Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Al-Istiqamah, Masjid Darul Ghufran galak bawa bekas makanan sendiri bagi agihan bubur

Anda mungkin ada ternampak catatan sebilangan masjid tempatan menggalakkan para jemaah membawa bekas makanan sendiri semasa pengagihan bubur.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Al-Istiqamah, Masjid Darul Ghufran galak bawa bekas makanan sendiri bagi agihan bubur

Masjid Al-Istiqamah menggalakkan para jemaah membawa bekas makanan sendiri semasa pengagihan bubur. (Gambar: Masjid Al-Istiqamah)

SINGAPURA: Jika anda kerap melayari laman media sosial, anda mungkin ternampak catatan sebilangan masjid tempatan menggalakkan para jemaah membawa bekas makanan sendiri semasa pengagihan bubur.

Yang jelas, usaha hijau ini semakin mendapat perhatian dan dialu-alukan masyarakat.

Manakan tidak, ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kesan tindakan kita terhadap sekitaran, ia turut mendorong kita mengurangkan pembaziran.

Salah seorang pengguna media sosial, Siti Hajar Ismail berkata: "Alhamdulillah... seperti zaman dahulu... bawa bekas makanan dari rumah".

"Langkah yang baik! Permulaan baik untuk melatih mengurangkan sisa terutama sekali pada bulan suci ini," tulis seorang lagi pengguna media sosial, Fitrie Lov Sazali.

Inisiatif tersebut juga selaras dengan usaha "Green Ummah" yang ditingkatkan dalam kempen Sentuhan Ramadan tahun ini.

Selain digalakkan menggunakan sudu garfu yang boleh diguna semula, masjid-masjid juga diingatkan agar mengurangkan sisa makanan dengan merancang program dan menu dengan lebih teliti.

LEBIH 50 DATANG DENGAN BEKAS MAKANAN

Salah sebuah masjid yang memulakan inisiatif tersebut pada hari pertama berpuasa ialah Masjid Al-Istiqamah.

Meskipun hanya lebih 50 datang membawa bekas makanan sendiri, jumlah kecil ini menunjukkan satu petanda yang baik ke arah usaha hijau masjid tempatan.

Pengerusi masjid tersebut, Encik Juraiman Rahim memberitahu BERITAmediacorp: "Masjid Al-Istiqamah ambil kesempatan ini untuk mengajak dan mendidik jemaah agar peka dan cinta alam sekitar dengan cara yang mudah untuk dilaksanakan dan mesra alam.

"Dengan ini, jemaah langsung mengurangkan penggunaan plastik dan mengurangkan kos operasi bubur."

"SATU PERMULAAN JAUH BERMULA DENGAN LANGKAH PERTAMA"

Amalan tersebut juga, menurut Encik Juraiman, dapat diperluaskan ke tabiat mesra alam lain seperti kitar semula, menjimatkan air dan elektrik.

"Satu perjalanan yang jauh bermula dengan langkah yang pertama," tambahnya ringkas.

Pengagihan bubur di Masjid Al-Istiqamah bermula selepas solat zuhur, dari 6 hingga 31 Mei ini.

BAWA NOSTALGIA BAGI GENERASI MERDEKA

Masjid tersebut juga memasak sehingga lima periuk bubur, yang mana empat daripadanya untuk diagihkan kepada jemaah atau sekitar 800 paket bubur, tidak kira dalam bentuk plastik mahupun bekas makanan yang dibawa sendiri.

"Usaha ini juga akan membawa sedikit pengalaman nostalgia bagi generasi merdeka kita di mana mereka boleh berkongsi pengalaman dengan generasi baru dan mewujudkan perhubungan kekeluargaan dan jiran," kata Encik Juraiman.

Bahkan, pelakon Hisyam Hamid turut menyingsing lengan mengagihkan bubur di Masjid Al-Istiqamah bagi para jemaah.

Beliau turut hadir bersama bapa mertuanya, yang juga jawatankuasa masjid itu.

WUJUDKAN GERAKAN SELEPAS GUNAKAN LEBIH 32,400 BEKAS TAHUN LALU

Sebuah lagi masjid yang memulakan inisiatif membawa bekas makanan sendiri ialah Masjid Darul Ghufran.

Dalam catatannya di laman Facebook, masjid berkenaan menyatakan pihaknya berhasrat mewujudkan gerakan mengurangkan sisa bagi pengagihan bubur Ramadan.

Ini selepas Masjid Darul Ghufran mendedahkan pihaknya menggunakan 32,414 bekas makanan sepanjang pengagihan bubur pada Ramadan lalu.

"Kami akan cuba bergerak ke arah sesuatu yang lebih baik, bersama masyarakat, demi Allah," menurut catatan itu.

BAWA CAWAN SENDIRI BERBUKA DI MASJID MAAROF

Buat julung-julung kalinya juga Masjid Maarof menggalak para jemaah untuk membawa cawan mereka sendiri menerusi kempen Bring Your Own Cup.

Pengerusi Eksekutif Masjid Maarof, Rashid Ramli, menyifatkan langkah itu sebagai praktikal.

"Kita lihat sekarang ini pun di mana-mana, kadang-kadang kita hadiri kursus dan sebagainya, kita diberitahu sila bawa bekas air sendiri kan, kerana air akan disediakan. Jadi kita rasa ini mungkin patut kita cuba pada bulan Ramadan kali ini," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Sejak sekitar dua minggu sebelum Ramadan, Masjid Maarof sudahpun mula menguar-uarkan kepada masyarakat tentang kempen tersebut agar mereka bersedia membawa cawan atau botol air sendiri semasa datang berbuka puasa di masjid.

"Tujuan kami sebenarnya untuk menanamkan kesedaran sahaja kepada mereka. Yang penting kita kurangkan penggunaan bekas-bekas yang dipakai buang ini untuk menyelamatkan alam sekitar," ujar Encik Rashid.

Langkah tersebut diharap dapat mewujudkan kesedaran bahawa Rahmah bukan sekadar boleh disebarkan sesama manusia, malah kepada alam sekitar juga. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan