Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Al-Islah, IRCC, kuil dan gereja bergabung hulur bantuan kepada 850 keluarga memerlukan di Punggol

Sebanyak 850 keluarga memerlukan di Punggol menerima habuan barangan dapur daripada sebuah inisiatif silang agama pada Sabtu (11 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 850 keluarga memerlukan di Punggol menerima habuan barangan dapur daripada sebuah inisiatif silang agama pada Sabtu (11 Dis).

Selepas setahun tidak dapat dijayakan akibat COVID-19, Masjid Al-Islah dengan tiga badan kemasyarakatan dan keagamaan yang lain bergabung semula untuk menganjurkan inisiatif yang dipanggil 'Blessings in Harmony'.

Jika dahulu, habuan itu dihantar langsung ke rumah para penerima, edisi keempat acara itu berbeza sedikit dengan para penerima perlu mengambilnya sendiri di dua lokasi berbeza - Blok 222 Sumang Lane dan Blok 209 Punggol Place atas sebab-sebab keselamatan COVID-19.

(Gambar: Ustaz Khidir Ibrahim)

(Gambar: Ustaz Khidir Ibrahim)

Namun begitu, mereka yang mempunyai masalah untuk bergerak atas sebab-sebab kesihatan akan tetap menerima habuan ke rumah mereka.

Setiap habuan dibungkus dalam sebuah troli yang diisi barangan keperluan dapur seperti minyak masak, makanan dalam tin, garam dan gula yang bernilai S$60.

Turut hadir menyingsing lengan ialah Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Punggol West, Cik Sun Xueling yang memuji usaha tersebut yang menyatukan badan-badan berlainan agama untuk membantu golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi mereka yang terjejas oleh COVID-19.

"Kami dapati apabila keluarga mempunyai 'faith', mereka percaya akan satu sama lain dan mereka tahu mereka boleh bangkit daripada krisis ini lebih kuat secara bersama dan kegiatan-kegiatan seperti hari ini meyakinkan lagi hal ini kepada mereka bahawa ada ramai dalam masyarakat yang mahu mereka senang dan akan menyokong mereka dalam berbuat demikian," kata Cik Sun yang juga merupakan Menteri Negara Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga.

S$58,000 DIKUMPULKAN HASIL SUMBANGAN MASYARAKAT DAN RAKAN KERJA

Inisiatif silang agama itu turut disokong Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Punggol West, kuil Dhammakaya Centre Singapore dan gereja Church of the Transfiguration (COTT) yang sudah menyumbang tenaga dan dana kepada usaha itu sejak ia dimulakan pada 2017 lagi.

"Kami menghargai inisiatif yang dimulakan masjid dan mereka sangat baik bukan sahaja dalam merancang dan menganjurkan tapi juga untuk membuka kepada pertubuhan-pertubuhan keagamaan lain di Punggol West untuk menyertai dan menyediakan sokongan bagi yang kurang bernasib baik," kata Encik Carl G Danker daripada COTT.

Pengarah Operasi gereja Katolik itu berkata pihaknya giat menguar-uarkan tentang inisiatif tersebut kepada para pengikutnya.

Turut berkongsi sentimen serupa ialah Cik Clara Butt, daripada kuil Buddha, Dhammakaya.

Pegawai Perhubungan Awam itu berkongsi pihaknya baru sahaja tamat menganjurkan sebuah acara mencuci kereta amal di mana keseluruhan dana yang terkumpul disalurkan kepada inisatif 'Blessings in Harmony'.

"Saya rasa ini adalah satu acara yang inklusif di mana tiga pertubuhan keagamaan dapat bergabung. Meskipun ada perbezaan dalam ajaran agama kami namun kami bekerjasama ke arah matlamat yang sama untuk memberi dan menabur ihsan," kata Cik Butt.

Sekitar 80 relawan berbilang kaum turut hadir untuk menjayakan usaha itu.

Menurut penganjurnya, Masjid Al-Islah, dalam masa sekitar tiga bulan sahaja, sebanyak S$58,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan masyarakat dan rakan-rakan kerja bagi usaha itu.

Disebabkan oleh langkah-langkah keselamatan COVID-19, pihak penganjur juga perlu mengurangkan skala pengagihan kali ini bagi memastikan keselamatan para pegawai, relawan dan para penerima bantuan.

"Berbanding tahun 2019, kita dapat membahagikan kepada empat blok sewa. Jadi oleh kerana itu, kita telah berikan lebih kurang 1,300 penduduk. Tetapi memandangkan sekarang pada masa ini, pasca COVID-19, jadi ia agak sukar untuk kita memberikan kepada semua blok-blok sewa," kata Pegawai Pendamping Masyarakat, Masjid Al-Islah, Ustaz Muhd Khidir Hj Mohd Ibrahim.

"Jadi kami mengharapkan juga dengan sokongan dan juga sambutan yang ada kita dapat lebih lagi memberikan bantuan kepada yang memerlukan," tambah Ustaz Khidir.

Selain para penduduk di dua blok flat sewa ini, lagi 70 penerima Zakat yang menetap di Punggol juga menerima habuan kali ini.

Menurut Ustaz Khidir lagi, meskipun golongan ini tidak semestinya menetap di rumah sewa tetapi mereka juga memerlukan bantuan kerana menghidapi masalah-masalah kesihatan dan sebagainya.

"Kita tetap akan memberikan bantuan kepada blok-blok lain tapi bukan sahaja blok sewa, tetapi ‘new poor' yang kita tahu sekarang ini pasca COVID-19. Jadi oleh itu, kami sedang cuba usaha sedaya upaya kita untuk terus berusaha dan memastikan bantuan itu ada," jelas Ustaz Khidir.

SUMBANGAN MAKANAN BANTU JIMATKAN WANG

Antara penerima yang memanfaatkan agihan itu ialah Encik Adam Malik Kader Hamed, 52 tahun.

Sejak kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis lapan tahun lalu, bekas petugas di pawagam itu tidak lagi dapat bekerja dan terpaksa bergantung pada bantuan kewangan dan simpanan CPF yang diterima sekitar S$920 sebulan untuk perbelanjaan seharian.

Oleh itu, dia yang tinggal bersama adiknya di flat sewa di Sumang Lane itu amat bersyukur dengan sumbangan habuan yang diberikan melalui inisiatif itu.

"Memang kalau ini saya dapat hari ini untuk bantu saya okey jadi macam saya kuranglah beli apa-apa dekat luar. Jadi saya sudah ada ini, saya pakai ini dulu ini barang. Macam gitu saja. Jadi duit saya dapat simpan sedikit sebanyak dapat simpan lah ada barang-barang ini," kata Encik Adam Malik.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan