Skip to main content

Singapura

Masjid Al-Taqua terbitkan buku, rakam evolusi dan sejarah 140 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Apr 2026 06:49PM Dikemas Kini : 17 May 2026 12:58PM
SINGAPURA: Sejarah, peranan dan sumbangan Masjid Al-Taqua terhadap pembangunan agama, masyarakat dan Singapura sepanjang lebih 140 tahun dirakamkan dalam sebuah buku yang baharu yang diterbitkan oleh masjid tersebut pada Ahad (26 Apr).

Buku yang berjudul 'Masjid Al-Taqua Kilauan Mutiara Kota Singapura' merupakan sebuah dokumentasi komprehensif yang telah ditulis dan dihimpunkan oleh para penduduk lama di kawasan sekitar Masjid Al-Taqua.

Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Taqua, Mohd Khalid Mohd Lani, penerbitan buku tersebut merupakan sesuatu yang penting, lebih-lebih lagi dalam era digital sekarang.

"Bila kita adakan satu perbincangan tentang dokumentasi yang kita boleh gunakan sebagai rujukan pada masa depan, saya rasa itu sesuatu yang lebih mustahak daripada kita berdasarkan atas talian ataupun percakapan cakapan yang mungkin tidak melalui fakta yang jelas. Jadi mendapatkan sesuatu rujukan tanpa bahan yang bernas ataupun boleh dirujukkan, saya rasa itu agak penting untuk waktu sekarang," kata Encik Khalid.
Related article image
Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Taqua, Encik Mohd Khalid Mohd Lani. (Gambar: Hidir Ezat)
"Lagi-lagi kita di dalam dunia digital dan kesahihan maklumat itu saya rasa memang sangat dipentingkan. Jadi, kita akan berbincang dalam masa 10 tahun atau 20 tahun akan datang, bagaimana sesuatu maklumat itu boleh kita sandarkan berdasarkan apa yang telah dikongsikan. Jadi penerbitan ini adalah sesuatu yang kita boleh buat rujukan dan saya anggap sebagai dokumentasi sosial akan datang," katanya lagi.

EVOLUSI PERANAN MASJID

Masjid Al-Taqua dibangunkan oleh para penduduk yang kebanyakannya merupakan petani dan nelayan pada 1883 dan ia mencerminkan semangat mereka.

Selain semangat penduduk, buku ini turut merakam evolusi fungsi serta peranan Masjid Al-Taqua yang dahulunya hanya sebuah surau yang kecil.

Di majlis pelancaran buku itu siang tadi, tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim berkata, "Masjid bukan hanya tempat beribadah atau menuntut ilmu agama, ia juga satu institusi penting untuk masyarakat berkumpul dan membina hubungan."
Related article image
Buku yang diterbitkan Masjid Al-Taqua berjudul 'Masjid Al-Taqua Kilauan Mutiara Kota Singapura'. (Gambar: Hidir Ezat)
"Kini, masjid-masjid kita memainkan peranan yang lebih luas dalam memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat, daripada pendidikan agama, bimbingan kekeluargaan, sokongan kepada golongan memerlukan hinggalah kepada pembangunan belia dan kesejahteraan warga emas. Ini penting agar masyarakat kita dapat menghadapi cabaran kehidupan dengan sokongan yang dekat dan menyeluruh," tambahnya lagi.

Acara tersebut juga meraikan dan merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan masjid dan rakan masyarakat yang telah menyumbang kepada legasi gemilang masjid itu.

Antara mereka yang hadir termasuk Profesor Madya Emeritus di Institut Pendidikan Nasional (NIE) NTU, Dr Hadijah Rahmat yang turut merupakan antara penulis buku tersebut.

"Hasil kajian kami menunjukkan terdapat 7 hasil dapatan mutiara yang ditemui hasil kajian ini dan ini dijelaskan dalam buku. Salah satu fakta penting ialah masjid ini sudah lama dibentuk dan dihasilkan lebih 143 tahun. Ramai yang tidak tahu perkara ini. Jadi ini satu dapatan yang penting," kata Dr Hadijah.
Related article image
Antara penulis buku, Dr Hadijah Rahmat. (Gambar: Hidir Ezat)
"Yang menarik sekali, ia diusahakan oleh para perintis yang datang dari berbagai daerah di Wilayah Nusantara dan membuka kampung-kampung dan pada dasarnya, golongan peneroka ini boleh kita bahagikan kepada dua iaitu penghuni Bedok Darat dan Bedok Laut dan mereka mencari hasil pencarian dengan menjadi nelayan dan juga menjadi petani dan jalinan kerjasama antara mereka untuk membina masjid ini amatlah menarik," tambahnya lagi.

Beliau yang membesar di sekitar kawasan Jalan Haji Salam selama 27 tahun, mengimbas kembali kenangan bagaimana Masjid Al-Taqua menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat, bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi juga pusat kegiatan sosial dan pendidikan.

"Jadi masjid itu memainkan peranan penting pada diri saya sebab di situlah tempat saya belajar tuisyen dan kelas bimbingan untuk menyiapkan diri saya belajar bahasa Inggeris, belajar matematik, ilmu hisab kami panggil ketika itu dan pengalaman belajar di masjid tersebut untuk menyiapkan diri, mengukuhkan diri untuk menghadapi peperiksaan PSLE terakam di situ," kongsi Dr Hadijah.
Related article image
Acara tersebut turut disertai oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim dan Menteri Undang-undang, Edwin Tong yang juga merupakan Anggota Parlimen bagi GRC East Coast. (Gambar: Hidir Ezat)
Acara yang berlangsung di Village Hotel Changi itu turut dihadiri oleh Menteri Undang-undang, Edwin Tong yang juga merupakan Anggota Parlimen bagi GRC East Coast.

Sekitar 150 Ahli Lembaga Pengurusan Masjid Al-Taqua, Pengerusi Masjid Zon Timur, para sukarelawan masjid serta rakan-rakan masyarakat turut memeriahkan acara tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita