Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Al-Firdaus sambung semula khidmat bas ulang-alik; ingin galak lebih ramai penduduk Choa Chu Kang bertarawih di masjid

Selepas dua tahun ditiadakan kerana pandemik COVID-19, Masjid Al-Firdaus menyambung semula khidmat bas ulang-alik percuma bagi solat tarawih.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas dua tahun ditiadakan kerana pandemik COVID-19, Masjid Al-Firdaus menyambung semula khidmat bas ulang-alik percuma bagi solat tarawih.

Ini bagi menggalak dan mempermudahkan penduduk di sekitar Choa Chu Kang untuk ke masjid bagi menunaikan solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah.

Setelah menawarkan perkhidmatan itu selama 30 tahun, Masjid Al-Firdaus terpaksa menghentikannya buat sementara waktu pada tahun 2020 dan 2021 disebabkan COVID-19.

Tinjauan BERITAmediacorp juga mendapati bahawa Masjid Al-Firdaus merupakan satu-satunya masjid yang menawarkan khidmat sedemikian pada bulan Ramadan tahun ini.

JIKA ADA PERMINTAAN LEBIH, AKAN TAMBAH JUMLAH BAS

Bagi tahun pertamanya diadakan semula khidmat bas percuma ini, Masjid Al-Firdaus menyediakan satu bas sahaja berbanding tahun-tahun sebelum COVID-19.

Sebelum pandemik, Masjid Al-Firdaus menawarkan dua khidmat bas ulang-alik percuma bagi menghantar para penduduk Choa Chu Kang ke masjid itu bagi menunaikan solat tarawih.

"Sebelum COVID-19 memang kita ada dua bas, dua laluan berbeza, memandangkan sekarang kapasiti kita cuma 800 jemaah, jadi kita gabungkan dua laluan itu menjadi satu tetapi kalau permintaan dari jemaah meningkat, kita akan kembali kepada dua bas, dua laluan," kata Setiausaha Masjid Al-Firdaus, Sobri Omar.

Pihak masjid tersebut juga berharap lebih ramai jemaah akan kembali mengimarahkan masjid pada bulan Ramadan ini dengan adanya semula khidmat bas itu.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

"Dengan perkhidmatan bas ini, kami harapkan lebih ramai akan datang ke masjid pertama sekali, terutamanya untuk orang-orang yang berumur jadi menyenangkan mereka untuk datang ke masjid kerana masjid kami ini terletak di luar daripada kawasan perumahan," kata Encik Sobri.

Masjid Al-Firdaus yang dibangunkan pada 1962 itu terletak di Jalan Ibadat berdekatan Old Choa Chu Kang Road.

Dari seawal pukul 7.50 malam lagi, beberapa jemaah sudah kelihatan beratur di perhentian pertama khidmat tersebut.

Bermula dari Choa Chu Kang North 5, bas itu akan berhenti di 18 lokasi di sekitar kawasan perumahan Choa Chu Kang sebelum akhirnya tiba di Masjid Al-Firdaus.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

Menurut tinjauan BERITAmediacorp semalam (6 Apr), lebih separuh daripada tempat duduk di dalam bas itu dipenuhi dengan jemaah.

Bagi langkah keselamatan COVID-19, para jemaah diwajibkan untuk memakai pelitup sepanjang berada dalam bas.

SYUKUR KHIDMAT BAS BAGI BERTARAWIH DIADAKAN SEMULA

Rata-rata penduduk Choa Chu Kang yang menggunakan khidmat bas ulang-alik itu berbesar hati dan mengalu-alukan langkah masjid berkenaan menawarkan semula khidmat bas itu setelah ditiadakan selama dua tahun.

"Cik sangat-sangat bersyukur sebab Cik sudah 3 tahun mengikut bas pergi ke tarawih, sangat-sangat bersyukur, tahulah lepas Maghrib nak siap nak apa kan, dapat memang dah bagus," luah seorang jemaah, Cik Zubaidah Selamat.

"Pendapat saya ini sangat memuaskan kerana mudah untuk mereka yang tinggal jauh-jauh dapat sama-sama pergi ke masjid.

"Dengan ada khidmat ini senanglah kami, buka puasa sahaja kita siap tak kelam-kabut sebab kita ada bas kan untuk pergi ulang-alik. Kita mudah untuk kita pergi solat tarawih," kata seorang lagi jemaah, Ahmad Khan Amien Khan.

MASIH ADA LAGI 170,000 RUANG SOLAT TARAWIH

Dengan pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat, lebih ramai jemaah dapat menghidupkan semangat Ramadan kali ini dan melaksanakan solat tarawih di masjid.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, MUIS mendedahkan bahawa masih lagi ada sekitar 170,000 ruang bagi solat tarawih berjemaah di masjid-masjid sehingga Ahad ini (10 April).

Secara keseluruhan, sebanyak 60,000 slot solat tarawih disediakan setiap malam.

Ini bermakna sepanjang bulan Ramadan ini, sebanyak 1.8 juta ruang disediakan di seluruh Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa