Skip to main content

Singapura

Masjid Al-Firdaus lancar kutipan dana; sediakan juadah berbuka puasa bagi 400 pekerja hijrahan setiap hari

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Al-Firdaus lancar kutipan dana; sediakan juadah berbuka puasa bagi 400 pekerja hijrahan setiap hari

(Gambar: Tangkapan skrin video Masjid Al-Firdaus/Facebook)

BERITAmediacorp: Masjid Al-Firdaus di Choa Chu Kang melancarkan kutipan dana infak Ramadan dan menyasarkan matlamat untuk mengumpul sebanyak S$49,200 bagi menampung aktiviti-aktiviti masjid.

Ini termasuk menyediakan bas ulang-alik dan juadah berbuka puasa bagi para jemaah, mengendalikan solat tarawih serta kos-kos lain.

Masjid yang terletak di Choa Chu Kang itu turut menyediakan hidangan iftar bagi para penduduk yang menetap di sekitar estet perumahan itu dan juga sekitar 400 hingga 500 pekerja hijrahan setiap hari, kata Encik Sobri Omar, Setiausaha Lembaga Pentadbiran Masjid Al-Firdaus kepada BERITAmediacorp.

Namun, pada hujung minggu lalu, tular rakaman video di media sosial yang menunjukkan bubur yang disiapkan buat jemaah masjid itu tidak mencukupi.

"Pada Ahad pertama, kami menjangkakan akan menyambut 1,000 jemaah, namun 1,500 yang ingin berbuka puasa di masjid kami.

"Oleh itu, makanan yang disediakan perlu dikongsikan antara lebih ramai orang," kongsi Encik Sobri.

Tambahnya, memandangkan Masjid Al-Firdaus terletak bersebelahan dormitori pekerja hijrahan, Sungei Tengah Lodge, ramai daripada mereka akan menuju ke masjid tersebut untuk berbuka puasa dan mendirikan solat.
Masjid itu mengalu-alukan sumbangan orang ramai menerusi PayNow Masjid Al-Firdaus - UEN S62MQ0011J dan meletakkan 'infaqFW' di bawah ruang 'Remarks'.

Untuk sumbangan makanan dan minuman, anda perlu memaklumkan pihak masjid sekurang-kurangnya tiga hari sebelum menghantar sumbangan anda ke masjid itu. Ini supaya pihak masjid boleh menguruskan tempahan bagi mengelakkan pembaziran makanan.

Anda juga boleh menghubungi pejabat Masjid Al-Firdaus pada talian 6764 6334 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sumbangan makanan.

Sumbangan dalam bentuk wang turut dialu-alukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita