Masjid Al-Huda dan AltruistSnips Collective tawar gunting rambut percuma sempena tahun baru
Seramai 50 jemaah masjid Al-Huda dan pekerja hijrahan melangkah ke tahun baru dengan rambut lebih kemas.
SINGAPURA: Seramai 50 jemaah masjid Al-Huda dan pekerja hijrahan melangkah ke tahun baru dengan rambut lebih kemas.
Ini berkat inisiatif gunting rambut percuma yang diadakan buat julung-julung kalinya oleh pihak masjid dengan AltruistSnips Collective hari ini (31 Dis).
"Selain daripada menyumbang balik kepada masyarakat, semoga acara pada hari ini dapat beri satu motivasi dan semangat kepada orang-orang yang datang dan juga pihak penganjur agar dapat melangkah ke tahun baru dengan penuh motivasi dan semangat yang jitu untuk menghadapi tahun 2023," kata pengerusi Masjid Al-Huda, Md Idris Md Khair.
AltruistSnips Collective dianggotai sekumpulan tukang gunting rambut yang berkhidmat dari rumah.

Tiga daripada mereka menyumbang tenaga mereka dari 10.00 pagi hingga 3.00 petang tadi.
Ini bukan kali pertama AltruistSnips Collective beramal.
"Sebelum ini kami ada lakukan beberapa acara daripada masjid, kedai lain pun ada. Jadi ia sentiasa menjadi visi saya untuk membantu masyarakat apabila saya mula gunting rambut. Saya rasa ini adalah satu cara untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan kemahiran yang saya belajar," kata Rizan Amali Muhd Shariff, pengasas AltruistSnips Collective.
Beliau berharap usaha murni mereka ini dapat dijadikan motivasi untuk menggalak lebih ramai anak muda untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.