjid berserta lif baharu.

Setelah selesai menjalani kerja naik taraf itu, Masjid Alkaff Kampung Melayu akan mempunyai ruangan untuk menampung 3,200 jemaah.
 
Related article image
Imej dari luar Masjid Alkaff Kampung Melayu selepas kerja naik taraf selesai. (Gambar: Masjid Alkaff Kampung Melayu)
Related article image
Ruang solat juga akan diluaskan untuk menampung lebih ramai jemaah. (Gambar: Izwan Ohtman)
Related article image
Lif baharu juga akan dipasang untuk memenuhi keperluan jemaah lebih lanjut usia. (Gambar: Masjid Alkaff Kampung Melayu)
Buat masa ini dengan beberapa kawasan ditutup bagi kerja-kerja naik taraf itu, masjid tersebut hanya boleh menampung 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Keseluruhan projek naik taraf Masjid Alkaff Kampung Melayu menelan belanja $15 juta.

Menurut Pengerusi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Khalid Lani, sebanyak $7.5 juta masih lagi diperlukan.

Untuk membiayainya, pihak masjid akan mengumpul dana menerusi kelas-kelas agama, tabung derma serta kerja-kerja kebajikan yang lain.

Dr Faishal juga berkata beliau bekerja rapat dengan pihak MUIS untuk memantau keperluan jemaah dan pembangunan masjid serta kemampanan projek-projek itu.

Ini termasuk kos menyelia dan menaik taraf masjid sedia ada mahupun membangunkan masjid baharu.
Related article image
Projek naik taraf Masjid Alkaff Kampung Melayu menelan belanja $15 juta. (Gambar: Izwan Ohtman)
"Ada masjid yang mungkin yang kita lihat setiap hari Jumaat ada tempat ruang yang boleh digunakan lagi dan ada yang mempunyai permintaan yang lebih tinggi. Justeru, kami sedang memantau aspek ini. Selain daripada itu, kita juga melihat dari segi kewangan dan ini adalah aspek yang saya dan rakan-rakan saya sendiri sedang memikirkan dan melihat secara keseluruhannya semua bagaimana kita boleh menjalankan proses ini dengan mudah dan juga boleh memberi sokongan kepada pihak masjid tetapi membangunkan satu ekosistem yang mantap di mana walaupun kita membangunkan, mengubahsuaikan, menaik taraf masjid tapi selalu memikirkan dari segi bagaimana ia mantap, bagaimana ia boleh diteruskan supaya dari segi kewangan, ia juga boleh diteruskan," jelas Dr Faishal.

Kebelakangan ini, beberapa projek naik taraf telah dijalankan dan diumumkan.

Misalnya, Masjid Darul Makmur yang baru sahaja selesai naik kerja taraf bernilai $15 juta manakala Masjid Darussalam pula akan menjalani kerja peningkatan sekitar $10 juta.

Masjid Ar-Raudhah juga sedang menjalani kerja naik taraf $8.5 juta.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita