Masjid Al-Muttaqin lancar portal SantunanEmas, perkasa warga emas dengan sumber kerohanian dan penuaan aktif
Portal SantunanEmas.sg menghimpunkan antara lain berfungsi sebagai rujukan bagi golongan warga emas meniti usia senja dengan aktif dan bermakna.
Pegawai Eksekutif Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Isa Zaini turut berkongsi bahawa portal ini turut mempunyai rujukan inisiatif nasional.
"Kita telah menghimpunkan bahan-bahan kerohanian, rakaman-rakaman kuliah dan sebagainya dan portal ini menjadi tempat untuk para warga emas dan juga penjaga untuk merujuk kembali jika mereka mahu melihat rakaman-rakaman serta rujukan-rujukan kerohanian yang telah kita sampaikan dalam projek santunan emas," kata Ustaz Isa.
"Selain itu, portal ini turut memuatnaikkan pautan-pautan yang bermanfaat. Pautan-pautan ini kebanyakkannya adalah pautan-pautan yang berbentuk inisiatif-inisiatif peringkat nasional yang sebenarnya membimbing dan membantu generasi emas kita. Selain itu, portal ini juga akan memuatkan panduan dan beberapa cara-cara yang boleh disampaikan khusus bagi penjaga untuk memastikan warga emas di bawah jagaan mereka kekal aktif dan mengamalkan penuaan aktif," tambahnya lagi.
Portal tersebut merupakan sebahagian daripada Program Santunan Emas kendalian Masjid Al-Muttaqin yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan warga emas menerusi pelbagai kegiatan kerohanian, jasmani, sosial dan kognitif.
"Santunan emas ini merupakan satu program di mana kita telah mengintegrasikan komponen kuliah ataupun pembelajaran dan juga sesi senaman yang merangkumi kognitif dan juga fizikal," kata Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Muhammad Khidir Mohamed Ibrahim.
"Kita juga adakan sesi ini untuk menarik sukarelawan kita supaya dapat berkhidmat kepada masjid dan pada masa yang sama mereka juga boleh berkumpul di masjid untuk bertanya khabar antara satu sama lain kerana bilangan kehadiran yang sering datang ke sini pada tiap hari Rabu pagi adalah sebanyak 360 hingga 400 orang," tambahnya lagi.
KIT HOSPITAL DAN JURNAL BAGI MENYOKONG WARGA EMAS DI HOSPITAL
Selain itu, pihak masjid turut memperkenalkan kit jagaan di hospital sebagai satu lagi inisiatif baru hasil maklum balas daripada lawatan ke hospital dan rumah penjagaan.
"Kit Hospital ini merangkumi sejadah dan botol untuk memudahkan mereka mengambil wudhu. Ia juga mempunyai buku pilihan doa supaya mereka juga boleh membaca buku tersebut semasa mereka di hospital," kata Ustaz Khidir.
"Dan juga bukan sahaja diberikan kepada pesakit tetapi untuk penjaga juga. Dan selain daripada itu, ada satu buku yang kita panggil sebagai "Inspirational Quotes & juga Reflective Journal" dimana mereka sebagai pesakit bolehlah membaca dan menulis sebarang catatan yang mereka ingin catatkan," tambahnya lagi.
Beliau menambah bahawa jurnal tersebut memberi ruang kepada pesakit untuk menulis catatan peribadi yang boleh menjadi kenangan bermakna kepada keluarga selepas mereka meninggal dunia.
Sementara itu, Pengarah Ma:een yang juga mantan Mufti Singapura, Ustaz Fatris Bakaram, yang telah bersama program Santunan Emas selama setahun, berkongsi bahawa pendekatan program ini memberi fokus khusus kepada keperluan spiritual dan emosi warga emas.
"Sebagai perintis kepada program ini ialah untuk menyesuaikan penyampaiannya, pendekatannya, mesej yang diselitkan dalam setiap pengajian di mana hadis-hadis itu dikaitkan dengan cabaran yang dihadapi oleh warga emas dalam meniti usia senja mereka," kata Ustaz Fatris.
"Maklum balas yang sangat positif merasakan bahawa banyak persoalan mereka, banyak kerisauan mereka yang terjawab ataupun dibincangkan dalam program Santunan Emas ini," tambahnya lagi.
"Kerjasama telah banyak dibuat dengan badan-badan lain yang walaupun bukan badan-badan yang di jalankan ataupun dikendalikan oleh masyarakat Islam. Tetapi kerjasama yang ditunjukkan menunjukkan kita dapat saling memanfaatkan dan mengambil manfaat daripada satu dengan yang lain," kata Ustaz Fatris.
"Manalah tahu satu masa nanti ada keperluan masyarakat sekeliling masjid yang walaupun bukan beragama Islam tetapi dapat dibantu juga supaya kehidupan mereka di hujung usia itu kehidupan yang penuh dengan kebaikan," tambahnya lagi.
Beliau berharap usaha ini dapat terus diperluas agar lebih ramai warga emas mendapat bimbingan dan menikmati kehidupan akhir usia yang bermaruah dan penuh ketenangan.
Masjid Muttaqin di antara lebih 40 pertubuhan yang telah mengikrarkan komitmen menyokong Compassionate Communities Singapore (CoCoSG), sebuah gerakan kebangsaan oleh Majlis Hospis Singapura, yang bertujuan membina ekosistem yang penyayang dan inklusif bagi memastikan warga emas menjalani kehidupan di hujung hayat mereka dengan bermakna dan tidak bersendirian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.