Skip to main content

Singapura

Masjid Al-Istiqamah kembali buka pintu kepada jemaah susuli insiden bungkusan mencurigakan

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Al-Istiqamah kembali buka pintu kepada jemaah susuli insiden bungkusan mencurigakan

Masjid Al-Istighfar kembali buka pintu masjid kepada jemaah bagi solat lima waktu sejurus selepas insiden bungkusan mencurigakan pada 24 Sep 2025. (Gambar: Masjid Al-Istighfar/Facebook)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Sep 2025 11:14AM Dikemas Kini : 25 Sep 2025 12:59PM
SINGAPURA: Masjid Al-Istiqamah kembali membuka pintunya kepada para jemaah bagi solat lima waktu.

Ini setelah para jemaah dan kakitangan Masjid Al-Istiqamah diarah supaya meninggalkan masjid tersebut yang terletak di Serangoon North Avenue 2 pada petang Rabu (24 Sep) selepas bungkusan mencurigakan ditemui di pekarangan masjid.

Demikian menurut Masjid Al-Istiqamah menerusi catatan Facebook pada Khamis (25 Sep).

Catatan itu berbunyi: "Harap maklum bahawa solat harian di Masjid Al-Istiqamah sudah disambung semula berkuat kuasa serta-merta. Terima kasih atas kesabaran dan kerjasama anda."
Sekitar pukul 5.20 petang Rabu (24 Sep), Pasukan Polis Singapura (SPF) dimaklumkan tentang bungkusan mencurigakan yang dihantar ke masjid itu.

Apabila pihak polis tiba di masjid berkenaan, bungkusan itu ditemui di pekarangan masjid.

Para jemaah dan kakitangan diarahkan oleh para pegawai SPF dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk keluar daripada bangunan masjid tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

Seorang individu yang mengalami sesak nafas dibawa ke Hospital Besar Sengkang.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim semasa menjawab pertanyaan media mengenai insiden itu berkata siasatan sedang dijalankan dan
"kejadian seperti ini tidak boleh diterima".

Setakat ini, belum diketahui apakah kandungan bungkusan tersebut kecuali "tiada bahan berbahaya ditemui", menurut Dr Faishal.

DR FAISHAL MELAWAT KAKITANGAN DI HOSPITAL

Selepas insiden pada Rabu malam, Dr Faishal menziarahi kakitangan Masjid Al-Istiqamah yang dirawat di Hospital Besar Sengkang.

"Saya bersyukur tiada bahan yang berbahaya ditemui. Kakitangan yang sedang dirawat di Hospital Besar Sengkang juga sedang beransur pulih semasa saya menziarahinya, malam tadi. Saya galakkan beliau untuk berehat dan memberi tumpuan untuk memulihkan kesihatannya," kata Dr Faishal.

Mengulas tentang pembukaan semula masjid, Dr Faishal berkata beliau menyertai para jemaah menunaikan solat Subuh di sana awal pagi tadi.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar terus bertenang dan tidak menyebarkan maklumat palsu.

"MUIS dan pihak masjid bersedia untuk menyokong para kakitangan dan jemaah dalam waktu ini. Polis masih menjalankan siasatan. Justeru, saya menyeru masyarakat agar terus bertenang dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu mengenai insiden ini.

"Saya juga berbesar hati menerima pesanan-pesanan yang menyuarakan keprihatinan serta sokongan padu daripada masyarakat Melayu/Islam kita, serta masyarakat Singapura yang lain. Ini adalah satu peringatan penting bahawa kita diberkati dengan pertalian masyarakat majmuk. Ini adalah satu kurnia dan keistimewaan yang mesti kita hargai dan lindungi bersama," kata Dr Faishal.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita